TUNGGANG UJI: Honda Monkey – mesin keriangan

TUNGGANG UJI: Honda Monkey – mesin keriangan

Nama Honda Monkey sudah mencapai tahap ikon atau lagenda dalam industri permotoran. Awalnya semasa baru diperkenal pada tahun 1960-an, ia direka hanya sebagai satu pilihan pengangkutan yang memudahkan dan untuk jarak pendek sahaja. Sebab itulah saiznya agak kecil dan cuma dilengkapi dengan enjin 50 cc.

Semakin masa berlalu, ramai pula yang menemui keseronokan menunggang motosikal kecil seperti ini dan mungkin disebabkan itu jugalah munculnya satu lagi segmen baru dalam dunia motosikal digelar sebagai fun bike. Kemudiannya juga muncul beberapa model motosikal ringkas lain seperti Suzuki Choinori (awal tahun 2000) dan Honda Motocompo (tahun 80-an dan boleh diletakkan dalam bonet kereta).

Walaupun sudah terdapat banyak model lain yang mengisi segmen fun bike seperti Kawasaki Z125 Pro ataupun Honda MSX125, populariti Monkey tidak tergugat kerana sejarah yang ada. Namun beberapa tahun yang lalu, berita sedih dikeluarkan oleh Honda kerana mereka mahu menghentikan pengeluaran Monkey.

Tetapi itu bukan tanda noktah baginya. Honda sebenarnya sedang membangunkan Monkey generasi baru dan tidak lama selepas itu ia pun didedahkan. Asas yang digunakan adalah daripada Honda MSX125 ataupun lebih dikenali sebagai Grom di luar negara, namun bentuk badannya masih lagi unik dan sama seperti Monkey sebelum ini.

Melalui Monkey generasi baru ini juga saiznya kini sedikit lebih besar daripada Monkey asal, tetapi ia masih lebih kecil daripada kapcai biasa. Apabila orang dewasa duduk di atasnya, ia masih lagi memberikan rupa lucu, dan sebenarnya itulah sebab motosikal ini dipanggil sebagai Monkey atau Gorilla – kerana penunggangnya nampak seperti dua haiwan tersebut.

Dan oleh sebab yang sama, sekiranya anda bukan orang yang selalu ke gim, lupakan sajalah hasrat untuk mengangkatnya. Motosikal ini mempunyai berat 105 kg, dan saya sendiri sudah cuba – ia tidak semudah yang disangka. Kalau mahu memberikan gambaran mudah, beratnya hampir sama seperti Honda Wave ataupun Yamaha LC135.

Satu lagi soalan yang kerap saya terima sepanjang bersama Monkey ini ialah adakah ia cukup laju di atas jalan. Enjin yang digunakan pada Monkey baru ini adalah unit satu silinder SOHC penyejukan udara 124.89 cc suntikan bahan api, dengan kuasa 8.9 hp pada 7,000 rpm dan 10.5 Nm tork pada 5,500 rpm.

Apabila digunakan atas jalan, ia sebenarnya sama laju sahaja seperti kapcai biasa yang mempunyai kapasiti sepertinya, tetapi disebabkan saiz yang lebih kecil, ia terasa seperti laju. Kemudian, walaupun dengan saiz sebegitu, anda tidak perlu risau tentang pergerakan dalam trafik kerana ia boleh mengikut kelajuan kebanyakan kenderaan lain atas jalan biasa.

Saya malah membawa Monkey ini sampai ke Genting, dan apa yang boleh dikatakan, memanglah pada kebanyakan masa perlu berada di laluan kiri, tetapi kelajuannya tidaklah terlalu perlahan sehingga merasakan diri terancam. Apabila sampai di puncak, saya masih boleh tersenyum dan dapat menikmati kepuasan menunggang. Sekadar rujukan, di atas lebuh raya yang mendatar dan terbuka, Monkey ini boleh mencapai kelajuan sehingga 120 km/j dan pemegang serta motosikal masih lagi stabil.

Itulah istimewanya Monkey. Ia tidak dilengkapi dengan kuasa tinggi ataupun kapasiti enjin yang besar, tapi masih dapat memberikan kepuasan dan kegembiraan, bukan sahaja bagi penunggang, tetapi juga orang lain – mereka yang melihatnya sahaja juga boleh mula tersenyum dan ketawa.

TUNGGANG UJI: Honda Monkey – mesin keriangan

Monkey didatangkan dengan transmisi empat kelajuan, dan anda perlu menarik klac untuk menukar gear. Mesti ada yang tertanya kenapa ia tidak dijadikan ringkas dengan tetapan klac automatik (seperti Wave atau EX5), ataupun tidak menggunakan gear langsung (skuter), sedangkan ia dicipta untuk lebih memudahkan.

Tetapan klac hidup (menggunakan kabel) ini mempunyai kelebihannya yang tersendiri dan pertama sekali, anda tidak perlu risau kerana tuilnya cukup ringan sehingga boleh ditarik dengan satu jari sahaja. Apabila ada klac seperti ini, anda juga boleh mendapat tambahan lagi keseronokan dengan melakukan aksi-aksi seperti mengangkat tayar depan atau menghasilkan gelinciran atas jalan yang kurang cengkaman.

Memanglah kami tidak menggalakkan anda untuk melakukan aksi seperti ini, tapi mereka yang gemar menunggang pastinya faham perasaan yang dimaksudkan dan bagaimana rasa teruja yang diperoleh apabila melakukannya. Tambahan pula, dengan motosikal yang berkapasiti rendah serta bersaiz kecil ini, risikonya adalah lebih rendah.

