Triumph Thruxton RS 2020 dilancar – 97 hp, RM86,900

Triumph Thruxton RS 2020 dilancar – 97 hp, RM86,900

Selain daripada Rocket 3, Triumph Malaysia turut melancarkan Thruxton RS 2020 untuk pasaran, dengan harga RM86,900 tidak termasuk insurans. Model ini diperkenalkan kepada dunia buat pertama kali November tahun lalu, dan menerapkan pelbagai peningkatan.

Model baru ini masih lagi menggunakan enjin yang sama seperti sebelum ini, iaitu unit dua silinder selari 1,200 cc, tetapi kuasanya ditingkatkan dari 97 hp kepada 105 hp. Tork maksimum 112 Nm pula sekarang boleh dinikmati pada 700 rpm lebih rendah iaitu bermula 4,950 rpm. Enjin ini juga boleh dipaksa ke tahap rpm 500 lebih tinggi.

Bahagian dalam enjin seperti crankshaft, klac dan batang pengimbang telah direka semula, sekaligus menyumbang kepada inertia pusingan dalam enjin yang berkurang sebanyak 20%. Digabungkan dengan berat yang telah berkurang 6 kg (sebelum ini 203 kg), Thruxton RS sekarang menjadi sebuah motosikal yang lebih responsif.

Transmisi enam kelajuan pada motosikal ini sekarang dipasang dengan klac jenis torque and assist bagi memberikan tarikan yang lebih ringan, sementara mod tunggangan pula disediakan dalam tiga tetapan iaitu Sport, Road dan Rain. Selain maklum balas enjin, setiap mod juga memberikan kesan kepada ABS dan kawalan cengkaman.

Dikenali sebagai sebuah model klasik moden berprestasi, Thruxton RS kini menggunakan angkup brek Brembo M50 Monobloc (sebelum ini unit Brembo M4.32) dengan cakera berkembar 320 mm di hadapan, sementara tayar pula telah ditukar daripada Pirelli Diablo Rosso Corsa kepada Metzeler Racetec RR. Suspensi adalah unit Showa boleh laras sepenuhnya di hadapan manakala di belakang menggunakan dua penyerap Ohlins yang juga boleh dilaras.

Perubahan kosmetik yang dibuat untuk model baru ini adalah termasuk rim hitam yang melalui proses sama seperti penutup tepi enjin sementara pilihan warna pula terdiri daripada Jet Black dan Matte Grey/Matte Silver Ice. Fairing cafe racer dijual berasingan sebagai aksesori tambahan bersama pelbagai barangan lain.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya ‘mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required