Geely Xingyue dilancar di China – SUV coupe FY11 datang dengan pilihan enjin 2.0L 235 hp, hibrid, PHEV

Geely Xingyue dilancar di China – SUV coupe FY11 datang dengan pilihan enjin 2.0L 235 hp, hibrid, PHEV

Enam bulan selepas Geely menunjukkan teaser SUV “coupe” baru mereka yang menggunakan nama kod FY11, kini syarikat itu telah pun melancarkannya di China. Ia dinamakan sebagai Xingyue, dan menampilkan pelbagai teknologi baru serta pilihan pakej kuasa, dengan harga yang bermula 135,800 yuan (RM82,400) hinggalah 208,800 yuan (RM126,800).

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Xingyue adalah model pertama Geely yang dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) yang juga digunakan oleh Volvo XC40 dan barisan model Lynk & Co. Ia mempunyai ukuran 4,605 mm panjang, 1,878 mm lebar dan 1,643 mm tinggi, dengan jarak roda pula 2,700 mm.

Di bahagian hadapan kenderaan ini terdapat lampu utama yang nipis, gril “expanding cosmos” (sekarang dengan lencana hitam seperti yang digunakan pada model konsep Preface), serta bukaan udara besar yang dilengkapi dengan pengatup aktif untuk mengoptimakan aerodinamik dan penyejukan. Di belakang pula terdapat lampu yang lebar, jalur krom, diffuser yang agresif serta empat muncung ekzos.

Geely Xingyue dilancar di China – SUV coupe FY11 datang dengan pilihan enjin 2.0L 235 hp, hibrid, PHEV

Masuk ke dalam, anda boleh menyaksikan Xingyue mempunyai papan pemuka yang disengetkan sedikit ke arah pemandu dan panel pintu yang mendapat inspirasi daripada origami. Dua skrin menguasai bahagian papan pemuka ini, dengan satu daripadanya untuk paparan instrumen dan satu lagi adalah skrin sesentuh 12.3 inci yang disambung dengan Global Key User Interface (GKUI) 2.0 berserta sistem pengenalan suara dan navigasi.

Turut diberi adalah head-up display sembilan inci, serta sistem pengenalan muka untuk mengecam pemandu. Sistem ini kemudiannya akan melaras pelbagai tetapan kenderaan seperti kedudukan kerusi, cermin serta sistem hiburan mengikut kegemaran mereka. Tidak cukup dengan itu, sistem ini juga boleh memberi amaran sekiranya muka pemandu nampak keletihan atau sering menguap.

Daripada aspek keselamatan, Xingyue boleh didapati dengan teknologi pemanduan semi-autonomous Level 2 seperti Intelligent Cruise Control (ICC) dengan Traffic Jam Assistance (TJA) kelajuan penuh serta Lane Keeping System (LKS). Ia juga ditampilkan dengan Autonomous Emergency Braking dengan pengesan pejalan kaki (AEB-P), Rear Collision Warning (RCW), Speed Limit Identification (SLIF), Lane Change Assist (LCA), Blind Spot Detection (BSD) dan Door Open Warning (DOW). Turut ditawarkan adalah Automatic Park Assist (APA) dan kamera 360 darjah.

Di bawah bonet, Xingyue adalah model pertama Geely yang datang dengan enjin empat silinder turbo 2.0 liter Drive-E daripada Volvo. Ia dipadankan bersama transmisi automatik lapan kelajuan Aisin, seterusnya mampu menghasilkan kuasa 235 hp dan 350 Nm tork manakala pecutan 0-100 km/j pula boleh dilakukan dalam masa 6.8 saat. Xingyue ini turut ditawarkan dengan enjin tiga silinder 1.5 liter, yang dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 174 hp dan 255 Nm tork.

Enjin yang lebih kecil ini juga boleh ditambah dengan sistem hibrid ringkas 48 volt yang melonjakkan kuasa menjadi 188 hp sementara penggunaan bahan api menjadi 5.6 liter bagi setiap 100 km. Satu lagi alternatif adalah versi plug-in hybrid yang menjadikan kuasa kenderaan 255 hp/415 Nm dan ditawarkan dalam dua kapasiti bateri.

Geely Xingyue dilancar di China – SUV coupe FY11 datang dengan pilihan enjin 2.0L 235 hp, hibrid, PHEV

Versi 11.3 kWh mempunyai jarak gerak menggunakan elektrik sahaja sejauh 56 km, kadar penggunaan bahan api 1.6 liter setiap 100 km dan masa pengecasan pantas 90 minit. Versi yang menggunakan bateri 15.2 kWh pula mampu pergi 80 km menggunakan elektrik sahaja, penggunaan bahan api 1.2 liter bagi setiap 100 km dan boleh dicas secara pantas dalam masa 105 minit.

Di sebalik bahagian luarnya, Xingyue ini dipegang oleh suspensi jenis MacPherson di hadapan manakala di belakang menggunakan tetapan multi-link. Pemilik juga mempunyai pilihan untuk mendapatkan sistem pacuan semua roda yang boleh menghantar sehingga 50% kuasa ke roda belakang serta rim 20 inci yang dibalut tayar Goodyear Eagle F1. Di sebalik rim itu terdapat brek cakera 322 mm.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required