Sistem kunci pintar dengan fungsi kemasukan tanpa kunci sememangnya antara ciri yang memudahkan pengguna kereta buat masa sekarang. Namun menerusi sistem ini juga, ia turut memudahkan pencuri untuk menjalankan tugas mereka – isyarat sistem berkenaan boleh digodam untuk membuka kunci tanpa melakukan apa-apa tindakan fizikal terhadap kereta tersebut.

Kini, Ford telah menemukan kaedah yang bijak bagi mengatasi masalah berkenaan dengan pengenalan sistem kunci baharu untuk model-model mereka. Kunci anti-kecurian ini dilengkapi dengan penderia pergerakan di dalamnya, yang mengesan sama ada kereta tersebut bergerak atau tidak selepas dikunci.

Jika kereta berkenaan didapati tidak bergerak dalam masa 40 saat, kunci ini akan masuk ke mod tidur dan secara tidak langsung tidak akan berinteraksi dengan isyarat lain yang dibuat oleh penggodam bagi mengaktifkan kotak geganti untuk membuka kunci tersebut.

Menurut Ford, alat untuk menggodam isyarat berkenaan terlalu mudah untuk didapati dan ia turut boleh dibeli secara dalam talian, memudahkan pencuri bagi melakukan kegiatan mereka. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab syarikat berkenaan bagi melindungi pengguna mereka, khususnya pemilik-pemilik model popular Ford.

Buat permulaan, sistem ini akan diberikan pada pengguna pasaran Britain untuk dua model paling popular iaitu Focus dan Fiesta. Pemilik-pemilik model tersebut boleh ke pengedar sah mereka bagi menggantikan kunci berkenaan dengan harga £65 (RM350) untuk Fiesta dan £72 (RM388) untuk Focus, manakala upah pasangnya pula dicaj selama 0.9 jam. Dalam tempoh dua tahun lagi, kesemua model-model Ford akan dilengkapi dengan teknologi ini secara standard.