Kerajaan akan memuktamadkan keputusan sama ada untuk melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau pun tidak adalah bergantung pada nasihat yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ujar Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut beliau, buat masa ini, masih ada baki tiga peratus kumpulan yang ingkar dengan arahan itu.

“Mengenai cadangan PKP mungkin sehingga Jun, saya kira itu pandangan Ketua Polis saja berdasarkan perkembangan pematuhan peraturan PKP itu tetapi sama ada diteruskan atau tidak semuanya atas nasihat Kementerian Kesihatan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

Dua hari lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memberi amaran bahawa sekiranya masih ramai yang berdegil tidak mahu duduk di rumah dan menyebabkan kes jangkitan wabak Covid-19 bertambah, tempoh PKP yang telah diwartakan mungkin akan dilanjutkan sehingga Jun nanti,

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed turut berkongsikan data jumlah tangkapan PKP untuk kedua-dua fasa yang telah dilaksanakan. Katanya, bagi Fasa 2 PKP yang telah berakhir pada 14 April lalu, telah menyaksikan seramai 11,295 individu telah ditangkap kerana didapati ingkar PKP. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 7,668 tangkapan, berbanding sekitar 3,627 tangkapan pada Fasa 1 PKP.

Menjadikan jumlah keseluruhan tangkapan sepanjang tempoh PKP dari mula dilaksanakan pada 18 Mac sehingga 14 April 2020 sebanyak 14,922 individu. Dan sehingga tengahari semalam, seramai 5,930 pesalah sudah dituduh di mahkamah di seluruh negara atas kesalahan melanggar PKP.

Untuk Fasa 3 PKP, kerajaan juga telah memutuskan agar pihak polis tidak memberikan tumpuan kepada kompaun. Sebaliknya, pesalah PKP akan direman dan dihadapkan di mahkamah. Di bawah Seksyen 24 Akta 342 menyebut bahawa mahkamah boleh menghukum individu yang disabit kesalahan ini dengan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau lima tahun bagi kesalahan seterusnya.