10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Melihat semula ke belakang, tahun 2019 diam tak diam menjadi satu penanda tersendiri untuk saya; kurang lebih sudah 12 tahun bergelumang di dalam media automotif tempatan. Sepanjang tempoh itu juga, terlalu banyak hal-hal yang telah ditempuh, sebahagiannya menyenangkan, sebahagian lagi sebaliknya.

Tetapi, apa yang lebih penting, sepanjang tempoh sedekad ke belakang itu jugalah, terlalu banyak model kenderaan yang sempat dicuba atau didekati. Maka, untuk menyorot kembali dan mengingati kesemuanya bukanlah satu tugas yang mudah, bahkan akan ada yang keciciran.

Namun, untuk memilih hanya 10 daripadanya, saya mengecilkan skop berkenaan, dan hanya menilai dan mengenang semula model-model kenderaan yang memberi kesan secara peribadi, baik dari sudut pandangan, penggunaan atau tanggapan umumnya.

Berikut 10 model kenderaan pilihan peribadi bagi tempoh sedekad yang lalu:

10. Range Rover Evoque

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

SUV ini, yang diperkenalkan pertama kali untuk pasaran Malaysia pada 2011, tampil dengan imej yang langsung lari daripada rekaan umum model-model lain Land Rover atau Range Rover ketika itu. Adalah satu contoh menarik untuk kita melihat kelangsungan sesebuah jenama yang tidak takut berinovasi seperti yang ditunjukkan oleh Range Rover melalui model Evoque. Sehingga hari ini, saya tidak jemu untuk menatap SUV berkenaan.

Apatah lagi ketika memandunya dahulu, pengalaman yang terlahir sangat menyenangkan. Untuk saya, tentulah versi enjin diesel yang lebih memikat, kerana janaan tork dan lonjakan segeranya. Dengan Evoque, tiba-tiba imej Defender yang berkotak dan gagah itu pun boleh di atasi, sekaligus menjadi alternatif baru.

Begitu juga dengan Range Rover Sport; walaupun dalam kelas SUV mewah dan mahal, ia tidak selalu menerbitkan keghairahan yang sama seperti Evoque. Walaupun kecil, Evoque masih nampak moden dan sophisticated hingga ke hari ini – dalam konteks rekaan bagi kenderaan yang pernah dikeluarkan oleh jenama itu tentunya. Generasi kedua model ini dijangka akan dilancarkan di sini tahun 2020.

9. Jentera lumba Formula 4

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Sepanjang bertugas sebagai media automotif, ada beberapa kali kesempatan tiba untuk saya memandu jentera Formula 4 yang sebenar di litar Sepang. Contohnya ketika sesi khas Formula BMW, atau acara pandu uji tayar oleh Michelin, yang turut memberi peluang kepada peserta untuk memandu sendiri jentera lumba berkenaan.

Sama seperti pengalaman belajar memandu dan mengendalikan Isuzu D-Max 3.0L Monster di dalam hutan belantara Sabah (lihat N0. 4), jentera ini memberikan saya pengalaman sama, tetapi dalam persekitaran pemanduan yang berbeza – belajar di litar untuk menjadi lebih bertanggungjawab di jalanraya.

Dengan tempat duduk tunggal, sut lumba lengkap, helmet fullface, menyarung pakaian lengkap ini dan duduk di ruang pemandu dengan posisi kaki terlunjur hampir berbaring sahaja sudah memerlukan anda untuk bertenang – kerana mudah rasa rimas, sesak nafas dan panas. Ketika mula memandu pula, perasaannya adalah seperti menerima maklum balas yang sangat direct buat pertama kalinya dari segala saluran input dan permukaan yang ada, terutama sekali dari tayar dan sterengnya.

Dengan deria yang tidak terlatih pun, anda akan dapat rasakan bila jentera berkenaan akan cenderung untuk oversteer/understeer, bagaimana rasanya jika terlalu laju memasuki selekoh, dan bagaimana untuk meletakkan seberapa banyak kemahiran sendiri untuk mengendalikannya supaya tidak terbabas dan sentiasa berada dalam kawalan. Semua itu pengalaman yang sangat berharga. Bila sudah merasa bagaimana hilang kawalan dalam jentera seperti ini, anda pasti tak ingin tunjuk hebat atas jalan.

