Rasanya ramai yang sedia maklum, bulan lalu, Toyota memperkenalkan model Yaris generasi keempat yang menjadi model pertama yang menggunakan Toyota New Global Architecture (TNGA) untuk model kompak, juga dikenali sebagai GA-B. Dan, melihat kepada cara penawaran model sama sebelum ini, Yaris selalu akan ada versi sedan dalam pasaran, dikenali sebagai Yaris Ativ. Kita di Malaysia mengenalinya dengan nama Vios.
Dengan andaian ini, agaknya bagaimana rupa Vios generasi terbaru kelak, sekiranya rekabentuknya akan didasarkan kepada model Yaris terbaru berkenaan? Inilah yang cuba ditunjukkan oleh rekaan digital yang dihasilkan oleh Theophilus Chin ini.
Seperti yang dapat dilihat, wajah depan Vios ini masih lagi sama seperti versi hatchback. Baik jika dilihat pada rekaan gril, lampu utama serta inlet pada sudut bampar yang menempatkan lampu kabus. Ini sama seperti yang pernah dilihat pada Yaris dan Yaris Ativ yang saling berkongsi wajah depan, dengan begitu sedikit perbezaan.
Apa yang membezakan keduanya adalah dari tiang A dibawa ke belakang, memandangkan bumbung hatchback yang dilanjutkan lebih jauh ke belakang. Ini turut melibatkan ruang cermin pada tingkap dan bentuknya yang berlainan bagi sedan.
Selebihnya, garis yang kelihatan pada lengkuk tayar belakang Yaris turus diringkaskan pada sedan. Ia bersambung ke bahagian hujung lampu belakang melalui bahagian pemegang pintu dan bukan lagi mengunjur ke bawah. Garis bawah pada pintu juga dilanjutkan hingga ke belakang, dengan satu lagi garis berasingan dari lampu utama ke bahagian bawah pemegang pintu depan dikekalkan.
Di belakang, lampu dengan dua bahagiannya dijadikan lebih kecil berbanding sebelum ini, dan disambungkan oleh kemasan pada lencana Toyota yang digunakan dari ruang nombor plat – hal sama dapat dilihat pada Corolla yang dijual di sini. Apron bawah juga bersekali dengan elemen pemantul cahaya yang lebih kemas ditempatkan di situ.
Belum diketahui bila Vios generasi baru ini akan diperkenalkan. Tetapi, Yaris Ativ sedia ada telah diperkenalkan di Thailand pada 2017, dan baru-baru ini diberikan pula kemaskini. Di Malaysia, Vios terbaru yang kita terima diperkenalkan secara rasmi pada Januari tahun ini. Apa pandangan anda tentang imej Vios terbaru yang ditunjukkan ini?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.