Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

Bulan lalu, Honda telah memperkenalkan Civic Type R FK8 Limited Edition, iaitu FK8 produksi jalan raya versi paling hardcore yang fokus untuk kegunaan litar. Tiada tambahan kuasa enjin diberikan tetapi ubahsuai yang dibuat adalah seiring dengan saranan pengasas Lotus, Colin Chapman iaitu “buatkan ia lebih ringan untuk tambah kelajuan.”

Antara langkah yang Honda lakukan untuk meringankan lagi kereta berkenaan adalah dengan membuang segala kelengkapan yang tidak perlu untuk kelajuan termasuk penebat-penebat bunyi, pengelap cermin belakang dan sistem audio serta menggantikan rim asal kepada rim BBS yang lebih ringan.

Rasanya kita di Malaysia tentu tak boleh terima satu lagi sistem yang dibuang pada kereta ini iaitu sistem penghawa dingin (heater pun tiada ya!) untuk mendapatkan berat keseluruhan yang disisihkan iaitu 47-kg. Sebenarnya, tidak ada apa yang menghairankan sebab memang kereta lumba tidak kira di Eropah, Jepun mahu pun kereta rali yang berlumba di Rali Safari di Kenya dan juga Rali Dakar memang tidak mempunyai sistem pendingin hawa.

Pemandu hanya berharap aliran udara dari luar menerusi corong-corong yang dibuat bagi memberikan mereka sedikit keselesaan dan tumpuan hanya diberikan kepada kelajuan. Untuk pengetahuan anda juga, Civic Type R Limited ini juga bukan kereta produksi jalan raya pertama yang tidak mempunyai pendingin hawa atas alasan mahu laju, ada banyak lagi kereta lain yang membuang sistem tersebut atas alasan sama.

Dalam artikel ini, akan saya tunjukkan contoh-contoh kereta lain yang tiada sistem pendingin hawa bukan kerana mahu kurangkan kos, tetapi lebih kepada untuk mengerah prestasi.

Lotus Elise dan Exige

Seperti yang saya sebut tadi, idea untuk mendapatkan kelajuan dari berat yang rendah dan bukan dari kuasa enjin adalah seringkali dikaitkan dengan Lotus. Model-model Lotus seperti Elise dan Exige tidak datang dengan sistem penghawa dingin secara standard, tetapi pembeli masih boleh memilihnya sebagai ciri opsyen.

Bahagian dalaman kedua-dua Lotus ini juga tiada ciri-ciri mewah seperti kemasan-kemasan yang tidak perlu, dan untuk sistem audio pun hanya pemain 1-Din ditawarkan pada model-model tertentu. Dengan sistem mekanikal dibina dengan bahan-bahan ringan serta tidak diberikan aksesori-aksesori ‘fancy’, kedua-dua Lotus ini biasanya hadir dengan berat tidak sampai 1 tan.

Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

Sejak dihasilkan bermula pada tahun 1996, Elise hadir dengan pelbagai varian enjin. Namun kesemua enjin berkenaan hanyalah dalam bentuk empat-silinder sebaris dengan kapasiti dari 1.6 liter hingga 1.8 liter. Enjin yang paling berkuasa pernah disumbat oleh Lotus pada Elise hanya enjin Toyota 2ZR-FE 1.8 liter yang disuap oleh supercharger bagi menghasilkan 253 PS/265 Nm.

Manakala untuk Exige pula, ia sebenarnya masih diasaskan dari Elise tetapi dihasilkan dengan lebih liar. Kebanyakkan model Exige masih menggunakan enjin empat silinder yang sama dengan Elise, namun akhir-akhir ini ia menerima enjin lebih besar iaitu enjin V6 Toyota 2GR-FE 3.5 liter yang disuap supercharger, dan pada model-model tertentu ia pernah ditala sehingga 436 PS/440 Nm.

Model-model Type R Honda dengan enjin tanpa turbo (NSX Type R NA1/NA2, Civic Type R EK9/FD2R, Integra Type R DC2/DC5)

Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

Yup, Civic Type R FK8 Limited Edition bukanlah model pertama Honda yang tidak diberikan penghawa dingin sebab nak laju. Tetapi ia sebenarnya adalah model inspirasi dari pejuang-pejuang Type R terdahulu, atau lebih spesifik ketika Honda menghasilkan model prestasi tinggi dengan enjin DOHC VTEC/DOHC i-VTEC tanpa sebarang sistem induksi paksaan (NA).

Walaupun mampu untuk menghasilkan angka kuasa yang luar biasa, enjin-enjin NA VTEC berkenaan tidak menghasilkan jumlah tork sebesar yang dihasilkan oleh enjin turbo. Jadi sangat penting untuk Honda menghasilkan badan model-model Type R berkenaan seringan yang boleh.

Jadi semua jentera Type R pada era NA ini dihasilkan dengan pengurangan penebat bunyi, menggunakan cermin lebih nipis, tiada beg udara, tiada penghawa dingin, tiada penggilap cermin belakang, tiada radio, tiada jam pada konsol tengah, tiada sistem stereng berkuasa dan juga tiada sistem brek ABS. Kerangka kereta ini juga diperkuatkan dengan kimpalan ‘spot-weld’ yang lebih diberikan dan juga pemadanan bracket serta pendakap logam tambahan.

