10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Tahun lalu, Malaysia mencatatkan jumlah jualan yang baik dalam industri automotif. Jumlah industri keseluruhan (TIV) untuk 2019 menunjukkan angka melebihi 600k buat pertama kali sejak 2015, dengan rekod keseluruhan 604,287 unit, naik 5,689 unit atau sekitar 1% berbanding 598,598 yang dicatatkan pada tahun 2018.

Jualan untuk kenderaan penumpang biasa turut naik tahun lalu, dengan peningkatan sekitar 3.2% kepada 550,179 unit. Kenaikan ini secara langsung menyumbang kepada angka 91% untuk segmen kenderaan penumpang dalam keseluruhan TIV, menjadi penyelamat kepada penurunan yang dicatatkan pada jualan kenderaan komersial, direkodkan merudum 17.4% kepada 54,108 unit.

Kami telah melaporkan prestasi setiap jenama di Malaysia dalam laporan sebelum ini, tetapi untuk lebih spesifik, model mana yang paling laris sepanjang 2019? Dalam artikel kali ini kami perincikan pula senarai 10 model paling laris sepanjang tahun lalu dengan data yang telah diterbitkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).

10. Honda HR-V – 16,180 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Model facelift ini diprebiu buat pertama pada bulan Julai 2018, namun pelancarannya dalam pasaran telah ditunda dan ia hanya berada di bilik pameran pada Januari 2019. Walaupun terlambat dari apa yang dijadualkan, HR-V yang hadir dalam empat varian tetap termasuk satu versi Hybrid, ia tetap mencatatkan jumlah jualan memberangsangkan dan menjadi model nombor 10 paling laris sepanjang tahun lalu.

9. Proton Persona – 21,876 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Sama seperti HR-V, Persona bukanlah model baharu sepenuhnya, tetapi dilancarkan sebagai versi facelift pada April 2019. Menurut Proton, 303 perubahan telah dilakukan untuk menambah baik model ini. Walaupun hadir dengan banyak ciri baharu, Persona dijual pada harga lebih rendah dari sebelumnya, seterusnya menarik minat orang ramai sehingga angka jualan melebihi 20,000 unit ini dicatatkan.

8. Toyota Vios – 23,986 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Selain dari Honda City, Toyota Vios adalah satu lagi sedan segmen-B jenama bukan tempatan yang popular dikalangan rakyat Malaysia. Menerusi model yang dikemaskini pada Januari tahun lalu, Vios mencatatkan jualan sebagai model nombor 8 paling popular sepanjang 2019.

7. Proton X70 – 26,331 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

2019 merupakan tahun pertama SUV segmen-C Proton ini dijual dalam tempoh setahun penuh setelah dilancarkan pada Disember 2018. Dengan harga antara yang paling rendah dalam pasaran bersama antara kelengkapan yang paling banyak diberikan, X70 nyata menjadi pilihan utama rakyat Malaysia yang mahukan kenderaan dari segmen tersebut.

6. Perodua Aruz – 30,115 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Ia adalah sebuah SUV, dengan kebolehan membawa penumpang seperti MPV 7-tempat duduk, dan ia sebuah model keluaran Perodua yang dipercayai tahap ketahanannya. Jadi tiada sebab untuk Perodua Aruz tidak mempamerkan rekod jualan yang baik bukan? Lebih 30k unit Aruz telah dihantar kepada pemiliknya sepanjang tahun lalu selepas diperkenalkan pada Januari 2019.

5. Honda City – 31,357 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Walaupun berstatus jenama bukan nasional dan sudah tentu dijual dengan harga jauh lebih mahal dari model sekelas keluaran jenama tempatan, ini tidak menghalang untuk Honda City terus menjadi sedan segmen-B paling laris di Malaysia. Sepanjang 2019, Honda berjaya menjual City dengan jumlah hampir 10k lebih banyak dari Proton Persona!

4. Proton Saga – 38,144 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Proton mencatatkan jumlah jualan yang sangat membanggakan tahun lalu, selain dari prestasi jualan model paling tinggi dalam barisan modelnya iaitu X70, model paling mampu milik mereka – Proton Saga – turut menyumbangkan jumlah jualan yang sangat signifikant. Saga diperkenalkan dalam versi facelift pada Ogos 2019, dan sehingga akhir tahun lalu sebanyak 41,000 unit telah ditempah oleh pelanggan, memberikan momentum yang baik untuk permulaan tahun ini.

3. Perodua Bezza – 45,656 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Walaupun Proton Saga dilihat menguasai pasaran sedan segmen-A pada penghujung tahun lalu, pesaing terdekatnya iaitu Perodua Bezza masih lagi juara keseluruhan bagi segmen tersebut untuk tempoh sepanjang 2019. Perodua berjaya menjual lebih 7.5k unit Bezza berbanding Saga pada 2019. Awal tahun ini Perodua memberikan momentum baru kepada Bezza dengan pengenalan versi facelift. Adakah Proton Saga boleh mengatasi Bezza untuk tahun ini?

2. Perodua Axia – 67,267 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Siapa kata model sedan lebih popular dari model hatchback di Malaysia? Sepanjang tahun 2019, Perodua Axia telah berjaya dijual lebih 21,611 unit berbanding versi sedannya iaitu Perodua Bezza! Hatchback segmen-A paling laris di Malaysia ini juga telah diberikan versi facelift pada September 2019, menerima pelbagai ciri baru seperti VSC dan varian seperti SUV yang digelar Axia Style.

1. Perodua Myvi – 81,966 unit

10 kereta paling laris di Malaysia sepanjang 2019

Siapa nombor satu dalam senarai model kereta paling laris sepanjang 2019? Dah tentulah Perodua Myvi! Memang sukar untuk model lain mengambil takhta ini dari Myvi sejak dari model generasi pertama hingga sekarang yang sudahpun masuk ke generasi ketiga. Sepanjang tahun lalu, jumlah jualan Myvi sahaja telah mewakili satu pertiga dari jumlah keseluruhan jualan Perodua itu sendiri, dan ia sebenarnya sudah bermula sejak November 2017.

Dah jelas sekarang model mana yang paling laris sepanjang 2019? Tapi jika anda perasan, dalam senarai 10 model paling laris ini, hanya ada empat jenama di dalamnya iaitu Toyota, Honda, Proton dan Perodua. Jumlah jualan untuk 10 model ini juga (382,878 unit) sebenarnya telah mewakili sebanyak 69.5% bahagian pasaran keseluruhan jualan kenderaan penumpang untuk 2019.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • Muhammad Khairul Anuar Bin Mustaffa on Jan 18, 2021 at 12:48 pm

    Terbaik..ajarkan saya memulakan perniagaan kereta

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required