8. Triumph Street Twin 900 cc

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Ini sebuah motosikal, yang dengan caranya yang tersendiri dan tidak sengaja, jatuh ke tangan saya dan digunakan sejak lebih dua tahun lalu. Agak sukar untuk meyakinkan orang yang tidak gemarkan motosikal tentang betapa menyenangkan perasaan ketika menunggang itu.

Dan Triumph Street Twin 2016 yang saya gunakan ini tambah mengukuhkan lagi pengalaman dan pandangan berkenaan. Motosikal dengan kapasiti enjin besar tak semestinya bising atau sukar ditunggang atau dikendalikan.

Walaupun kekal dengan imej retro seperti model-model dari keluarga Bonneville dahulu, Street Twin tak pernah lekang daripada mendapat perhatian dan dipandang berkali-kali ketika di atas jalan. Setiap kali berada di atasnya, serba-serbi saya rasakan mengena dan meluncur dengan tenang.

Dengan motosikal ini, nikmat tunggangan jadi bertambah. Walaupun biasanya hanya berjalan seorang, ia selalu menjadi teman yang baik untuk saya. Perjalanan ke Sitiawan menjadi lebih singkat dengannya. Begitu juga dengan lekuk-lekuk selekoh jalan Seremban-Kuala Pilah yang seronok juga dilayan, walaupun tak ada aksi corner baring atau sebagainya. Semuanya tenang-tenang saja. Motosikal ini akan kekal dalam simpanan sendiri untuk satu tempoh masa yang lama.

7. Toyota 86/GR Supra

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Ada kereta yang bila diperkenalkan, akan menerbitkan rasa seronok dalam diri, padahal jarang-jarang dapat bawa atau pandu. Untuk saya, getus ini antaranya pernah datang dari Toyota. Dan, sebab tak boleh nak buat pilihan mudah, maka saya masukkan kedua-duanya sekali model yang dimaksudkan — Toyota 86 dan juga GR Supra A90 terbaru.

Seronok untuk melihat kedua-dua model yang ada sejarah panjang ini dihidupkan semula oleh Toyota, di antara keduanya dengan senggang kurang daripada 10 tahun. Legasi tak sepatutnya dilupakan atau dihapuskan, apatah lagi bagi kereta yang mempunyai reputasi yang cukup besar seperti keduanya.

Betul, rekaan baru yang menggunakan kedua-dua nama lagenda itu boleh didebatkan – 86 bukan lagi seperti yang dulu, dan Supra ada klon sama dari BMW – tetapi aspirasi yang dibawa tak pernah tersasar. Kerana kedua-duanya sudah memiliki sejarah panjang. Untuk menyaksikan mereka dihidupkan semula dalam dekad ini, itu satu yang sangat melegakan.

6. Ford Ranger T6

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Saya masih ingat, mungkin dalam tahun 2012, ketika Ford Ranger akan membuat penampilan semula dalam bentuk generasi terbarunya untuk pasaran tempatan. Bingit orang memperkatakan tentangnya, bahawa ini trak pikap yang akan menjadi jambatan dan menarik perhatian ramai orang untuk beralih daripada kereta kepada menggunakan trak pikap.

Sebabnya, ia dikhabarkan akan menjadi cukup selesa, kabin serta pemanduannya lebih mudah dan dekat dengan gaya pemanduan kereta sedan dan sebagainya. Maka, seperti yang kita lihat hari ini, Ranger benar-benar berhasil mengubah corak pasaran menanggapi sebuah trak pikap – dan membuka jalan baru untuk orang mula menghargai jenis kenderaan ini dalam skala yang lebih meluas.

Bermula dengan Ranger, trak pikap bukan lagi untuk kegunaan kontraktor binaan, tetapi entah bagaimana, sampai beralih menjadi kenderaan keluarga. Orang melakukan modifikasi Ranger seperti orang buat ubah suai pada Proton Wira; bersepah di mana-mana, dengan aksesori yang banyak.

