Ternyata tuah tidak menyebelahi Kia Stinger kerana carta jualannya kurang memberangsangkan, malah laporan berita dari Korean Car Blog menyatakan perkara ini mungkin menjadi penyebab model pacuan roda belakang ini tidak akan dibangunkan untuk generasi keduanya.

Jualan bagi Stinger menyusut sebanyak 21% pada suku pertama tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lalu, manakala jualan bulan Mac juga menurun sebanyak 40%, menurut Motor1. Perkara ini mungkin tidak terdorong dek penularan wabak pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia, di mana ia turut menjejaskan kewangan pengeluar kereta dunia apabila operasi pengeluarannya terganggu.

“Buat masa ini saya tidak pasti ia bakal berjalan lancar seperti yang diharapkan. Kami tidak pernah menyangka untuk mengeluarkan dalam jumlah yang besar,” ujar timbalan presiden dan ketua pereka kanan Kia Design Studio di Jerman, Gregory Guillaume pada September lalu. Syarikat ini memiliki ‘harapan yang sangat tinggi’ untuk pasaran Amerika, dan pada masa yang sama berhadapan kesukaran untuk memasuki segmen premium seperti yang dialami oleh Stinger, ujarnya lagi.

Bagaimana pun, Guillaume mengharapkan agar Stinger diberikan kebenaran untuk penghasilan generasi kedua, walau pun ia perlu dipertimbangkan untuk memiliki bentuk yang sama dengan model semasa. “Seperti yang anda ketahui ada banyak perkara yang dilakukan dengan elektrifikasi, jadi mungkin Stinger akan menjadi sesuatu yang lain,” merujuk kepada kemungkinan ia akan bertukar menjadi kenderaan elektrik.

Di Malaysia, Kia Stinger dilancarkan dengan dua varian enjin – 2.0 liter turbo petrol empat-silinder GT Line berharga RM239,888 dan 3.3 liter V6 biturbo GT dengan harga RM309,888. Walau bagaimana pun, kedua-duanya telah dinaikkan harga sebanyak RM25,000 bagi 2.0 GT Line (kini RM264,888) dan RM74,000 untuk 3.3 liter GT dengan harga baharu cecah RM383,888.

GALERI: Kia Stinger GTS

GALERI: Kia Stinger GT