MINI Cooper SE diperkenal – model elektrik penuh pertama jenama itu dengan 181 hp dan 270 Nm tork

MINI Cooper SE diperkenal – model elektrik penuh pertama jenama itu dengan 181 hp dan 270 Nm tork

Tahun ini MINI menyambut ulang tahun jenamanya yang ke-60. Selari dengan industri automotif yang sekarang bertumpu kepada kuasa elektrik, pengeluar kenderaan dari United Kingdom ini telah memperkenalkan MINI Cooper SE, yang merupakan model elektrik penuh pertama mereka. Jika anda perasan, sebelum ini MINI pernah memperkenalkan MINI E yang menggunakan asas R56, tapi model itu cuma dihasilkan dalam jumlah terhad dan untuk kegunaan syarikat tertentu sahaja, sementara MINI Cooper SE adalah untuk pasaran awam.

Motor elektrik yang digunakan pada model ini mampu menghasilkan kuasa 181 hp (135 kW) dan tork maksimum 270 Nm, sama seperti BMW i3s. Walaubagaimanapun, MINI Cooper SE ini menggunakan pacuan roda hadapan dan bukannya pacuan roda belakang seperti i3s. Dari keadaan pegun, ia boleh memecut ke 100 km/j dalam masa 7.3 saat, dan mencapai laju maksimum 150 km/j.

Bagi memastikan tahap tork yang tinggi dapat disampaikan secara cekap, MINI Cooper SE dilengkapi dengan Dynamic Stability Control (DSC) yang dapat mengurangkan gelinciran pada roda dan mengekalkan stabiliti kenderaan. Turut membantu adalah Dynamic Traction Control (DTC) baru yang dapat meningkatkan kelincahan kenderaan atas jalan licin.

MINI Cooper SE diperkenal – model elektrik penuh pertama jenama itu dengan 181 hp dan 270 Nm tork

Motor elektrik yang digunakan mendapat kuasa daripada bateri voltan tinggi yang diperbuat daripada lithium ion dan dibahagikan kepada 12 modul. Ia diletakkan pada lantai kenderaan dalam bentuk T dan mempunyai kapasiti 32.6 kWh (i3 menggunakan bateri 33.2 kWh).

Disebabkan kedudukan bateri ini, badan Cooper SE lebih tinggi 18 mm berbanding Cooper 3 Door biasa, tetapi ruang barangan masih lagi sama iaitu 211 liter, atau 731 liter apabila tempat duduk belakang dilipat. Komponen pacuan elektrik ini juga menambah berat sebanyak 145 kg, menjadikan berat keseluruhannya 1,365 kg.

Sama seperti i3s, Cooper SE ini datang bersama pengecas AC 11 kW dengan penyambung Type 2, yang membenarkan pilihan beberapa tempat mengecas termasuk soket dan kabel single phase biasa di rumah. Selain daripada itu, pemilik juga boleh menggunakan MINI Electric Wallbox di rumah yang mempunyai kapasiti 22 kW atau kabel three phase untuk disambungkan kepada stesen pengecasan pantas awam.

Apabila menggunakan dua sistem pengecasan ini (Wallbox dan stesen awam), bateri Cooper SE boleh sampai ke tahap 80% dalam masa dua jam setengah dan 100% dalam masa tiga jam setengah. Apabila sudah penuh, ia boleh bergerak antara 235 hingga 270 km berdasarkan ujian kitaran WLTP. Jika mahukan pengecasan yang lebih pantas, pemilik perlu menggunakan sistem DC dengan sambungan CCS Combo 2, di mana dengan kapasiti pengecasan 50 kW, tahap 80% boleh dicapai dalam masa 35 minit sahaja.

Seperti yang sudah dijangka, kenderaan ini juga dilengkapi dengan sistem penjanaan semula kuasa brek, yang disediakan dalam dua pilihan tetapan untuk menentukan pada tahap brek manakah tenaga dapat diperoleh semula. Penukaran tetapan ini boleh dilakukan menggunakan butang yang terdapat di sebelah butang pemula enjin.

Untuk mod pemanduan, terdapat empat pilihan iaitu Mid, Green, Green+ and Sport. Setiap mod memberikan kadar tindak balas yang berbeza untuk sistem pacuan, karekter stereng serta ciri keselesaan seperti pendingin hawa.

Melihat kepada penggayaannya, Cooper SE mempunyai bentuk yang sama dengan Cooper 3 Door biasa, tetapi beberapa bahagian dijadikan unik. Ini termasuk gril hadapan dengan bukaan udara lebih kecil dan diserikan dengan jalur kuning serta logo MINI Electric, dan kemasan kuning pada beberapa bahagian lain termasuk cermin sisi dan tempat mengecas.

Rim standard yang diberi adalah bersaiz 16 inci, dalam rekaan yang dipanggil sebagai MINI Electric RevoliteSpoke, tetapi pelanggan juga boleh mendapatkan pilihan saiz 17 inci MINI Electric Corona Spoke seperti dalam gambar dengan bayaran tambahan.

MINI Cooper SE diperkenal – model elektrik penuh pertama jenama itu dengan 181 hp dan 270 Nm tork

Bahagian dalam juga mempunyai bentuk yang sama, tetapi dengan beberapa perbezaan kecil termasuk panel instrumen digital 5.5 inci di belakang roda stereng yang boleh memaparkan pelbagai informasi seperti tahap bateri, mod pemanduan, infotainmen, jarak gerak dan lain-lain. Paparan panel ini juga boleh berubah mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Kemudiannya, kemasan kuning turut digunakan termasuk pada stereng, tombol gear, butang pemula enjin dan pengawal sistem infotainmen. Apabila memilih pakej Interior Style MINI Electric, ia akan dilengkapi pula dengan jahitan benang kuning serta alas kaki yang mempunyai logo MINI Electric.

Kelengkapan standard lain untuk Cooper SE adalah termasuk lampu utama LED, pengawal pendingin hawa dua zon automatik dan kawalan pendingin hawa menggunakan aplikasi MINI Connected Remote. Sistem Connected Navigation dengan skrin sesentuh 6.5 inci juga boleh dinaik taraf kepada Connected Navigation Plus dengan skrin 8.8 inci dan pengecas tanpa wayar.

Sebagai sebuah kenderaan MINI, pilihan tambahan lain adalah banyak dan antaranya untuk kemasan dalam adalah Interior Style MINI Dark, Interior Style MINI Light dan Interior Style MINI Yours.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required