Ini bukan sahaja menjadikan jentera Type R ini laju di jalan raya, ia juga dengan mudah dijadikan kereta lumba untuk kategori-kategori produksi. Hanya pasangkan rollcage serta peralatan keselamatan lain, ia sudah pun lulus sebagai kereta lumba sebenar! Walau bagaimanapun, Honda masih menawarkan penghawa dingin sebagai ciri opsyen kerana masih ramai yang menggunakan model-model Type R ini sebagai kereta harian (model FD2R yang dibawa oleh Honda Malaysia memang hadir standard dengan pendingin hawa).

Mitsubishi Lancer Evolution RS

Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

Dalam setiap generasi Lancer Evolution, Mitsubishi akan menghasilkannya dalam dua varian asas iaitu GSR dan RS. Model GSR adalah model yang dihasilkan untuk digunakan setiap hari, yang bukan sahaja diberikan nisbah gear lebih panjang untuk cruising dengan lebih selesa di atas lebuh raya, malah hadir lengkap seperti kereta biasa dengan ciri seperti pendingin hawa dengan kawalan digital, kemasan-kemasan premium, sistem tingkap berkuasa, sistem audio dan sebagainya.

Manakala untuk RS (bermaksud Rally Sport) pula, ini adalah model yang dihasilkan Mitsubishi khusus untuk dijual kepada pasukan-pasukan lumba. Oleh itu, model-model RS ini hadir dengan kelengkapan cukup asas – tiada penghawa dingin, tingkap manual, tiada sunroof, kurang penebat bunyi, tiada tempat duduk Recaro, malah tiada rim aloi dan hanya diberikan rim besi.

Tetapi, model-model RS ini datang dengan kotak komputer yang akan memberikan respon kuasa yang lebih agresif serta kotak gear dengan nisbah yang lebih pendek, sesuai digunakan di litar atau di SS rali. Ini membolehkan tranformasi kepada kereta rali produksi (Group N) dilakukan dengan sangat mudah – pasang rollcage dan kelengkapan keselamatan lain, ia sudah lulus sebagai kereta rali yang dianjurkan dengan seliaan FIA!

Namun, ada juga model RS ini dijual untuk orang awam di bilik pameran. Oleh itu ia turut ditawarkan dengan ciri opsyen seperti sistem penghawa dingin (dengan kawalan manual sahaja), rim aloi dan juga tempat duduk Recaro.

Subaru Impreza WRX STI Type RA

Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

Sama juga dengan Lancer Evolution, seteru utamanya dalam dunia rali ini turut hadir dengan dua versi asas yang dihasilkan dengan tujuan yang sama – Subaru WRX STI Version untuk model jalan raya biasa, manakala WRX STI Type RA adalah versi untuk dijadikan kereta rali Group N.

Untuk pengetahuan anda, maksud RA pada model awal generasi GC8 dan GDB adalah tidak sama dengan model WRX STI Type RA yang diperkenalkan pada tahun 2018. Untuk model generasi baharu tersebut, RA bermaksud Record Attempt, iaitu model yang diinspirasikan dari jentera perlumbaan yang mencatatkan rekod di litar Nürburgring pada tahun 2017.

Manakala untuk versi asal Type RA pula, akronim tersebut bermaksud ‘R’ untuk Racing/Racer, manakala ‘A’ pula merujuk kepada badan empat pintu, iaitu asas yang sama digunakan untuk Prodrive untuk menghasilkan kereta WRC Subaru Group A yang pernah dipandu oleh Colin McRae ketika dinobatkan sebagai juara dunia pada tahun 1995.

Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

Selain dari tiada penghawa dingin, diberikan tingkap manual, Type RA turut ditawarkan dengan satu ciri opsyen yang begitu ikonik iaitu skup udara pada bumbung yang boleh dibuka/tutup. Ini bermaksud jika kereta ini ditransformasikan kepada kereta rali Group N, pasukan berkenaan tidak lagi perlu untuk membuat corong bumbung tersebut untuk memberikan udara segar kepada pemandu di dalam kabin yang tidak mempunyai pendingin hawa.

Subaru juga ada menawarkan versi yang digelar WRX STI Type RA Limited, iaitu model dengan talaan enjin dan kotak gear sama seperti Type RA, tetapi diberikan terus dengan aksesori kegunaan harian seperti pendingin hawa, cermin tingkap berkuasa, sistem audio dan pelbagai lagi.

Memang ada ke kereta tiada pendingin hawa sebab nak laju selain dari Honda Civic Type Limited Edition?

Untuk generasi GDB, Subaru turut menawarkan model WRX STI Type RA-Spec C, iaitu model Type RA yang diringankan lagi serta diberikan talaan enjin dan suspensi yang diperhalusi.

Ada banyak lagi sebenarnya model-model berprestasi yang dibina dengan konsep sebegini, namun nama-nama yang saya senaraikan ini adalah antara yang paling popular, dan ia akan sentiasa disebut-sebut jika berbicara berkenaan ‘kereta yang tiada pendingin hawa kerana nak laju’. Ada lagi kereta lain yang anda tahu dan boleh kita perkatakan? Kongsikannya dengan kami dan pembaca yang lain di ruang komen di bawah.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required