Toyota telah mengumumkan akan memproduksi kereta hibrid baharu di UK untuk Suzuki, bagi membantu pekerja industri automotif di Britain disebabkan isu Brexit, laporan The Guardian. Kereta tersebut akan berasaskan Toyota Corolla, dan diumumkan sebagai sebahagian daripada kerjasama global antara Toyota-Suzuki bagi memproduksikan kereta hibrid dan elektrik.

Kereta baharu ini, yang akan dipasang di kilang Burnaston di Derbyshire (enjin akan dibekalkan oleh kilang Deeside di Wales utara), bukanlah untuk menghasilkan pekerjaan baharu di fasiliti berkenaan, sebaliknya untuk membantu melindungi pekerja sedia ada yang dianggarkan lebih kurang 3,200 orang. Langkah ini dilihat kontra dengan keputusan Honda yang mahu menutup kilang di Swindon, yang menjejaskan 3,500 pekerja.

Pengarah urusan Toyota Manufacturing UK, Marvin Cook, berkata, “Ini adalah berita baik untuk kilang kami di UK. Mencari jalan untuk memproduksi jumlah tambahan untuk pelanggan-pelanggan lain adalah salah satu contoh usaha yang boleh kami ambil untuk memastikan operasi pembuatan di UK kompetitif seperti yang sepatutnya.”

Melangkah ke hadapan, Toyota akan memproduksikan model hibrid berasaskan Coroola dan SUV RAV4 untuk Suzuki di Eropah, sementara Suzuki akan membekalkan Toyota enjin petrol untuk model kenderaan kompak yang akan dijual di rantau yag sama. Kerjasama ini juga menyaksikan Suzuki akan memproduksi lebih banyak kenderaan Toyota pada masa akan datang.

Laporan tersebut turut menyebut, Suzuki, dilihat kecil tetapi merupakan pemain yang dominan dalam pasaran automotif India yang berkembang pesar, membantu Toyota untuk memperluaskan kehadirannya di India, dan miliki perancangan untuk membangunkan dua model kompak berasaskan model Ciaz dan Ertiga. Toyota pula terpaksa berhempas pulas untuk meningkatkan jualan di pasaran kereta penumpang kelima terbesar, disebabkan permintaan yang lemah bagi kereta kos rendah.

Rakan kerjasama ini membolehkan Suzuki untuk akses kepada bahagian R&D Toyota untuk membantu membangunkan kenderaan emisi-rendah dan kereta pandu-sendiri, di mana Suzuki mengakui ia belum cukup mahir untuk itu. Sebagai balasan, Suzuki akan memproduksikan Baleno, Vitara Brezza, Ciaz, dan Ertiga untuk Toyota, yang akan dijenama semula dan dinamakan sebagai model Toyota untuk pasaran Afrika.

Presidek Toyota Akio Toyoda berkata, “Kami percaya perkembangan dalam rakan kerjasama perniagaan dengan Suzuki ini mampu membantu kami untuk lebih kompetitif dan terus bertahan dalam satu abad yang penuh perubahan ini.”