Sedikit perkembangan tentang ride-hailing motosikal yang dikhabarkan sudah mendapat lampu hijau daripada kerajaan untuk dilaksanakan. Dalam satu sidang media di ibupejabat Big Blue Taxi Services baru-baru ini, pengasasnya, Shamsubahrin Ismail menyatakan ketidaksenangannya terhadap pengenalan Gojek di Malaysia, lapor FMT.

Menurut beliau, daripada membawa masuk perkhidmatan ride-hailing motosikal ini, adalah lebih baik kerajaan memberi tumpuan untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan perkhidmatan e-hailing dan pemandu teksi di negara ini. Itu lebih penting daripada menyokong Gojek, yang menurutnya merupakan langkah ke belakang.

“Syed Saddiq merupakan menteri yang terpelajar, tetapi ketika ramai menteri lain sedang bercakap tentang kereta terbang dan kereta nasional terbaru, beliau mengajak anak muda untuk jadi mat despatch pula. Gojek sebegai kerjaya tidak akan menjamin masa depan yang lebih cerah, beliau kita perlukan sesuatu yang lebih bagus dari (cadangan) itu,” ujar Shamsubahrin.

Beliau juga menjelaskan bahawa situasi di Malaysia sangat berlainan dari Indonesia. “Gojek boleh dilaksanakan di sana kerana kadar kemiskinan mereka sangat tinggi, bukan seperti di Malaysia. Juga, budaya mereka sangat berbeza dengan di sini. Di sana, perempuan boleh peluk penunggang macam tu sahaja, tapi macam mana di Malaysia? Adakah kita ingin lihat wanita kita peluk penunggang ke hulu ke hilir?” ujarnya.

Dari sudut peluang pekerjaan, Shamsubahrin berkata kerajaan tidak sepatutnya menggalakkan golongan belia untuk perkhidmatan ride-hailing motosikal sebagai sumber pendapatan. “Gojek, FoodPanda, GrabFood semuanya menawarkan kerja sambilan. Beliau sepatutnya diberi peluang pekerjaan yang lebih baik,” tambah beliau.

Beliau juga memberi amaran bahawa pemandu-pemandu teksi, pemandu e-hailing dan bas akan terjejas sekiranya kerajaan meluluskan operasi Gojek. Katanya, beliau tidak teragak-agak untuk menganjurkan protes jika kerajaan mengabaikan pandangan syarikat itu. “Saya akan ketuai protes itu sendiri, kami akan ke Putrajaya. Dan, kalau perlu, kami akan pergi ke depan rumah Syed Saddiq dan Anthony Loke juga,” kata beliau.