Singapura mengambil keputusan untuk melanjutkan tempoh sah Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) bagi kenderaan pendaftaran Malaysia sehingga 30 Jun ini. Menurut Pihak Berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), ia bagi memudahkan pekerja Malaysia untuk terus kekal di sini bagi tempoh lebih panjang dalam situasi terkini perkembangan COVID-19.

Berdasarkan pemantauan LTA, ramai pekerja Malaysia memilih untuk kekal di Singapura berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa di Malaysia, dan LTA memaklumkan tiada keperluan bagi pemandu Malaysia untuk mengemukakan sebarang permohonan bagi tempoh lanjutan berkenaan.

“Mereka bagaimanapun perlu memastikan kad Autopass dimiliki mempunyai nilai mencukupi untuk fi VEP Singapura, Caj Jalan Timbal Balik (untuk kereta asing sahaja), caj ERP dan bayaran tol sebelum meninggalkan Singapura.

“Mereka juga perlu mengemas kini tarikh sah insurans kenderaan menggunakan perkhidmatan digital VEP untuk perlindungan sepanjang tempoh mereka tinggal di Singapura,” menurut kenyataan LTA seperti yang dilaporkan oleh Bernama.