Seperti yang kami laporkan dua hari lalu, Mazda CX-5 yang diberikan tambahan satu lagi baris tempat duduk, digelar CX-8 kini telah pun membuat penampilan awamnya yang pertama di Malaysia. Dipamerkan oleh Bermaz di Malaysia Autoshow 2019, model ini adalah untuk prebiu kepada orang ramai sebelum dilancarkan pada pasaran tempatan tidak lama lagi.

Untuk pasaran Malaysia, CX-8 akan ditawarkan dalam dua konfigurasi kerusi iaitu tujuh-tempat duduk (2-3-2) dan enam-tempat duduk (2-2-2). Varian asas datang dengan tujuh-tempat duduk, diikuti oleh versi enam-tempat duduk, dengan captain seat untuk barisan tengah. Secara keseluruhan, empat varian ditawarkan di mana dua varian teratas menerima balutan kulit bagi tempat duduknya serta perehat lengan pada konsol tengah (tempat duduk fabrik untuk varian yang lebih rendah). Papan pemuka untuk model ini pula diambil terus dari CX-5.

Versi yang dipamerkan hari ini hingga 14 April nanti di MAEPS, Serdang ini adalah dari versi tujuh-tempat duduk dengan upholsteri kulit perang gelap, berbeza dengan balutan kulit putih seperti yang ditayangkan kepada media Februari lalu.

Untuk sistem janakuasa pula, dua jenis enjin ditawarkan untuk pasaran Malaysia. Tiga varian di bawah akan dijana enjin 2.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 192 hp/257 Nm, dengan kotak gear automatik enam kelajuan memacu roda hadapan. Manakala versi tertinggi akan diberikan enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D menjana 188 hp/450 Nm, dan satu-satunya varian ditawarkan dengan sistem AWD.

Semua varian juga menerima rim aloi 19-inci, lampu hadapan LED automatik, lampu kabus LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, sistem infotainmen MZD Connect, enam beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

Pakej keselamatan Mazda i-Activesense masih belum ditetapkan sebagai standard atau tidak, namun teknologi G-Vectoring Control dan sistem melahu i-Stop sudah disahkan akan diberikan pada CX-8 pasaran Malaysia.

Menurut Bermaz, spesifikasi untuk pasaran tempatan mungkin sedikit berbeza dari model yang akan dipamerkan hari ini, dan mereka bermurah hati untuk turut mendedahkan bahagian dalamannya pada masa-masa terpilih kepada orang ramai (11 pagi-12 petang, 1 petang-2 petang, 3 petang-4 petang, 5 petang hingga 7 petang) dari 12 hingga 14 April. Mereka yang berminat dengan CX-8 ini turut boleh mendaftarkan minat pada acara berkenaan.

Khabar yang kami terima, CX-8 ini akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia, dan Bermaz merancang untuk mengeksportnya ke pasaran lain di rantau ini. Tiada sebarang angka disebut untuk membayangkan harga jualannya kelak, namun kita mungkin boleh membuat jangkaan berdasarkan harga CX-5 di mana varian asas 2.0L 2WD dijual pada harga bermula RM132k, manakala varian tertinggi 2.2L turbodiesel AWD dijual dengan harga RM174k.