GALERI: Mazda CX-5 2.5L turbo petrol – RM177k

GALERI: Mazda CX-5 2.5L turbo petrol – RM177k

Mazda CX-5 2.5L turbo petrol telah didedahkan sekitar yang sebulan lalu, dan tempahannya juga sudah mula dibuka, namun sehingga kini ia masih lagi belum dilancarkan secara rasmi. Seperti yang telah diumumkan sebelumnya, varian baharu ini adalah serentak dengan kemaskini keseluruhan CX-5 untuk barisan model 2019, dan ia adalah sebagai model gantian untuk varian turbodiesel 2.2L GLS AWD, dimana versi diesel tersebut hanya ditawarkan dalam versi 2WD.

Ini menjadikan CX-5 masih boleh dipilih dalam lima varian. Ia bermula dengan model asas 2.0 GL 2WD akan dijual pada harga jangkaan RM134,721 jika anda memilih warna solid atau RM138,500.20 untuk pilihan warna lain (kecuali warna premium yang perlu penambahan RM3,000 untuk semua varian).

Model 2.0 GLS 2WD pula dijual pada harga jangkaan RM154,753.20, manakala 2.5 GLS 2WD berharga RM166,470.40. Satu-satunya varian diesel iaitu 2.2D 2WD GLS bakal dijual pada harga RM170,294.80. Untuk model baharu ini, varian tertinggi adalah model 2.5 Turbo GLS AWD, menerima enjin petrol SkyActiv-G 2.5 liter Turbo berkuasa 228 hp/420 Nm dijual pada harga RM176,899.40. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran.

GALERI: Mazda CX-5 2.5L turbo petrol – RM177k

Untuk pilihan warna, hanya Artic White hadir sebagai pilihan warna solid biasa, manakala Jet Black, Meteor Grey, Sonic Silver dan Deep Crystal Blue adalah warna metalik. Pilihan warna metalik premium pula terdiri dari Soul Red Crystal, Machine Grey dan Snowflake White Pearl. Setiap pembelian Mazda CX-5 2019 ini akan diberikan tempoh jaminan lima-tahun/100,000 km dan pakej penyelenggaraan percuma.

Varian baharu 2.5L Turbo GLS AWD ini diberikan 2.5 liter lengkap dengan pengecas turbo, membolehkan ia menghasilkan kuasa setinggi 228 hp pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 420 Nm pada bermula seawal 2,000 rpm. Manakala untuk pilihan diesel, ia kekal dengan enjin SkyActiv-D 2.2 liter turbodiesel empat-silinder menghasilkan 188 hp pada 4,500 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 2,000 rpm.

Manakala untuk varian lain, ia masih kekal dengan unit penjana sama. Oleh itu, semua versi 2.0L dijana unit SkyActiv-G 2.0 liter empat-silinder petrol yang menghasilkan 162 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 213 Nm pada takat 4,000 rpm. Begitu juga varian 2.5 GLS 2WD, unit penjana SkyActiv-G 2.5 liter tanpa turbo masih digunakan, menghasilkan 192 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 258 Nm pada takat 4,000 rpm.

GALERI: Mazda CX-5 2.5L turbo petrol – RM177k

Semua enjin ini digandingkan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan lengkap dengan sistem i-Stop. Ciri Mazda G-Vectoring Control Plus (GVC Plus) juga dipasang standard untuk semua varian. Semua varian 2.0 akan menggunakan rim aloi 17-inci dengan tayar 225/65R17, manakala yang lebih tinggi lain diberikan rim 19-inci dibaluti tayar 225/55R19.

Kelengkapan standard untuk semua varian termasuk lampu utama LED automatik dengan lampu belakang, lampu kabus dan DRL juga LED – kecuali pada varian 2.0 GL 2WD yang hadir dengan DRL mentol biasa. Varian paling rendah juga tiada ciri sistem tanpa kunci, tiada pintu ruang barangan belakang berkuasa elektrik dan tiada sensor parkir (empat di depan dan empat di belakang).

Masuk ke kabin, kelengkapan yang ditawarkan termasuk butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa dua-zon, brek parkir elektrik dengan fungsi Brake Hold serta roda stereng dengan suis pelbagai-fungsi. Selain itu, sistem infotainmen Mazda Connect juga adalah standard, dengan skrin sentuh tujuh-inci, Commander Control, enam pembesar suara dan sokongan untuk Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain varian paling asas, semua model lengkap dengan tempat duduk larasan elektrik (10-hala untuk pemandu, dengan fungsi memori; enam-hala untuk penumpang), balutan kulit, serta kemasan kayu – varian 2.0 GL 2WD pula menerima kemasan berwarna gunmetal.

Perbezaan lain antara varian ialah seperti pada bahagian kluster instrumen, dengan varian 2.0 menerima meter analog dan skrin LCD TFT 4.6-inci, sementara bagi varian 2.5 dan 2.2D pula menerima meter kelajuan digital menerusi skrin tujuh-inci Active Driving Display. Pilihan paling asas akan menerima kamera undur dan bukannya kamera 360-darjah seperti pada varian lain.

Kelengkapan keselamatan pula hampir sama bagi semua varian; antaranya termasuk enam beg udara, Dynamic Stability Control (DSC), Traction Control System (TCS), ABS, EBD, Emergency Brake Assist (EBA), Emergency Stop Signal (ESS), Hill Launch Assist (HLA) dan Isofix. Bagaimanapun, bagi ciri keselamatan maju, ada beberapa perbezaan penawaran.

Varian paling asas tidak dilengkapi dengan ciri canggih ini. Misalnya, varian 2.0 GLS 2WD dan 2.5 GLS 2WD datang dengan ciri Adaptive Front-Lighting System (AFS), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Smart City Brake Support Forward (SCBS F) – bagaimanapun, hanya model 2.5L yang menerima Driver Attention Alert (DAA) dan Smart City Brake Support Reverse (SCBS R).

Tambahan lain bagi varian 2.5L Turbo AWD dan 2.2D GLS AWD pula ialah Adaptive LED Headlights (ALH), Lane Departure Warning System (LDWS) dan Lane-Keep Assist System (LAS); tiada ciri Mazda Radar Cruise Control (MRCC) ditawarkan.

GALERI: Mazda CX-5 2.5 Turbo GLS AWD 2019

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required