Bagi penggemar hot hatch pastinya gembira bila mengetahui Renault Megane RS baharu bakal dipasarkan di Malaysia, inilah perkara yang telah disahkan sendiri oleh Renault Malaysia menerusi laman web rasmi mereka. Model prestasi yang berdasarkan Megane generasi ke-empat, Megane RS ini pertama kali diperkenalkan di khalayak dunia di Frankfurt Motor Show 2017.

Megane RS ini ditawarkan dengan tiga varian – Sport, Cup dan Trophy – yang kesemuanya menggunakan enjin 1.8 liter pengecas turbo dengan talaan yang berbeza untuk mendapatkan output yang juga berbeza. Bagi model Sport dan Cup, enjinnya mampu menghamburkan kuasa sehingga 276 hp (280 PS) dan tork 390 Nm, sementara Trophy pula lebih padu dengan ledakan kuasa 292 hp (300 PS) dan 420 Nm.

Kuasa dari enjin Megane RS ini disalurkan ke roda hadapan menerusi dua pilihan kotak gear iaitu sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan klac berkembar automatik EDC bersama pedal penukar gear.

Diberikan dua larasan casis – Sport dan Cup – dengan setiap satunya menerima unit bump stop jenis mampatan hidraulik seperti yang digunakan pada jentera rali di keempat-empat sudut. Sistem berkenaan mampu memberikan pengendalian dan juga keselesaan yang lebih baik, bergantung mod pemanduan yang dipilih. Manakala Trophy juga menerima casis yang sama seperti Cup, tetapi dengan lebih penjimatan berat, dan yang pastinya lebih berkuasa.

Lima mod pemanduan diberikan untuk dipilih pemandu untuk disesuaikan dengan situasi iaitu Comfort, Normal, Sport, Race dan Perso (talaan pengkhususan oleh pemandu).

Inilah serba sedikit ciri yang ditampilkan pada Renault Megane RS, tapi kalau nak tahu perincian selanjutnya kena tunggu pelancarannya yang dijangka berlangsung pada awal minggu hadapan. Adakah ia mampu memberikan cabaran sengit buat Honda Civic Type R?

GALERI: Renault Megane RS di Tokyo Motor Show 2017