Imej kental dan maskulinnya sejak itu diteruskan hingga ke hari ini. Kita boleh lihat ramai yang menggunakan versi Wildtrak, padahal harganya dekat nak sama dengan Honda Civic. Begitu juga, model paling kentalnya, Ranger Raptor yang menjadi tanda tersendiri bagi Ford dalam pasaran dan juga di jalan raya. Tapi itulah, banyak masalah-masalah yang berselubung pada produk-produk Ford setakat ini, termasuk pada Ranger, harapnya diberi perhatian dan dapat diperbaiki. Itu sahaja yang akan menentukan populariti Ranger nanti, di saat trak-trak lain mula mencabar rapat.

5. Perodua Myvi “Bulat”

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Ini kereta yang tak perlukan sembang panjang. Agaknya, hampir semua orang ada kisah tersendiri dengan Myvi (versi lama yang gemuk dan bulat, sebelum ia bertukar jadi hatchback sebenar), walaupun tak pernah memilikinya. Paling tidak, mesti pernah melihatnya depan mata sendiri. Kalau ada yang belum pernah tengok, tolong bagitahu.

Jika Yamaha NMax (rujuk N0. 3) merupakan sebuah skuter utilitarian untuk saya, Myvi pula merupakan pemegang status sama bagi kereta, walaupun saya tak pernah memilikinya. Orang-orang terdekat kita sahaja entah berapa ramai yang masih memandu kereta ini. Apa saja yang tak boleh dilakukan oleh Myvi?

Digunakan untuk angkut basikal dalam kabin, angkut barang Ikea, berniaga pasar malam, angkut pasu bunga besar-besar, jadi kereta lumba sampai dicop “Taliban”, jadi pilihan kereta pertama ramai orang, jadi kereta pergi pasar, jadi kereta balik kampung dan macam-macam lagi, dengan konotasi positif dan juga negatif yang pelbagai. Untuk saya, inilah kuasa Perodua Myvi; orang tidak boleh untuk tidak bercakap tentangnya.

4. Isuzu D-Max 3.0L “Monster” Borneo Safari

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Tahun 2013. Sekitar hujung Oktober, saya mengikuti ekspedisi tahunan Borneo Safari di Sabah. Bermula dari Kota Kinabalu, untuk tempoh kurang lebih seminggu ke hadapan, ekspedisi berkenaan menempuh perjalanan yang jarang-jarang diambil oleh orang pada kebiasaannya. Saya cuma mengikuti separuh perjalanan itu sahaja, kira-kira empat malam; perjalanan dan pengalaman itu kemudiannya meninggalkan bekas yang mendalam terhadap diri saya.

Pengalaman itu membentuk pandangan yang sangat berbeza terhadap trak pikap, dan juga terhadap cara pengendalian dan pemanduan kenderaan – bagaimana untuk memandu dengan cekap pada laluan yang sebetulnya bukan jalan dan hanya semak samun?

Bagaimana untuk bertindak balas dalam keadaan itu, bagaimana untuk meletak tangan pada stereng, bagaimana untuk mengawal klac dan mengendalikan kotak gear manual ketika trak tersangkut dalam selut yang dalam dan hampir tiada cengkaman pada tayar, serta bagaimana untuk belajar mengesan maklum balas stereng dari permukaan tanah yang amat sukar diteka – semua ini menjadikan saya pemandu yang lebih cermat, mungkin.

Terkandas dan bermalam di tengah hutan belantara, menggunakan winch dan terpaksa mencangkul laluan untuk membolehkan trak pikap itu lolos dalam menaiki atau menuruni cerun curam yang hampir tegak, semuanya menjadi pengajaran berharga. Dan ketika itulah minat dan keyakinan terhadap trak pikap, terutamanya Isuzu D-Max 3.0L 4×4 Monster yang diubah suai untuk kegunaan seperti itu semakin mekar. Di dalam edisinya yang terbaru bagi 2019, bahkan versi D-Max 1.9 liter berjaya untuk menggalas cabaran yang sama.

3. Yamaha NMax 155 cc

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Bagi saya, Yamaha NMax 155 cc kenderaan yang paling utilitarian yang saya kagumi sejak dua setengah tahun menggunakannya. Inilah pengangkutan harian yang membolehkan saya bergerak dengan cekap dan pantas, serta menepati masa sekiranya berjanji dengan orang lain dan terpaksa menghadap kesesakan di sekitar Kuala Lumpur.

