BMW X5 M F95 dan X6 M F96 didedah dengan versi Competition – kuasa hingga 617 hp dan 750 Nm tork

BMW X5 M F95 dan X6 M F96 didedah dengan versi Competition – kuasa hingga 617 hp dan 750 Nm tork

Demi memenuhi kehendak pelanggan SUV yang dahagakan kuasa, BMW telah mendedahkan X5 M dan X6 M, yang mana kedua-duanya boleh didapati dengan versi Competition yang lebih berkuasa.

Di bawah bonet model standard Sports Activity Vehicle (SAV) dan Sports Activity Coupe (SAC) versi prestasi ini terdapat enjin V8 4.4 liter twin turbo S63B44T4 sama seperti M5 dan M8. Untuk X5 M dan X6 M ini, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 600 PS (591 hp) pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm.

Kuasa ini dihantar kepada semua empat roda melalui transmisi automatik M Steptronic lapan kelajuan dengan Drivelogic dan sistem pacuan semua roda M xDrive serta Active M Differential. Sistem ini menghantar lebih banyak kuasa kepada roda belakang, dan pemandu tidak boleh menukarnya kepada mod 2WD seperti M5 dan M8.

Untuk catatan prestasi, X5 M dan X6 M boleh memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa cuma 3.9 saat, dan 0-200 km/j dalam masa 13.5 saat. Laju maksimum kedua-duanya adalah sama iaitu 250 km/j tapi dengan pakej tambahan M Driver’s, ia boleh pergi kepada 290 km/j.

Sementara itu, versi Competition pula mempunyai kuasa sebanyak 625 PS (617 hp) – tork maksimum masih sama iaitu 750 Nm – dan membantu mengurangkan lagi waktu pecutan 0-100 km/j sebanyak 0.1 saat dan 0.3 saat untuk pecutan 0-200 km/j.

Untuk memadankan kereta dengan kuasa ini, gandar hadapan dan belakang dipasang dengan kinematik dan elastokinematik khas untuk model M, manakala pakej pendakap pula meningkatkan ketegaran badan. Ia kemudiannya dilengkapkan pula dengan suspensi adaptif yang boleh dilaras kepada tiga mod (Comfort, Sport dan Sport Plus), Active Roll Stabilisation serta stereng M Servotronic.

Pada bahagian brek, pemilik akan menerima set angkup enam piston dan cakera 395 mm berliang di hadapan manakala di belakang pula menggunakan angkup satu piston terapung dan cakera 380 mm. Sistem brek ini menggunakan actuator elektrik, jadi pemandu boleh memilih dua tetapan rasa brek iaitu Comfort dan Sport.

BMW X5 M F95 dan X6 M F96 didedah dengan versi Competition – kuasa hingga 617 hp dan 750 Nm tork

Model baru X5 M dan X6 M ini mempunyai gaya yang agresif, dengan bukaan udara yang besar di hadapan, gril kidney khas untuk M dengan dua jalur hitam, sirip M pada panel tepi, lengkuk roda yang lebar, cermin sisi lebih aerodinamik serta dua pasang muncung ekzos. Versi Competition dapat dikenali melalui warna hitam yang digunakan pada bahagian-bahagian tersebut.

Pelanggan juga boleh memilih penutup enjin dan pelindung cermin yang dibuat daripada gentian karbon, manakala untuk X6 M dan X6 M Competition, ia boleh didapati dengan spoiler belakang yang dibuat daripada bahan sama. Pilihan warna untuk model ini ada banyak, termasuk tiga warna khas model M dan pelbagai lagi barangan pilihan BMW Individual termasuk rim antara 21 hingga 22 inci.

Pada bahagian dalam, banyak bahagian yang menunjukkan ini adalah model M, bermula dengan roda stereng yang mempunyai butang M (M1 dan M2), tombol gear khas M, tempat duduk sports, data berorientasikan prestasi untuk sistem Live Cockpit Professional, head-up display serta butang mod M.

Pakej Driving Assistant datang secara standard pada kenderaan ini, termasuk Lane Change Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Rear Collision Prevention. Ia juga boleh dinaik taraf kepada pakej Driving Assistant Professional yang akan memberikan Steering and Lane Control Assistant, Lane Keeping Assistant dengan perlindungan perlanggaran tepi aktif, Lane Change Assistant, Evasion Assistant, Emergency Stop Assistant, Crossroads warning, Wrong-way Warning dan Front Cross Traffic Alert.

Sistem bantuan standard lain adalah termasuk Active Guard Plus, Lane Departure Warning, Parking Assistant denga Active Park Distance Control dan Reversing Assistant. Ia kemudiannya boleh dinaik taraf kepada Parking Assistant Plus yang memberikan pandangan atas, panorama, 3D dan Remote 3D.

GALERI: BMW X5 M Competition F95

GALERI: BMW X6 M Competition F96

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required