Toyota GR Supra dilancarkan di Jepun – pilihan 2.0L dan 3.0L turbo, tawar kit badan dan rim 19-inci TRD

Toyota GR Supra dilancarkan di Jepun – pilihan 2.0L dan 3.0L turbo, tawar kit badan dan rim 19-inci TRD

Selepas Amerika Syarikat, Toyota Supra generasi baharu kini secara rasmi mula masuk ke pasaran Jepun. Model A90 tersebut kini kembali sebagai ‘Abang Long‘ di bilik-bilik pameran Toyota di negara berkenaan setelah 17-tahun menghilang dari pasaran.

Untuk model JDM, Supra hadir dengan tiga varian iaitu SZ, SZ-R dan RZ, dengan dua pilihan enjin berbeza. Model paling asas SZ dijual pada harga 4.9 juta yen (RM186,420), model pertengahan SZ-R berharga 5.9 juta yen (RM224,465), manakala versi tertinggi boleh dibeli pada harga 6.9 juta yen (RM262,498).

Toyota Supra SZ dijana oleh enjin B48 empat silinder turbo berkuasa 197 PS pada takat 4,500 rpm dan tork maksima 320 Nm bermula 1,450 hingga 4,200 rpm. Varian pertengahan SZ-R turut menerima enjin yang sama tetapi ditala bagi menghasilkan 258 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,550 hingga 4,400 rpm.

Manakala untuk model paling berkuasa GR Supra RZ, ia menerima enjin petrol turbo 3.0 liter enam silinder sebaris B58 dari BMW yang mampu menghasilkan 340 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 4,500 rpm. Ketiga-tiga pilihan enjin tersebut digandingkan dengan kotak gear lapan kelajuan automatik, dan hanya memacu roda belakang.

Toyota GR Supra dilancarkan di Jepun – pilihan 2.0L dan 3.0L turbo, tawar kit badan dan rim 19-inci TRD

Untuk itu, model paling asas mencatatkan pecutan dari 0-100 km/j dalam masa 6.5 saat, manakala Supra SZ-R pula merekodkan 5.2 saat. Model paling tinggi Supra RZ pula mampu untuk mencatatkan masa hanya 4.3 saat dalam jarak pecutan yang sama.

Kesemua varian Supra menerima mod Sport yang meningkatkan tahap responsif dan juga karekter pemanduan yang lebih dinamik. Istimewa untuk model SZ-R dan RZ, kedua-dua versi ini turut menerima suspensi adaptif dan juga LSD aktif pada gandar belakang.

Pada bahagian luaran, rim adalah perkara paling ketara bagi membezakan kesemua varian. Model paling rendah SZ hanya menerima rim 17-inci dengan tayar run-flat bersaiz 225/50 di hadapan dan 255/45 di belakang. Model SZ-R diberikan rim 18-inci dengan tayar Micheli Pilot Super Sport bersaiz 255/40 di hadapan dan 275/40 di belakang.

Toyota GR Supra dilancarkan di Jepun – pilihan 2.0L dan 3.0L turbo, tawar kit badan dan rim 19-inci TRD

Manakala untuk model RZ, ia dipadankan dengan rim 19-inci dengan dibaluti tayar Michelin dari siri sama dengan saiz 255/35 di hadapan serta 275/35 di belakang. Untuk brek, model paling buas ini menerima sistem dari Brembo dengan angkup empat-omboh berwarna merah di hadapan bersama cakera 348 mm, dan juga angkup omboh tunggal di belakang dengan cakera 345 mm.

Dua model lebih rendah pula dipadankan dengan angkup brek dua-omboh bersama cakera 330 mm di hadapan, manakala di belakang menerima hanya angkup omboh tunggal.

Beralih ke bahagian dalaman, model SZ hanya diberikan tempat duduk manual, upholsteri fabrik dan kemasan-kemasan perak gelap, manakala dua model lebih tinggi pula menerima tempat duduk larasan berkuasa lapan-hala dan juga kemasan gentian karbon. Model SZ-R diberikan upholsteri kabin gabungan Alcantara dan kulit hitam, manakala varian paling mahal RZ diberikan balutan Alcantara dan kulit berwarna merah dan set pedal sport.

Ketiga-tiga model ini menerima sistem penghawa dingin dua zon dan juga kluster paparan instrumen digital. Sistem infotaimen juga standard untuk kesemua model, yang merangkumi skrin sesentuh 8.8-inci. Walau bagaimanapun, hanya SZ-R dan RZ yang dilengkapi dengan sistem bunyi JBL dihubungkan kepada 12-pembesar suara.

Kelengkapan keselamatan juga adalah standard untuk kesemua varian dengan dibekalkan pakej Toyota Safety Sense yang terdiri dari brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan, pemantau titik buta, cruise control adaptif dan juga amaran lintasan trafik belakang.

Pembeli juga boleh memilih pelbagai aksesori asli dari Gazoo Racing seperti tray lembut untuk ruang penyimpanan, kusyen tempat duduk ergonomik, pad lembut pada tali pinggang keledar, pelindung kereta, tukul penyelamat dan juga tempat duduk keselamatan kanak-kanak.

GR turut menawarkan gajet yang digelar sebagai Toyota Gazoo Racing Recorder, iaitu alat yang membolehkan data pemanduan dilogkan terus ke kad SD. Ia turut boleh disokong dengan dashcam opsyenal, yang akan menyatukan data dengan video yang dirakam.

Kalau anda rasa Supra A90 ini tidak cukup garang, Toyota turut menawarkan kit badan dari TRD. Ia terdiri dari spoiler hadapan, skirt sisi, kemasan-kemasan pintu dan juga spoiler belakang. Selain itu penutup cermin sisi gentian karbon dan juga lampu puddle yang akan memancarkan logo “Toyota Supra” pada permukaan tanah juga boleh dipilih. Untuk tidak nampak janggal, TRD turut menawarkan rim forged aluminium 19-inci istimewa bagi dipadankan pada kit berkenaan.

Toyota GR Supra A90 ditawarkan dalam lapan pilihan warna badan bagi pasaran Jepun, iaitu White Metallic, Ice Grey Metallic, Prominence Red, Deep Blue Metallic, Silver Metallic, Black Metallic dan Lighting Yellow. Toyota turut mengumumkan satu warna istimewa Matte Storm Grey Metallic yang hanya akan dihasilkan sebanyak 24 unit sahaja bagi tahun ini. Pembeli yang berminat untuk mendapatkan unit dengan warna berkenaan perlu mengemukakan permohonan mereka sebelum 14 Jun ini.

Untuk yang geram dengan Supra ini, jangan risau kerana UMW Toyota telah mengesahkan bahawa ia akan di bawa secara rasmi ke pasaran tempatan. Jadi, anda hanya perlu bersabar dan sediakan sahaja fulusnya.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required