Hyundai Ioniq facelift 2020 tiba di Amerika Syarikat

Hyundai Ioniq <em>facelift</em> 2020 tiba di Amerika Syarikat

Selepas diperkenalkan di Korea awal tahun ini, trio Hyundai Ioniq facelift – Hybrid, Plug-in Hybrid dan Ioniq Electric – kini tiba di Amerika Syarikat, diperkenalkan ketika berlangsungnya Los Angeles Auto Show 2019. Model kemaskini ini bukan sahaja tampil dengan rupa sedikit berbeza, ia turut menampilkan tingkat taraf pada unit janakuasa.

Untuk model elektrik sepenuhnya, ia menerima bateri dengan kapasiti lebih besar – meningkat dari 28 kWj kepada 38.3 kWj. Ini membolehkan jarak geraknya meningkat kepada 274 km, melangkaui jarak gerak Nissan Leaf iaitu 241 km (jarak gerak adalah berdasarkan ujian EPA Amerika).

Pengecas dengan hubungan jenis Type 2 pada Ioniq Electric ini juga dipertingkat dari 6.6 kW kepada 7.2 kW, dan ia kini turut boleh menggunakan stesen pengecas pantas 100 kW DC (menerusi hubungan CCS), menawarkan caj 80% hanya dalam masa 54 minit.

Bagi model Hybrid dan Plug-In Hybrid, enjin petrolnya masih menggunakan unit sama iaitu enjin Kappa 1. liter empat-silinder kitaran Atkinson berkuasa 105 PS/147 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik EcoShift enam-kelajuan.

Namun kedua-dua model ini diberikan peningkatan pada sistem elektrifikasinya. Model Hybrid kini diberikan motor elektrik 43.5 PS/170 Nm yang menerima suapan kuasa dari bateri lithium-ion 1.56 kWj (240 volt). Manakala versi PHEV pula digandingkan dengan motor elektrik berkuasa 60.5 PS/170 Nm, menerima tenaga dari bateri lithium-ion 8.9 kWj (360 volt), dan diberikan pengecas onboard 3.3 kW.

Walau bagaimanapun, kuasa gabungan pada kedua-dua model ini masih kekal sama iaitu 141 PS/265 Nm. Menurut Hyundai versi Hybrid mampu untuk bergerak dengan hanya kuasa elektrik dengan kelajuan maksima 120 km/j, manakala PHEV pula menawarkan pemanduan elektrik sepenuhnya dengan jarak gerak 52 km (berdasarkan standard WLTP).

Hyundai Ioniq <em>facelift</em> 2020 tiba di Amerika Syarikat

Dari segi rekaan, model 2020 ini diberikan berberapa perubahan. Yang ketara adalah gril hadapan di mana versi Hybrid dan PHEV menerima gril bercorak mesh baharu, manakala model Ioniq Electric diberikan gril tertutup yang lebih menyerlah. Selain itu, ia turut tampil dengan warna baharu iaitu Stellar Silver dan Electric Shadow dan pelbagai rekaan rim baharu dengan saiz sehingga 17-inci.

Pada bahagian dalaman, Ioniq diberikan sistem hiburan dengan skrin berdiri sendiri bersaiz 10.25-inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto, serta boleh dihubungkan serentak kepada dua telefon pintar menerusi hubungan Bluetooth. Walau bagaimanapun, varian lebih rendah hanya diberikan skrin bersaiz 8-inci, tetapi masih mempunyai sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Untuk keselamatan pula, Ioniq dibekalkan standard dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan seperti Amaran Pelanggaran Hadapan, Bantuan Mengelak bersama Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal, Amaran Perhatian Pemandu, Bantuan Kekal Lorong dan Bantuan Lampu Tinggi.

Pembeli boleh menambah sistem keselamatan mereka dengan pilihan sistem Bantuan Mengikut Lorong, Cruise Control Pintar dengan fungsi Stop & Go, Amaran Pelanggaran Titik Buta dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (standard untuk model PHEV dan Electric, opsyen untuk Hybrid). Hyundai Ioniq facelift 2020 akan dijual pada harga bermula US$23,000 (RM96k).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required