Monkey datang dengan rekaan seperti ‘scrambler retro’ yang sekarang juga sudah kembali diterima ramai, tapi sekali lagi, saiznya adalah lebih kecil. Tayarnya juga mempunyai bunga kasar sekaligus memberikan gambaran ia boleh dibawa ke jalan tidak berturap.

Apabila masuk ke jalan seperti ini, keseronokannya menjadi berganda. Anda akan mula sengaja mencari bonggol-bonggol kecil untuk melompat, membrek dengan kuat supaya tayar belakang tergelincir atau mengepam klac sambil memulas pendikit untuk menghasilkan putaran tayar yang lebih laju atas tanah. Ia cukup mengasyikkan sehingga saya sendiri terdetik dalam hati, “motosikal ini yang dipanggil monyet atau aku yang menunggang ni dah jadi monyet?”

Tapi sebenarnya, jika ini adalah Monkey anda sendiri, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira supaya lebih berhati-hati untuk melompat atau membelasahnya. Jarak gerak suspensi Monkey ini tidaklah terlalu panjang meskipun di hadapan menggunakan tetapan fork terbalik (USD) dan di belakang mempunyai dua penyerap.

Malah di atas jalan berturap pun, dengan keadaan tunggangan biasa ada kalanya saya yang mempunyai berat sekitar 70 kg juga dapat merasakan suspensi belakang boleh terhentak habis (bottomed out). Tapi itu sahajalah yang sedikit mengganggu. Daripada aspek keselesaan keseluruhan, ia masih memberikan keselesaan dan saiz tayar yang tebal mungkin turut membantu (rim 12 inci, tayar 120/80 di depan dan 130/80 di belakang).

Walaupun nampak seperti serupa dengan model asal tahun 60-an, Monkey baru ini sebenarnya banyak kelengkapan moden. Contoh yang memberi kesan kepada prestasi tunggangan adalah brek cakera di depan dan belakang. Dengan pecutan yang mampu dihasilkan, anda juga boleh berhenti dengan yakin melalui penggunaan sistem brek ini. Tapi, ia masih tidak dilengkapi dengan ABS.

Satu lagi, Monkey baru ini juga datang dengan panel meter digital yang berbentuk bulat serta kemasan krom di sekelilingnya. Walaupun nampak ringkas, meter ini masih dapat menyediakan informasi penting seperti tahap kelajuan, kapasiti bahan api serta jarak perjalanan tetapi tiada tahap rpm atau penanda kedudukan gear semasa, kecuali N sahaja.

Tangki bahan api yang dapat dilihat jelas pada Monkey, nampak seperti kecil, tapi sebenarnya adalah lebih besar berbanding Wave 125i (5.4 liter) ataupun Yamaha LC135 (4.0 liter). Ia mempunyai kapasiti maksimum 5.6 liter dan apabila digunakan oleh saya yang memang kerjanya melenjan sahaja, ia cuma boleh bertahan untuk perjalanan sejauh 170 kilometer sahaja. Catatan ini sebenarnya boleh jadi lebih baik sekiranya anda menunggang dengan cara yang lebih berhemah.

TUNGGANG UJI: Honda Monkey – mesin keriangan

Apa juga keseronokan tunggangan yang diperolehi daripada Monkey ini cuma boleh dinikmati oleh satu orang sahaja kerana tempat duduknya tidak dijadikan untuk berdua. Tapi atas dasar memenuhi rasa ingin tahu, saya masih cuba naik dua orang, dan tempat duduk yang besar serta empuk itu sebenarnya masih boleh memuatkan dua orang dewasa, tetapi tiada tempat letak kaki untuk penumpang. Setakat untuk jarak dekat atau ‘pusing-pusing taman’ mungkin tidak menjadi masalah.

Satu lagi perkara yang sering menimbulkan pertanyaan adalah berkenaan ekzos. Motosikal yang menggunakan bentuk scrambler memang kebiasaannya mempunyai ekzos di atas, berhampiran tempat duduk dan ramai yang risau jika memberi risiko melecur. Apa yang boleh dikatakan, tidak sekali pun saya merasa habanya apabila menunggang, dan bahagian pelindungnya juga tidak terlalu panas. Tapi, tidaklah pula saya cuba menunggang sambil berseluar pendek.

Dengan semua yang telah disebutkan tadi, harapnya anda sudah mendapat gambaran bagaimana rasa menunggang Honda Monkey terbaru ini. Reaksi yang saya dapat semasa menunggang motosikal ini cukup menarik. Malah apabila ia diletakkan begitu sahaja pun ramai yang mahu mendekatinya (termasuk mereka yang tidak pernah menunggang motosikal), seakan ia seekor haiwan yang jinak dan mesra.

Satu perkara yang kurang mesra adalah harganya. Honda Monkey baru dijual pada harga RM13,999 tidak termasuk insurans, sekaligus meletakkan ia dalam kategori premium. Hanya mereka yang betul-betul minat dan berkemampuan sahaja boleh memilikinya, kerana pada harga tersebut, banyak lagi pilihan lain yang lebih masuk akal. Tapi, itulah harga yang perlu anda bayar untuk sebuah motosikal yang mempunyai nama dan berstatus ikon.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 

Comments

  • Hi, saya nak bertanya ada tak motor mini bike tanpa klac tangan di malaysia?

    Like or Dislike: Thumb up 0 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required