Ketika acara Nissan Futures 2019 yang berlangsung di Hong Kong baru-baru ini, syarikat itu mengumumkan bahawa mereka mensasarkan untuk menjadikan satu per empat daripada kenderaan yang dijual di Asia dan Oceania terdiri daripada kenderaan dengan teknologi elektrifikasi menjelang 2022, sebagai sebahagian daripada perancangan jangka sederhana Nissan M.O.V.E. Persidangan tahun ini menyambung semula sesi sama yang berlangsung di Singapura tahun lalu, dengan tema “mengubah cara kita jalani kehidupan dan memandu.”

“Nissan sedang menjadi pelopor untuk menggerakkan kesedaran ke arah mobiliti dengan teknologi elektrifikasi di Asia dan Oceania. Kami memulakannya dengan membawakan Nissan Leaf terbaru ke lebih banyak pasaran di rantau ini. Pengenalannya di Indonesia dan Filipina merupakan satu langkah penting. Ini membolehkan pelanggan mengalami sendiri kelebihan kenderaan elektrik dan melihat manfaatnya kepada persekitaran,” jelas Naib Presiden Kanan Serantau dan Ketua Asia & Oceania Nissan, Yutaka Sanada.

Beliau memaklumkan, Nissan Leaf generasi kedua akan tiba di Indonesia dan Filipina pada 2020, menjadikan bilangan negara yang menerima EV itu kepada sembilan buah. Tahun lalu, tujuh negara telah diumumkan – Singapura, Malaysia, Thailand, Hong Kong, Korea Selatan, Australia dan New Zealand

Turut menjadi tumpuan perancangan jangka sederhana itu ialah pengenalan model e-Power dirantau yang sama. Singapura dijangka menjadi pasaran pertama, melalui model Serena e-Power yang akan dilancarkan tahun ini. Untuk Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) juga menyatakan hasrat untuk membawa model berkenaan ke sini.

Untuk meluaskan lagi capaian terhadap kenderaan elektrifikasi Nissan di rantau ini, Sanada menjelaskan Nissan sedang mempertimbangkan untuk mula memasang dan mengeluarkan komponen elektrifikasi dari pasaran utama Asia Tenggara. Thailand disebut-sebut dapat menarik perhatian Nissan untuk tujuan berkenaan.

Bagi konteks Malaysia pula, Leaf perlu dipasang di sini untuk membolehkannya menikmati insentif di bawah skim EEV. Maka, ETCM perlu melabur ke atas kilang pemasangannya di sini ataupun berunding dengan kerajaan agar tanda harga Leaf tidak terlalu tinggi sekiranya ia dibawa masuk sebagai unit CBU.

Sudah tentu, memperkenalkan kenderaan dengan ciri elektrifikasi menjadi satu hal, sementara penerimaan atau kesediaan sesebuah pasaran ke atas kenderaan jenis itu juga merupakan satu lagi hal yang lain. Ini termasuklah aspek dasar kerajaan, kemudahan dan prasarana mengecas serta kesesuaian untuk kenderaan autonomous digunakan.

Untuk itu, Nissan melantik Frost & Sullivan untuk menyediakan laporan berdasarkan kajian pasaran syarikat itu, Smart Mobility City Tracker Study dengan tajuk “Mengenalpasti Peluang Mobiliti Pintar Di Sembilan Bandar Utama.” Tujuan laporan itu adalah untuk menilai dan mengenalpasti kesediaan bandar-bandar terpilih untuk menerima penggunaan kenderaan elektrik dan autonomous, dan kesannya ke atas isu-isu seperti pencemaran, urbanisasi dan kesesakan.

