Selain memperkenalkan Subaru Forester GT Edition dan Forester e-Boxer di Singapore Motor Show yang sedang berlangsung, Motor Image turut mendedahkan versi konsep bagi SUV berkenaan, yang dipanggil Forester Ultimate Customised Kit Special Edition.

Nama gelaran yang diberikan agak ‘nakal’, tetapi modifikasi yang dibuat untuk SUV ini memang serius, malahan terdapat beberapa ciri STI ditampilkan pada versi konsep ini.

Ciri yang ditampilkan temasuklah kit badan penuh dengan lip tambahan bagi bampar hadapan dan belakang, sementara kemasannya pula dilatari warna biru dengan serlahan merah. Sentuhan kemasan pada luaran termasuklah roda aloi lima jejari-berkembar 20-inci dengan logo STI serta kit brek STI bersama kaliper berwarna hijau.

Di sebalik cermin tingkap yang gelap, masih kelihatan bahagian dalamannya dengan bentangan Alcantara, dan sistem hiburan komprehensif – dengan skrin di belakang – sekali pandang modifikasinya bagaikan dari Pimp My Ride.

Di bawah bonetnya, enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder boxer masih dikekalkan, tetapi ditambah dengan palang topang STI, serta beberapa elemen STI lain termasuk penutup radiator dan penapis minyak. Adakah Forester versi ini menarik perhatian anda?