Honda Civic Type R sudah pun berada lebih dua tahun dalam pasaran global, dan tidak hairan sekiranya model facelift untuk generasi FK8 ini akan muncul tahun hadapan. Honda nampaknya kini sedang giat menguji model kemaskini tersebut di litar taklukannya iaitu Nürburgring, Jerman.

Ada tiga versi berbeza diuji kali ini, mungkin Honda akan memperkenalkan berberapa varian ketika diperkenalkan nanti. Versi pertama berwarna putih, tidak mempunyai sebarang perubahan ketara dengan versi asal. Apa yang kami perasan, kemasan liang udara sisi pada bampar hadapan dan belakang nampaknya seakan menerima sentuhan semula.

Satu lagi versi yang berwarna kuning pula menerima pelekat penyamaran pada keseluruhan bumbung, yang mungkin menyembunyikan bumbung gentian karbon di sebaliknya.

Untuk versi ketiga yang berwarna putih, ia diberikan spoiler belakang yang jauh lebih kecil, tetapi di bahagian hadapan, versi ini diberikan spoiler dengan ‘sodok’ yang lebih panjang.

Buat masa sekarang, Honda Civic Type R menerima bekalan kuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm dari enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo. Kuasa disampaikan ke roda hadapan hanya menerusi kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat lengkap dengan short shifter dan LSD helical.

Ia juga telah dinobatkan sebagai kereta produksi pacuan roda hadapan terpantas di litar Nürburgring setelah mencatatkan masa 7 minit 43.8 saat untuk satu lap, atau 6.83 saat lebih pantas dari Civic Type-R FK2R generasi terdahulu.