Mulai hari ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima bantuan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk penugasan sekatan jalan raya Op COVID-19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, seramai 80 anggota dan empat pegawai FRU ditempatkan di daerah itu.
“Kami telah menggunakan kekuatan maksimum melibatkan 930 anggota dan pegawai. Pertambahan dua lagi sekatan jalan raya di daerah ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan sekatan, juga memerlukan kami untuk mendapatkan kekuatan tambahan daripada FRU,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.
Tambahnya lagi, pihaknya juga bercadang untuk melaksanakan duty point atau pos kawalan bergerak bagi menempatkan peronda pejalan kaki di lokasi tertentu di daerah ini.
“Rancangan itu masih di peringkat kajian dari segi kekuatan anggota, logistik dan kawasan yang sesuai,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, sembilan kompaun telah dikeluarkan bagi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324) di daerah ini semalam.
“Semua sembilan individu berkenaan membabitkan warga tempatan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 selepas memberi alasan remeh termasuk berkumpul bersama rakan, dan menghantar barang selepas pukul 10 malam,” katanya.
Mulai 8 April lalu, PDRM telah menguatkuasakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap individu yang mengingkari PKP.
Menurut Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, kompaun terbabit tidak akan diberikan dalam sekatan jalan raya, sebaliknya pesalah PKP ini akan dibawa ke balai polis dan barulah kompaun terbabit diserahkan. Manakala bayaran kompaun perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan di mana-mana pejabat Kementerian Kesihatan atau pun balai polis berhampiran.
Manakala semalam pula, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan telah memutuskan supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membantu PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh negara sehingga tamat PKP.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.