UMW Toyota Motor (UMWT) telah mula menayang teaser model Corolla generasi ke-12 menerusi laman Facebook rasmi Toyota Malaysia, dan menerusi gambar promosi yang ditayangkan itu, ternyata nama “Altis” tidak lagi digunakan. Walau bagaimana nama “Altis” tidak lagi digunakan, namun difahamkan untuk model serba baharu bagi pasaran Malaysia ini, ia masih mengekalkan lencana “Altis”. Kiranya, secara rasminya, model serba baharu ini hanya dikenali sebagai Toyota Corolla, dan tidak disebut ‘Corolla Altis’.

Walau pun perubahan namanya bukanlah perkara yang besar, Corolla terkini ini lebih daripadanya. Bermakna, ia melibatkan perubahan dan peningkatan yang lebih signifikan untuk membolehkannya terus berdaya saing dalam industri automotif. Sedan segmen-C ini kini dibangunkan dengan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) GA-C, malahan ia turut menampilkan rekaan serba baharu dan juga dimensi yang disemak semula.

Kini ia berukuran 4,640 mm panjang, 1,780 mm lebar dan 1,435 mm tinggi, ini bermakna, ia 10 mm lebih panjang, lima mm lebih lebar dan 45 mm lebih rendah berbanding model semasa; namun jarak rodanya masih dikekalkan pada ukuran 2,700 mm.

Sedan ini juga telah pun dilancarkan di Thailand lebih awal, dan masih menggunakan nama “Corolla Altis”. Di sana, imejnya sama dengan model Corolla di Eropah, dan menerusi teaser yang ditayangkan oleh UMWT ini, bagaikan kita bakal menerima model yang lebih kurang sama. Apa pun, belum diketahui penawaran enjin untuk spesifikasi model Malaysia. Kena tunggu perincian penuh daripada UMWT.

Toyota Corolla Altis 2019 versi Thailand

Di Thailand, ia ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol naturally-aspirated empat-silinder – 1ZR-FBE 1.6 liter (125 PS dan 156 Nm) dan 2ZR-FBE 1.8 liter (140 PS dan 177 Nm); kedua-duanya dengan padanan transmisi CVT yang menyalurkan pacuannya ke roda hadapan.

Ia turut menawarkan pilihan penjana kuasa hibrid dengan menggandingkan enjin petrol 1.8 liter kitaran Atkinson 2ZR-FXE berkuasa 98 PS/142 Nm dan juga motor elektrik berkuasa 72 PS/122 Nm – secara keseluruhan Corolla Altis Hybrid 2019 dibekalkan dengan kuasa 122 PS, juga bersama transmisi e-CVT.

Corolla Altis generasi ke-11 yang masih dijual di sini ditawarkan dengan enjin 2ZR-FE 1.8 liter (139 PS/173 NM) dan 3ZR-FR 2.0 liter NA empat-silinder (145 PS/187 Nm), kedua-duanya dengan CVT. Tiga varian ditawarkan untuk generasi ke-11 – 1.8E (RM120,000), 1.8G (RM123,000) dan 2.0V (RM138,000).

Kita akan mengetahui lebih banyak informasi mengenai Corolla baharu ini apabila ia dilancarkan kelak. Tepat pada masanya setelah pesaing terdekatnya, Mazda 3 telah dilancarkan pada Julai lalu, dan Honda Malaysia juga bakal memperkenalkan Civic facelift tidak lama lagi.

GALERI: Toyota Corolla Altis 2019 (spesifikasi Thailand)