TAS2020: Mugen Honda Fit/Jazz Dash dan Skip Prototype – macam ni baru nampak garang!

TAS2020: Mugen Honda Fit/Jazz Dash dan Skip Prototype – macam ni baru nampak garang!

Honda Fit (atau Jazz di Malaysia) generasi seterusnya baharu sahaja diperkenalkan sekitar dua bulan lalu di Tokyo Motor Show 2019, dan rata-rata menyatakan ia kelihatan sangat comel, berbeza dengan imej agresif pada model generasi GK sebelum itu. Jadi ketika berlangsung Tokyo Auto Salon 2020, penala berprestasi tinggi jenama tersebut, Mugen, mendedahkan ‘penawar’ untuk masalah tersebut dengan mendedahkan dua kit prototaip berbeza diberi nama Dash dan Skip, tetapi dipadankan hanya pada sebuah kereta.

Penampilan kereta ini di Makuhari Messe tadi terus mengingatkan saya kepada jentera F1 BAR Honda 01 pada tahun 1999 yang menggunakan livery ‘two face’ dengan grafik Lucky Strike di sebelah kiri serta 555 di sebelah kanan. Untuk model prototaip Mugen Fit ini, versi Skip berwarna putih-hijau ditunjukkan pada sebelah kiri, manakala Dash berwarna merah pada sebelah kanan.

Kita mulakan dengan Dash dahulu. Ini merupakan versi yang paling garang antara keduanya, bukan sahaja kerana warnanya yang merah menyala, malah meriah dengan panel-panel dari gentian karbon. Kit badan versi ini dimulakan dengan pemadanan kemasan tambahan pada bampar hadapan yang memberikan apron dan spoiler yang lebih agresif.

TAS2020: Mugen Honda Fit/Jazz Dash dan Skip Prototype – macam ni baru nampak garang!

Kemudian ia bersambung dengan skirt sisi lebih labuh, diakhiri dengan diffuser udara pada bampar belakang, dan juga spoiler belakang bersaiz besar di atas. Kemudian gril hadapan, penutup cermin sisi dan juga panel kemasan nombor plat belakang digantikan dengan komponen yang diperbuat dari gentian karbon.

Anda jangan tertipu dengan sirip pada bahagian atas fender hadapan Fit ini, kerana ia bukan sirip sebenar, sebaliknya hanyalah sekadar pelekat badan, begitu juga jalur sirip yang sama ditampal pada bahagian bawah pintu. Penampilan Dash yang garang ini dilengkapkan dengan muffler S Flow Mugen, dan juga rim asli Mugen MDE bersaiz 17-inci, dibaluti tayar bersaiz 205/45R17.

Beralih ke Skip pula, seperti yang anda lihat ia nampak lebih lembut, tetapi jika dibandingkan Fit Modulo X Concept yang juga didedahkan di TAS 2020, ia masih kelihatan jauh lebih garang.

Skip tidak diberikan panel yang menutup bampar hadapan, tetapi hanya menerima spoiler di bahagian bawah.Skirt sisi Skip ini juga tidak selabuh Dash, namun spoiler belakang antara kedua mereka adalah sama – kesemua kit badan dan juga bahagian dari tiang-A hingga tiang-C diwarnakan hijau, kontras dengan warna badan putih.

Manakala panel-panel karbon pada Dash digantikan dengan panel plastik pada Skip, dengan rekaan yang lebih sopan, juga diberikan kemasan berwarna hijau, bersama hitam pada kawasan tertentu. Walau bagaimanapun, set rim dan tayar pada Skip ini adalah sama dengan Dash.

Pada bahagian dalaman, Skip dan Dash tidak menerima perubahan ketara. Mugen hanya memadankan berberapa aksesori asli mereka pada kabin hatchback segmen-B ini dengan peralatan seperti butang penghidup enjin, cermin pandang belakang (gentian karbon) karpet kaki, kemasan grafik gentian karbon pada bendul sisi pintu depan dan belakang serta pelindung bahagian bawah panel dalaman pintu.

Walaupun semua perincian berkenaan kereta ini ditulis dalam bahasa Jepun dan kami tidak faham, apa yang kami pasti adalah Mugen tidak mendedahkan sebarang perincian untuk enjin. Honda sendiri juga masih lagi belum mendedahkan spesifikasi enjin yang ditawarkan untuk Fit ini dan hanya memberitahu bahawa versi hibrid akan dijana oleh sistem i-MMD dua motor baharu. Segala spesifikasi mungkin didedahkan ketika pelancaran sebenar Fit 2020 ini pada pasaran Jepun bulan hadapan.

Mugen juga masih belum memberitahu adakah kit ini akan dijual dalam pasaran atau tidak. Tetapi dengan rupa yang seakan bersedia untuk diproduksi, tidak mustahil kit ini akan ditawarkan untuk pelanggan pada masa akan datang.

GALERI: Mugen Fit Dash Prototype

GALERI: Mugen Fit Skip Prototype

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required