Semalam kita sudah tengok Al-Haj Automotive yang telah pun mendapat hak sebagai pengedar Proton tunggal di Pakistan sedang menguji X70 untuk dipasarkan di negara berkenaan. Sebenarnya, sebelum SUV segmen-C tersebut masuk ke pasaran, pelanggan di Pakistan bakal ditawarkan dahulu dengan sedan mampu milik Proton Saga yang akan dilancarkan lebih awal.
Menurut laman CarSpiritPK, Pakistan akan menerima Saga dengan enjin yang lebih kecil dari pasaran Malaysia iaitu 1,299 cc. Ini kerana jika menggunakan enjin S4PE 1.3L VVT dengan kapasiti 1,332 cc seperti pasaran Malaysia, Saga akan dikenakan cukai yang lebih tinggi kerana ia sebenarnya sudah melebihi sesaran 1.3 liter.
Walau bagaimanapun, enjin yang bakal menjana Saga Pakistan berkenaan masih belum jelas. Ada kemungkinan Proton mungkin akan menurun kapasiti enjin sedia ada menggunakan sleeve silinder, omboh serta konfigurasi aci engkol dan rod penghubung yang berlainan sebagai pilihan untuk mendapatkan sesaran enjin yang diperlukan.
Namun menerusi carian kami, Geely sendiri sebenarnya memang mempunyai enjin dengan kapasiti ‘ngam-ngam’ 1,299 cc, dikenali dengan kod 4G13. Jangan keliru dengan enjin 4G13 yang pernah digunakan oleh Proton sebelum ini, kerana Geely memang menggunakan kaedah kod enjin yang hampir sama dengan Mitsubishi untuk menamakan enjin mereka.
Enjin pada Proton X70/Geely Boyue misalnya, ia diberikan kod 4G18 yang bermaksud 4-silinder, petrol (G untuk gasolin) dan 1.8 liter (kod nombor hujung pada enjin Mitsubishi lebih sinonim dengan varian berbanding sesaran).
Bagi enjin 4G13 Geely berkenaan, ia telah dihasilkan dalam dua versi iaitu versi NA menjana 87 hp dan tork maksima 120 Nm (enjin 1.3 S4PE VVT menjana 95 PS/120 Nm), dan juga versi turbo 4G13T berkuasa 127 hp/185 Nm.
Menurut laman tersebut lagi, penghasilan enjin 1,299 cc tersebut akan lengkap dan bersedia untuk diproduksi secara besar-besaran pada bulan Mei tahun ini. Saga terlebih dahulu akan dihantar ke Pakistan sebagai model CBU dari Malaysia, dan akan dilancarkan pada lewat tahun ini bersama X70.
Manakala model CKD yang dibuat di kilang Al-Haj di Karachi akan masuk ke pasaran Pakistan pada tahun 2021. Proton dilihat sangat serius dengan pasaran Pakistan kerana mereka tidak menghantar model yang sudah siap ke sana, sebaliknya model-model berkenaan diolah semula bagi bersesuaian dengan dinamik pasaran serta kehendak pelanggan di negara tersebut.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.