Saya melakukan segala macam benda dengan skuter asas ini — ulang-alik harian, ke pasar atau supermarket untuk beli barang (biasanya ruang bawah tempat duduk cukup untuk tampung barangan yang dibeli), pergi ke laluan celah-celah di ibukota yang tidak akan saya sampai sekiranya dengan kereta antara fungsi skuter ini buat saya.

Saya juga ingin percaya, NMax sedikit sebanyak telah menyumbang kepada menjadikan kehidupan saya lebih gembira dan kurang tekanan. Misalnya, ketika tertekan tersangkut dalam kesesakan jalan raya dalam kadar yang sangat kerap, gembira juga kerana tidak lagi perlu membayar tol dalam bandar yang mahal-mahal, gembira juga kerana setiap kali mencecah perbatuan 2,000 km dan sampai masa untuk diservis, paling tinggi saya membayar hanya RM70 untuk satu kali servis (untuk minyak enjin dan minyak gear, dan boleh dapat lebih murah jika kena tempatnya).

Lebih menarik juga, sejak menggunakannya, saya tak pernah berkira untuk menggunakan petrol RON 97; RM13 pada kebiasaannya akan dapat satu tangki penuh. Kalau nak jimat lagi, guna RON 95. Dengan skuter ini, yang masih lagi dalam keadaannya yang stock sejak mula, poket saya juga jadi lebih gembira. Sungguh, tak tipu.

2. Proton Satria Neo R3 Lotus Racing

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Oleh kerana tak sempat waima untuk berangan pun dengan Proton Satria GTi ketika ia dikeluarkan sekitar tahun 1999 dulu, maka kehadiran Proton Satria Neo R3 Lotus Racing pada tahun 2010 sedikit sebanyak membawa getar yang sama.

Adalah suatu pengalaman yang menarik untuk melihat Proton yang ketika itu kembali memusatkan tumpuan mereka untuk menghasilkan edisi model-model yang membawa bersama semangat lumba dan prestasi – walaupun hanya dalam jumlah terhad.

Ini antara kereta yang jika saya miliki, mungkin saya tidak akan melepaskannya semata-mata untuk digantikan dengan kereta lain. Mujur saya tak pernah menjadi pemilik kereta ini, maka tak perlulah saya memikirkan tentang hal berkenaan. Cukup sekadar untuk menjadi pengkagumnya dari jauh.

1. Volvo V90 T6 R-Design

10 model kenderaan pilihan satu dekad — Hazril Hafiz

Saya tahu, saya perlu memasukkan sebuah Volvo dalam senarai ini, tetapi masih gagal untuk menetapkan model yang mana satu patut diangkat. Paling tidak, dalam sedekad yang lepas, Volvo menampilkan banyak kelainan, paling tidak dari segi reka bentuk dan estetika. Siapa yang masih ingat model C30? Walaupun pelik dan pada sesetengah orang jatuh ke tahap hodoh, anehnya saya agak menyukai model tersebut – terhadap sudut rekaannya yang unik dan berani ketika itu, tetapi bukan pemanduannya.

Maka saya terpaksalah memberi hormat kepada model Volvo V90 T6 R-Design dalam kehadirannya yang terkini. Agak jarang kita lihat di atas jalanraya Malaysia, tetapi saya sukar untuk melupakan imej kereta wagon ini. Sangat garang dan ranggi — walaupun sekali lagi, bukanlah sebuah kereta yang akan memuaskan ghairah pemanduan anda ke tahap yang paling optimum. Tetapi, untuk saya, sebuah kereta lebih daripada sekadar aspek prestasi pemanduan semata-mata.

Dan, ini ditunjukkan dengan sangat cemerlang oleh V90 T6. Wagon tak semestinya tampil membosankan. Dan untuk itu, Volvo membawakan magis yang tersendiri untuk model berkenaan. Saya juga merasakan yang versi wagon ini jauh lebih matang dan cantik berbanding versi sedan S90. Jika saya perlu menyebut sebuah kereta untuk dijadikan kereta idaman (yang masuk akal, tentunya), saya tak malu untuk mengakui, antara sedikit kereta yang berada di dalam senarai itu, Volvo V90 T6 R-Design ini adalah satu daripadanya.

Pilihan model kenderaan anda pula bagaimana?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required