Honda UK mengumumkan bahawa kuota 20 unit Civic Type R Limited Edition yang mereka terima kesemuanya sudah habis dijual selepas hanya sebulan diperkenalkan. Kereta tersebut sebenarnya hanya diumumkan di media tanpa dipamerkan di mana-mana, bermaksud tidak ada seorang pun dari pembeli berkenaan yang pernah melihat kereta tersebut di hadapan mata mereka sendiri sebelum bersetuju untuk membeli kereta dengan harga £39,995 (RM207k) ini.

Secara keseluruhan, benua Eropah hanya menerima 100 buah (termasuk 20 buah di UK) FK8 Limited Edition ini, manakala di Amerika Syarikat sebanyak 600 unit disediakan untuk direbut oleh pembeli. Apa yang istimewa sangat dengan kereta ini selain dari dihasilkan dalam jumlah terhad?

Honda Civic Type R FK8 Limited Edition ini dihasilkan dengan ‘semangat’ yang sama seperti Civic Type R pertama iaitu EK9 dan juga model-model Type R lain yang sezaman dengannya. Oleh itu, beratnya perlu dibuang sebanyak yang mungkin menerusi pelbagai aksesori yang perlu dicabut termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio, sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang dan mengurangkan penebat-penebat bunyi.

Model edisi terhad ini juga diberikan rim 20-inci aluminium forged khas yang dibuat yang lebih ringan dari versi biasa, serta dibaluti tayar lebih serius Michelin Cup 2. Ya, memang ia tidak lagi selesa, kerana Type R Limited ini direka lebih menumpukan kepada pemanduan di litar.

Dengan semua perkara yang dibuat tersebut, model ini adalah 47 kilogram lebih ringan dari model Type R FK8 biasa. Selain itu, Honda turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

Honda hanya menghasilkan Type R Limited ini hanya dengan satu warna iaitu Phoenix Yellow (dikenali sebagai Sunlight Yellow di UK). Jika anda peminat tegar Type R, anda tentu tahu bahawa warna ini berasal dari EK9 Type R dan sinonim dengan penala lagenda Honda iaitu Spoon.

Model edisi terhad ini juga diberikan perincian khas lain termasuk kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.