SUV dengan tiga baris tempat duduk, Mazda CX-8 belum lagi dilancarkan secara rasmi di Malaysia. Namun ketika satu majlis khas sempena kumpulan pertama model ini keluar dari barisan produksi di kilangnya di Kulim, Kedah pada awal bulan ini, kami telah berkesempatan untuk memandu ujinya secara ringkas.

Kalau kita lihat rupa CX-8 ini, ia kelihatan seolah-olah hanya sebuah CX-5 yang dipanjangkan, tetapi adakah karekternya juga masih sama dengan adiknya yang hanya mempunyai dua baris tempat duduk itu?

Jika dilihat pada dimensi, CX-8 menampilkan ukuran panjang 4,900 mm, lebar 1,840 tinggi 1,730 mm. Berbanding CX-5, CX-8 ini adalah 350 mm lebih panjang dan 50 mm lebih tinggi, tetapi masih menampilkan lebar yang sama. Manakala jika dibanding dengan model flagship CX-9, model ini adalah 175 mm lebih pendek, 129 mm kurang lebar dan 17 mm lebih rendah.

Menurut Mazda, platform CX-8 ini adalah hampir keseluruhannya diambil dari CX-9, dan sebab itulah kedua-dua model tersebut mempunyai jarak roda yang sama iaitu 2,930 mm. CX-8 ini adalah penawaran Mazda bagi mengisi ruang antara CX-5 dan juga CX-9 – bermaksud ia adalah SUV yang lebih banyak tempat duduk dari CX-5 jika anda perlukan, tetapi ia masih tidak semewah apa yang ditawarkan pada CX-9.

Mazda masih belum mengumumkan harga sebenar CX-8 ini, namun kita boleh jangka bahawa harganya juga akan terletak di tengah-tengah antara CX-5 dan CX-9. Untuk rekod, Mazda CX-5 dijual pada harga bermula RM137k hingga 178k, manakala CX-9 pula dijual pada harga bermula RM289k hingga RM306k.

Empat varian CX-8 akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia yang terdiri dari tiga versi petrol NA iaitu 2.5L 2WD Mid, 2.5L 2WD Mid Plus dan 2.5L 2WD High serta satu pilihan turbodiesel iaitu 2.2L AWD. Dari segi rupa, muka CX-8 ini masih lagi seiras dengan CX-5. Kedua-duanya dibezakan dengan pemadanan gril di mana CX-5 menerima gril mesh, manakala CX-8 diberikan elemen slat seakan gril pada CX-9.

Semua varian menerima rim aloi 19-inci dengan tayar 255/55R19 (Mid Plus dengan kemasan perak, High dan diesel pula kemasan aloi lebih gelap), lampu hadapan LED automatik (hanya model asas diberikan lampu mentol), lampu kabus LED, lampu belakang LED. Selain dari rim, model diesel juga boleh anda kenali dari luar berdasarkan sepasang rel bumbung yang diberikan dengan kemasan perak.

Masuk ke kabin, anda akan dihidangkan dengan papan pemuka yang diambil terus dari CX-5. Namun untuk CX-8 ini, ia masih menggunakan kelengkapan CX-5 terdahulu – dibekalkan dengan instrumen analog bersama skrin pelbagai info LCD TFT tanpa meter kelajuan digital.

Dua jenis konfigurasi tempat duduk ditawarkan pada CX-8 pasaran Malaysia. Model paling asas 2.5L 2WD Mid hadir dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk (2-2-2) dan juga upholsteri fabrik, manakala model 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD pula berkongsi kelengkapan yang sama iaitu enam-tempat duduk (2-3-2) dengan baris kedua menerima kerusi kapten dipisahkan dengan konsol perehat tangan dan pemegang cawan, serta upholsteri balutan kulit Nappa.

Ciri-ciri lain yang turut dibekalkan pada SUV ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, tailgate berkuasa, sistem infotainmen MZD Connect, enam-beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

Model tertinggi petrol dan diesel pula turut hadir dengan kamera pemantau sekeliling 360-darjah dan juga paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan.

Sistem bantuan pemanduan Mazda i-Activesense pula hanya diberikan pada model tertinggi 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD, terdiri dari sistem lampu hadapan LED Adaptif (ALH), Amaran Keluar Lorong (LDWS), Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan Sokongan Brek Bandar Pintar hadapan dan belakang (CMBS).

Untuk model petrol, ia dijana enjin 2.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 192 hp/257 Nm, dengan kotak gear automatik enam kelajuan memacu roda hadapan. Manakala versi diesel akan diberikan enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D menjana 188 hp/450 Nm, dan satu-satunya varian ditawarkan dengan sistem AWD.

Bagi sesi pandu uji ini, saya hanya berkesempatan untuk menguji model turbodiesel 2.2L AWD. Sebelum berpeluang untuk memandu, saya terlebih dahulu mencuba untuk duduk di bahagian paling belakang, kerana untuk model-model tiga baris tempat duduk, ini adalah antara bahagian yang orang tertanya-tanya adakah ia cukup selesa atau tidak bukan?

