BMW 8 Series bakal menerima ahli baharu selepas 8 Series Coupe dan 8 Series Convertible. BMW 8 Series Gran Coupe, versi empat-pintu, dijangka bakal merancakkan lagi persaingan dalam segmen coupe mewah.

BMW menggambarkan 8 Series Gran Coupe ini sebagai “kereta sport empat-pintu yang miliki keanggunan sempurna, dengan dalaman yang melambangkan kemewahan moden.” Ia kini dalam peringkat terakhir pembangunannya untuk siri produksi, dan dijangka akan diperkenalkan dalam majlis BMW Group #NextGen di Munich pada 25 Jun ini. Manakala pelancaran untuk pasaran dijadualkan berlangsung pada September hadapan.

Versi Gran Coupe bagi 8 Series ini bukanlah sukar untuk diimaginasikan, dan kita boleh melihatnya menerusi imej teaser di atas. Apa yang menariknya, coupe ini memiliki garisan bumbung yang anggun dengan spoiler belakangnya seperti ducktail – ia agak mirip dengan coupe dua-pintu.

BMW 8 Series Coupe

Namun 8 Series Gran Coupe ini juga memiliki jarak roda yang lebih panjang berbanding Coupe, dan BMW memaklumkan, ia memiliki “ruang tempat duduk belakang yang lebih mengagumkan” dan “keselesaan pengendalian yang dipertingkatkan”.

“8 Series Gran Coupe baharu ini melengkapkan lagi prestasi yang menakjubkan dengan reka bentuk penuh emosi dan ruang belakang yang luas. Ia memiliki karakteristik yang tersendiri termasuk bahagian hadapan yang menjadi tarikan utama. Perkadaran yang penuh tegap dengan garisan berdinamik bersatu bagi mewujudkan aura sport yang begitu eksklusif,” tambah BMW lagi.

Versi ini turut dijangka menggunakan penjana kuasa yang sama dengan Coupe/Convertible. Di mana 8 Series ditawarkan dengan varian 840d xDrive (3.0L diesel enam-silinder, 320 hp, 680 Nm) atau M850i xDrive (4.4L V8 petrol, 530 PS, 730 Nm).

GALERI: BMW 8 Series di Malaysia