Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

Dijumpai sedang diuji buat pertama kali pada September 2016, buat kemunculan sulung di Detroit awal tahun ini, dan kini Toyota Supra generasi kelima atau dikenali dengan nama GR Supra A90 secara rasminya di jual pada pasaran Malaysia. Tidak seperti pasaran lain seperti Jepun dan Amerika Syarikat yang menerima tiga versi enjin, kita hanya menerima satu pilihan iaitu varian paling berkuasa dengan enjin 3.0 liter, dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM568,000. Kereta ini diimport sepenuhnya bukan dari Jepun, tapi dipasang oleh Magna Steyr di kilang Graz, Austria.

Seperti yang diketahui, Supra adalah versi produksi model konsep Toyota FT-1 yang muncul pada tahun 2014. Ia dihasilkan bersama BMW serta berkongsi platform dan enjin dengan BMW Z4 G29, dalam satu projek yang bermula pada tahun 2012. Namun pada tahun 2014 setelah rekaan asas platform dan enjin sudah dimuktamadkan, jurutera BMW dan Toyota tidak lagi berhubung antara satu sama lain untuk menyiapkan kereta masing-masing.

Seperti yang anda boleh lihat, Supra hadir sebagai coupe dua-pintu berbanding Z4 yang kekal sebagai sebuah roadster, dan ia menerima rekaan yang diinspirasikan dari Toyota FT-1 terutama pada bahagian hidung, bumbung dan juga pada bahagian belakang.

Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

GR Supra GTS pasaran Malaysia dijana enjin 3.0 liter enam-silinder sebaris turbo yang menjana 340 PS dan tork maksima 500 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF. Seperti rekaan tradisi Supra, enjin yang terletak di bahagian hadapan berkenaan hanya mengalirkan kuasa ke gandar belakang yang turut dilengkapi dengan LSD.

Ini membolehkan Supra A90 memecut dari kedudukan pegun hingga 100 km/j dalam masa hanya 4.3 saat. Kelajuan maksimanya punya dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.

BMW Z4 G29 juga sudah tiba di Malaysia, dijual pada harga RMRM479,800. Namun ia hanyalah dari varian sDrive30i, dijana enjin empat silinder turbo berkuasa 258 PS/400 Nm, dan bukan dari versi paling berkuasa M40i yang menggunakan enjin BMW B58 sama seperti Supra GTS ini.

Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

Supra juga direka dengan agihan berat sempurna dengan nisbah 50:50 di hadapan dan belakang, dan ia menerima suspensi adaptif bervariasi. Untuk memberhentikan kereta ini, set brek Brembo dengan angkup empat omboh berwarna merah bersama cakera 348 mm diberikan di hadapan, dan angkup omboh tunggal bersama cakera 345 mm diletakkan di roda belakang.

Bagi memastikan kereta sport ini sentiasa melekat di atas permukaan jalan, ia diberikan rim 19-inci dua tona, dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport bersaiz 255/35R19 di hadapan dan 275/35R19 di belakang. Ia turut hadir lengkap dengan sistem ABS bersama EBD, VSC dan juga BA.

Pada bahagian dalaman, Supra menerima kabin yang hampir seiras dengan Z4 termasuk papan pemuka, skrin utama 8.8-inci dan roda stereng, tetapi ia diberikan panel instrumen yang lebih tersendiri dengan takometer digital direka seakan unit analog pada adiknya, Toyota 86.

Toyota GR Supra A90 tiba di M’sia – bermula RM568k, 1 varian; GTS, 3.0L 6-silinder turbo, 340 PS/500 Nm

Kelengkapan lain yang turut boleh ditemui pada kabin coupe dua tempat duduk ini termasuk sistem infotaimen Toyota Supra Connect (seperti sistem BMW iDrive) lengkap dengan kawalan gaya iDrive, sistem bunyi JBL dengan 12-pembesar suara, tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala, upholsteri berwarna hitam, sistem pendingin hawa dua-zon dan paparan head-up.

Untuk keselamatan pula, kabin kecil pada Supra berkenaan dilengkapi dengan tujuh beg udara (hadapan, sisi, tirai dan lutut pemandu). Sistem bantuan pemanduan pakej Toyota Safety Sense turut diberikan, terdiri dari sistem seperti brek kecemasan automatik dengan amaran pra-pelanggaran hadapan, amaran pelanggaran belakang, cruise control adaptif, informasi had laju, pemantau titik buta dan amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar lorong, bantuan kekal lorong serta lampu tinggi automatik.

Pelanggan di Malaysia boleh memiliki Supra mereka dengan pilihan lapan warna iaitu Prominence Red, Lightning Yellow, White Metallic, Deep Blue Metallic, Silver Metallic, Matte Storm Grey Metallic, Black Metallic dan Ice Grey Metallic.

Untuk warna-warna terpilih, pelanggan juga sebenarnya perlu untuk menambah kos tambahan sebanyak RM5,000. Manakala untuk kemasan-kemasan dalaman dari material gentian karbon seperti yang anda lihat pada unit yang ditayangkan ketika pelancaran ini, ia sebenarnya memerlukan anda menambah RM12,000 dari harga asal jualan.

UMW Toyota juga mengumumkan bahawa bukan semua pengedarnya mendapat hak untuk menjual Toyota GR Supra A90 ini. Ia hanya boleh didapati pada pengedar yang telah mendapat pengiktirafan untuk membuka GR Garage pada premis mereka. Konsep GR Garage ini sebenarnya sudah diwujudkan di Jepun sebelum ini, dan ia berperanan untuk menjual segala produk di bawah jenama Gazoo Racing (GR), termasuk barisan kereta berprestasi Toyota GR.

Buat permulaan, hanya lima pengedar yang mempunyai fasiliti GR Garage berkenaan – tiga daripadanya terletak di Lembah Klang, satu di utara semenanjung dan satu lagi di selatan.

Lebih perincian Toyota GR Supra A90 ini boleh anda lihat di laman Carbase.my.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required