Datsun yang muncul semula sebagai satu jenama kenderaan bajet melancarkan model kompak redi-Go di India pada tahun 2016. Kini model itu akan diberikan facelift dan teaser untuknya sudah mula disiar, melalui dua keping gambar.

Kedua-dua gambar ini digelapkan supaya cuma bayangnya sahaja yang boleh dilihat dan ia diambil dari dua sudut iaitu penjuru hadapan dan juga sisi. Apa yang boleh dilihat, bahagian hadapan redi-Go facelift ini lebih agresif dengan bukaan gril lebih besar dan lampu siang LED berbentuk L panjang ke bawah.

Kedudukan logo Datsun di hadapan masih lagi sama manakala lampu hadapan pula dilihat lebih nipis dan tajam. Di bahagian tepi fender terdapat lencana tulisan Datsun manakala di belakang terdapat spoiler kecil di atas pintu butnya.

Gambar teaser ini disiarkan tanpa perincian lain dan sekadar bersama satu bahagian untuk orang ramai mendaftarkan minat. Mengikut jangkaan, perincian teknikal model ini mungkin masih lagi sama, iaitu dikuasakan oleh enjin petrol tiga silinder 800 cc bersama transmisi manual lima kelajuan.

Sebelum ini juga Datsun pernah membuat pengumuman tidak akan memperkenalkan model serba baru dalam masa terdekat sementara bulan lepas, ia juga telah membuat keputusan untuk menutup kilang di Indonesia dan keluar dari pasaran tersebut.