Dengan saiz CX-8 yang begitu besar, ruang pada bahagian tersebut boleh dikatakan agak ok dan selesa. Ia menampilkan ruang kaki yang ‘ngam-ngam’ untuk orang dewasa, dan hadir dengan ruang storan pada kedua-dua belah sisi yang agak besar membolehkan anda meletak satu botol air, sebungkus jajan dan juga telefon pintar tanpa masalah, dan ia juga turut boleh bertugas sebagai perehat tangan.

Kulit Nappa yang membaluti tempat duduk SUV ini juga sangat lembut, membuatkan ia bukan sahaja sangat selesa, malah rasa premium dalam kabin turut bertambah. Suspensi yang ditala dengan cukup baik juga tidak menjadikan anda terasa melambung-lambung walaupun duduk betu-betul di atas ruang roda.

Mazda juga mengambil berat aspek NVH sehingga kebahagian paling belakang ini bukan sahaja dengan menambah bahan menyerap bunyi dan getaran pada tiang-D serta dinding di bawahnya, malah jarak antara kemasan bumbung dan spoiler belakang juga diambil kira bagi mengurangkan bunyi yang masuk ke kabin semaksima yang mungkin.

Tetapi, bukanlah bermaksud ruang ini pada CX-8 adalah sempurna. Pertama, lantai pada tempat duduk paling belakang ini masih lagi lebih tinggi dari hadapan (kerana di bawahnya terletak pelbagai sistem mekanikal antaranya sistem suspensi dan juga gandar untuk pacuan roda belakang), membuatkan lutut anda berada pada posisi lebih tinggi – kalau anda ada perut besar macam saya, tentulah ini juga menyumbang kepada ketidakselesaan.

CX-8 juga masih mengekalkan liang udara sistem pendingin hawa kabin belakang di konsol perehat tangan kabin hadapan dan bukan terletak pada bumbung, jadi penumpang paling belakang tidak berpeluang untuk mendapat udara sejuk yang dihala tepat ke muka.

Walau bagaimanapun, Mazda menyatakan bahawa mereka telah melakukan pelbagai usaha bagi membolehkan penumpang belakang kekal sejuk, antaranya mewujudkan satu liang kecil yang terdapat di bawah tempat duduk baris kedua, khas untuk penumpang di baris ketiga. Memang benar bahagian ini sebenarnya memang sejuk, tapi sebagai rakyat Malaysia, rasa tak puas kan kalau tak dapat ‘angin ekon’ yang dihembus terus ke muka?

Jika anda nak rasa seperti seorang ‘bos’, kerusi kapten pada baris kedua adalah tempatnya. Bahagian tersebut bukan sahaja luas, ia juga memberikan rasa lebih privasi dengan rekaan tempat duduk yang lebih bersifat individual. Ia juga dapat memberikan ada rasa seolah-olah menaiki sebuah MPV mewah, dan bukannya sebuah SUV.

Ketika berpeluang memandu SUV ini, perkara pertama yang saya jangka adalah tujahan enjin turbodiesel Mazda yang sentiasa saya rindui selepas memandu sedan Mazda 6 SkyActiv-D dan juga CX-5 SkyActiv-D, kedua-duanya dibekalkan dengan enjin sama seperti CX-8 ini. Tapi sebaik sahaja pedal pendikit ditekan, tujahan yang diharapkan nampaknya tidak hadir.

Ini bukan bermaksud CX-8 diesel ini kurang berkuasa, ia masih memberikan pecutan yang sangat baik, cuma penghantaran kuasanya dirasakan sangat linear dan ia jauh lebih jinak dari CX-5. Kemudian saya teringat ketika sesi penerangan teknikal kereta ini sebelum pandu uji bermula tadi, pengurus program dari divisi produk Mazda, Koichiro Yamaguchi menerangkan bahawa nisbah gear akhir pada CX-8 ini adalah lebih panjang dari CX-5.

Talaan kotak gear berkenaan menjadikan anda akan rasa seronok untuk memandu CX-8 ini secara tenang, dan bukan sentiasa mahu memecut tak tentu hala dek kerana penangan tork 450 Nm tersebut. Ini juga sebenarnya sesuai dengan imejnya sebagai sebuah kenderaan untuk ‘ayah-ayah’ yang mempunyai anak yang ramai, dan tentunya sudah berusia dan mempunyai sifat lebih tenang berbanding orang muda.

Tidak banyak yang boleh diperkatakan tentang pengendalian SUV ini kerana laluan uji pandu kali ini lebih tertumpu pada kawasan bandar dan juga jalan persekutuan serta lebuh raya yang lurus. Apa yang boleh saya komen adalah, walaupun dengan badan yang besar dan juga jarak roda yang panjang, ia masih lagi lincah untuk digunakan dalam suasana urban, dengan stereng yang memberikan respon yang cukup jitu seperti model-model Mazda lain.

Sebagai kesimpulan, saya melihat CX-8 ini sebagai sebuah SUV yang jauh lebih matang dari CX-5, bukan sahaja dari segi rupa, malah karekter pemanduannya juga. Jika kedua-dua SUV ini adalah manusia, CX-5 adalah lelaki dalam lingkungan umur 20’an yang lincah dengan badan yang masih slim, manakala CX-8 pula adalah lelaki yang lebih berusia sekitar 35 hingga 40 tahun dengan sifat yang lebih matang, tidak terburu-buru, dan badan lebih berisi.