Bandar utama yang terlibat di dalam laporan berkenaan ialah Bangkok, Jakarta, Ho Chi Minh, Manila, Seoul, Hong Kong, Singapura, Sydney, dan Kuala Lumpur. Sembila bandar besar ini kemudiannya akan dikelompokkan berdasarkan produk domestik kasar per kapita (KDNK) dan kadar penggunaan kereta untuk analisis berikutnya; Kelompok A (KDNK tinggi, kadar penembusaan penggunaan kereta yang tinggi, model perkongsian rendah untuk pengangkutan awam) yang terdiri daripada Sydney dan Kuala Lumpur.

Kelompok B pula (KDNK tinggi, kadar penembusaan penggunaan kereta yang rendah, model perkongsian yang tinggi bagi pengangkutan awam) temasuk Seoul, Hong Kong dan Singapura. Manakala Kelompok C pula (KDNK rendah, kadar penembusaan penggunaan kereta yang rendah) terdiri daripada Jakarta, Bangkok, Ho Chi Minh dan Manila.

Bagi Kuala Lumpur, dengan laporan itu menunjukkan indeks 3.4, masih dalam fasa menunggu dasar yang lebih menyeluruh terhadap kenderaan elektrik diumumkan dalam Dasar Automotif Nasional yang telah lama tertangguh – terbaru ia dinyatakan akan mengambil kira perihal kenderaan elektrik dan pemanduan autonomous juga. Frost & Sullivan menjangkakan, dengan pengenalan dasar baru itu nanti, kadar penggunaan EV akan meningkat di Malaysia, disokong juga oleh penyediaan prasarana stesen pengecas yang semakin bertambah.

Singapura sebaliknya mencatatkan indeks Smart City Mobility yang lebih tinggi, pada kadar 7.6 mata. Beberapa bulan kebelakangan ini, republik berkenaan giat menjalankan percubaan bagi kenderaan autonomous, serta menggunakan teknologi elektrifikasi terhadap barisan bas yang ada serta menambah jumlah stesen pengecas sehingga 2,000 buah menjelang 2020.

Seoul juga menerima tahap yang membanggakan dalam laporan berkenaan. Dengan perancangan untuk menyediakan 1,500 kemudahan mengecas, bandar itu juga berhasrat untuk memulakan capaian 5G juga menyumbang kepada faktor lain, misalnya kepada kenderaan autonomous serta meningkatkan lagi kecekapan pengangkutan awam.

Hong Kong pula masih belum menyatakan rangka dasar yang jelas berhubung kenderaan autonomous, tetapi mereka akan memperkenalkan bas dengan teknologi elektrifikasi, sementara bagi kenderaan diesel, akan ada pendekatan rawatan bagi menjadikan pengangkutan awamnya lebih mesra alam.

Bandar dalam Kelompok C pula mempunyai perwatakan yang bercampur, dengan kesesakan lalulintas menjadi ciri utama. Bangkok misalnya, pencemaran dari pengangkutan sangat tinggi dan menyebabkan jerebu di kota berkenaan. Sejak itu, pihak berkuasa mengiktiraf pentingnya EV untuk mengatasi masalah itu dan memberikan insentif kepada pengeluar untuk membina kilang pengluarannya di sana. Nissan menjadi satu daripada pihak yang telah memohon lesen berkenaan.

Sementara itu, bandar-bandar seperti Manila dan Ho Chi Minh kini dalam usaha mengaplikasikan elektrikasi bagi pengangkutan awam terlebih dahulu. Memandangkan kesesakan dan kepadatan di dua kota berkenaan, langkah untuk memperkenalkan EV untuk kegunaan peribadi akan memburukkan lagi keadaan.

Satu aspek terpenting yang sempat disampaikan oleh laporan daripada Naib Presiden Kanan Mobiliti Frost & Sullivan, Vivek Vaidya pula ialah peri pentingnya peranan yang dimainkan oleh kerajaan untuk mempromosi EV. Untuk itu, sangat menarik untuk kira perhatikan perkembangan berkaitan EV dan teknologi elektrikfikasi pada kenderaan, serta arah tuju yang akan diambil oleh kerajaan semasa terhadap perkembangan di dalam dunia automotif ini.