Hakone Turnpike adalah kawasan berbukit yang terletak dua jam perjalanan dari barat daya Tokyo, Jepun. Tempat di mana anda dapat melihat keindahan Gunung Fuji berkenaan bukan sahaja terkenal dengan pusat percutian, malah laluan jalan bukit kawasan tersebut turut terkenal di seluruh dunia sebagai touge bagi mereka yang datang ke Jepun untuk memandu, malah menjadi salah satu ‘litar’ dalam siri animasi Initial D 5th Stage.

Bagi memperingati jalan bukit berkenaan, Toyota telah menghasilkan model sport edisi terhad digelar 86 Hakone Edition. Namun versi istimewa ini bukanlah untuk pasaran domestik Jepun, sebaliknya dibuat bagi pasaran Amerika Syarikat.

Menurut Toyota, 86 Hakone Edition ini diasaskan dari varian GT pasaran berkenaan, dan diberikan pelbagai kelengkapan unik khas untuknya. Pada bahagian luaran, kereta ini menerima cat badan yang digelar hijau Hakone, spoiler belakang berwarna hitam bersama rim 17-inci lima-jejari berkembar berwarna Bronze – membuatkan ia kelihatan seiras dengan edisi khas JDM Toyota 86 British Green Limited.

Bahagian dalaman juga Hakone Edition ini agak sama dengan British Green Limited, menampilkan tempat duduk yang dibalut dengan Alcantara hitam bersama kulit berwarna Tan, bersama serlahan jahitan pada roda stereng serta boot tuil brek parkir dan gear juga berwarna Tan. Logo ’86’ pula disulam pada bahagian papan pemuka sebelah kanan.

Ciri lain yang turut diberikan pada kabin model istimewa ini adalah perehat tangan berwarna hitam, serlahan jahitan pada penel dalaman pintu, pad perehat lutut, visor meter berwarna hitam, serta karpet ruang kargo premium istimewa dengan logo ’86’. Pelanggan yang membeli kereta ini juga akan menerima sepsang sarung tangan berwarna Tan, dan juga bekas folio dengan logo ’86’ dan jahitan benang hitam.

Sama juga seperti varian GT pasaran Amerika Syarikat yang lain, Hakone Edition menerima ciri-ciri standard seperti lampu hadapan projektor LED, tip ekzos krom berkembar, cermin sisi berkuasa, penghawa dingin automatik dua-zon, pemanas tempat duduk, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin serta pelbagai lagi.

Tiada perubahan ditampilkan pada sistem mekanikal, dimana model ini masih dijana enjin boxer 2.0 liter empat silinder NA dengan sistem suntikan bahan api terus Toyota D-4S. Model dengan transmisi manual enam-kelajuan ditala dengan 205 hp dan tork 211.5 Nm, manakala versi enam-kelajuan automatik pula berkuasa 200 hp dan tork maksima 205 Nm.