Bagi anda yang tertunggu-tunggu SUV tiga baris-tempat duduk dari Mazda iaitu CX-8, ini berita baik – model pemasangan tempatan tersebut diumumkan sudahpun mula boleh ditempah bermula hari ini serentak dengan pendedahan unit pertama keluar dari kilang pemsangannya di Kulim pagi ini.

CX-8 adalah SUV yang diletakkan satu tangga di bawah model flagship Mazda CX-9, dan satu tangga di atas CX-5. Secara asasnya, ia adalah CX-5 dengan saiz lebih besar terutamanya jarak roda yang lebih panjang bagi membolehkan ia diberikan satu baris tempat duduk tambahan. Ia diukur dengan dimensi 4,900 mm panjang, 1,840 mm lebar, 1,730 mm tinggi dan jarak roda 2,930 mm – atau 230 mm lebih panjang dengan jarak roda 230 mm lebih jauh dari CX-5.

Dua jenis konfigurasi tempat duduk ditawarkan pada CX-8 pasaran Malaysia. Anda boleh memilih sama ada dengan konfigurasi tujuh tempat duduk (2-3-2) , atau versi lebih premium enam tempat duduk (2-2-2) yang hadir dengan captain seat untuk barisan tengah. Secara keseluruhan, empat varian ditawarkan terdiri dari tiga versi petrol NA iaitu 2.5L 2WD Mid, 2.5L 2WD Mid Plus dan 2.5L 2WD High serta satu pilihan turbodiesel iaitu 2.2L AWD.

Model paling asas 2.5L 2WD Mid hadir dengan konfigurasi tujuh-tempat duduk, lampu nyalaan siang dengan mentol dan juga upholsteri fabrik. Model 2WD Mid Plus pula menerima konfigurasi enam-tempat duduk, lampu nyalaan siang LED dan upholsteri fabrik.

Model 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD pula berkongsi kelengkapan yang sama iaitu enam-tempat duduk dengan baris kedua dipisahkan dengan konsol perehat tangan dan pemegang cawan, serta upholsteri balutan kulit Nappa.

Pada bahagian luar, selain dari jarak roda panjang CX-5 dan CX-9 dibezakan dengan pemadanan gril dimana model lebih panjang ini diberikan gril dengan elemen slat mendatar seperti CX-9 berbanding mesh pada CX-5. Model diesel pula menerima rel bumbung dengan kemasan perak.

Semua varian menerima rim aloi 19-inci dengan tayar 255/55R19 (Mid Plus dengan kemasan perak, High dan diesel pula kemasan aloi lebih gelap), lampu hadapan LED automatik (hanya model asas diberikan lampu mentol), lampu kabus LED, lampu belakang LED, sistem pintar tanpa kunci, kawalan pendingin hawa tiga-zon, kerusi pemandu larasan 10-cara, tailgate berkuasa, sistem infotainmen MZD Connect, enam-beg udara, kawalan kestabilan dinamik, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan cengkaman dan bantuan mula mendaki.

Model tertinggi petrol dan diesel pula turut hadir dengan kamera pemantau sekeliling 360-darjah dan juga paparan head-up yang dipancarkan ke cermin hadapan.

Sistem keselamatan Mazda i-Activesense hanya diberikan pada model tertinggi 2.5L 2WD High dan 2.2L AWD, terdiri dari sistem lampu hadapan LED Adaptif (ALH), Amaran Keluar Lorong (LDWS), Bantuan Kekal Lorong (LKAS), Amaran Perhatian Pemandu (DAA), Pemantau Titik Buta (BSM), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA), dan Sokongan Brek Bandar Pintar hadapan dan belakang (CMBS).

Walau bagaimanapun, model 2.5L 2WD Mid Plus akan diberikan sistem Lampu Adaptif Hadapan (AHS), BSM, RCTA dan juga CMBS untuk bahagian hadapan sahaja.

Untuk model petrol, ia akan dijana enjin 2.5 liter NA SkyActiv-G berkuasa 192 hp/257 Nm, dengan kotak gear automatik enam kelajuan memacu roda hadapan. Manakala versi tertinggi akan diberikan enjin turbodiesel 2.2 liter SkyActiv-D menjana 188 hp/450 Nm, dan satu-satunya varian ditawarkan dengan sistem AWD.

Walau bagaimanapun, Mazda Malaysia masih belum mendedahkan harga CX-8 2019 CKD, tetapi ia dijangka akan diumumkan dalam masa berberapa minggu lagi. Enam warna ditawarkan untuk SUV ini iaitu Soul Red Crystal, Machine Grey, Snowflake White Pearl, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, dan Jet Black. Setiap pembelian model ini akan disertakan dengan waranti lima-tahun atau 100,000 km serta selenggaraan percuma selama lima-tahun.

GALERI: Mazda CX-8 diprebiu ketika di Malaysia Autoshow 2019