Untuk pasaran Indonesia, Nissan Livina terkini telahpun diperkenalkan Februari lalu. Dan, ini kali pertama kita akan melihat dari depan MPV tujuh-tempat duduk ini yang sedang dipamerkan di pameran GIIAS 2019 sekarang.

Secara ringkasnya, MPV Nissan ini sebenarnya diasaskan dari model Mitsubishi Xpander, dengan profil rendah dan cekap kos untuk membolehkannya dijadikan kenderaan mampu milik, dan diperkenalkan di sana sejak dua tahun lalu. Lain-lain pesaing dalam segmen sama ialah Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia, Honda Mobilio dan Suzuki Ertiga – model-model yang masih jelas mengekalkan penawarannya sebagai sebuah MPV dan bukannya sebagai sebuah SUV.

Mengapa Nissan menggunakan model Mitsubishi? Ini kerana, Nissan merupakan pemegang kepentingan majoriti dalam Mitsubishi Motors selepas mengambil alih syarikat berkenaan pada 2016. Kedua-dua syarikat juga merupakan ahli di dalam pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi. Gabungan produk seperti ini membolehkan kos dikurangkan, dan Xpander juga telah terbukti menjadi semuah model yang berjaya untuk MMC.

Sebahagian besar rekaan Xpander masih dikekalkan untuk Livina, melainkan wajah depannya – Nissan memberi perubahan sedikit kepada wajah Dynamic Shield Mitsubishi berkenaan. Tiada lagi bahagian krom yang menonjol yang menjadi trademark Xpander; ia digantikan dengan rekaan gril V-Motion oleh Nissan. Turut membezakannya dari Xpander ialah bahagian bawah bampar yang kini mempunyai jalur warna perak yang lebar dan lampu kabus bersegi di bucunya.

Lengkungan bahagian tayar pada badan Livina juga lebih bulat. Rekaan lampu belakang bagaimana pun masih sama, walaupun garafik di dalam lampu LED berkenaan sedikit berbeza. Pintu ruang belakang Livina juga lebih ringkas jika dibandingkan dengan Xpander. Kiranya, terdapat sentuhan rekaan yang pernah kita lihat pada X-Trail turut diberikan untuk Livina ini.

Bagi enjin, Livina baru ini menggunakan unit 1.5 liter yang menghasilkan 104 PS dan 141 Nm tork dari 4,000 rpm, bersama dengan transmisi manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan. Jarak kelegaan tanah MPV ini ialah 205 mm menggunakan rim 16-inci.

Antara kelengkapan yang ada di dalam pula ialah head unit dengan skrin sentuh tujuh-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, DRL LED, paparan info berwarna, kamera undur, sistem tanpa kunci dan Push Start, soket 12V disetiap barisan dan lain-lain.

Terdapat lima varian dan empat tingkat kemasan ditawarkan di Indonesia – E MT, EL MT, EL AT, VE AT dan yang paling tinggi, VL AT seperti yang anda lihat ini. Setiap model dilengkapi dengan dua beg udara, dan varian VE serta VL menerima tambahan ciri seperti Brake Assist dan kawalan kestabilan (VDC).

Harga pula bermula dari 198.8 juta Rupiah (RM58,565) bagi versi yang paling asas E MT hingga 261.9 juta Rupiah (RM77,153) bagi varian yang paling lengkap. Livina ini dipasangkan di kilang yang sama memasang Xpander di Cikarang, Jawa Barat.