Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah memulakan promosi tahunan sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut pada awal Jun ini. Menerusi promosi ini, pelbagai rebat ditawarkan termasuk diskaun dan hadiah percuma apabila pelanggan menghantar kenderaan untuk diservis di mana-mana pusat servis bertauliah Mitsubishi.

Promosi ini berlangsung sehingga 31 Mei ini, dengan semua varian bagi SUV ASX dan Outlander bakal menerima rebat sebanyak RM4,000. ASX menawarkan dua varian – 2WD dan 4WD – dengan harga masing-masing RM118,866 dan RM133,336. Sementara Outlander 2.0L pula berharga RM137,888 dan RM152,888 bagi varian 2.4L.

Model facelift bagi Triton yang baru dilancarkan pula, ditawarkan dengan rebat RM4,000 bagi varian VGT MT (harga runcit RM100,200) dan VGT MT Premium (RM112,500), rebat RM2,000 untuk VGT AT (RM105,990) dan VGT AT Premium (RM118,600) dan sehingga RM6,000 bagi VGT Adventure (RM135,200). Kesemuanya harga atas jalan tanpa insurans, tidak termasuk rebat yang dinyatakan.

Turut ditawarkan ialah beberapa hadiah untuk pelanggan yang menghantar kenderaan masing-masing untuk diservis di mana-mana pusat servis bertauliah mulai 2 Mei hingga 15 Jun. Pelanggan yang berbelanja antara RM300 hingga RM499 bakal menerima rawatan minyak enjin percuma, sementara yang berbelanja lebih RM500 akan membawa pulang balang kuih raya dan juga diskaun 10% untuk kos buruh. Anda juga berpeluang mendapat diskaun tambahan sebanyak 5% untuk alat ganti dan eVoucher berjumlah RM38 jika berbelanja lebih RM1,000.

Bukan itu sahaja, pelanggan juga akan diberikan eVoucher tambahan sebanyak RM20 (sah sehingga servis yang akan datang) apabila menghantar kenderaan mereta untuk diservis dan menyarankan rakan-rakan untuk memandu uji mana-mana model Mitsubishi sepanjang tempoh ini. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web rasmi Mitsubishi Motors Malaysia.