UMW Toyota Motor Sdn Bhd (UMWT) mengumumkan rangkaian cawangan rasmi pusat jualan dan servis Toyota dan Lexus yang berada di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan mula beroperasi bermula 4 Mei 2020.

Pembukaan cawangan jualan dan servis ini selari dengan kelulusan yang diperolehi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta pihak berkuasa tempatan yang terlibat. Semua cawangan telah menerima garis panduan bagi operasi harian yang wajib dipatuhi, bersekali dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh MITI.

SOP berkenaan memerlukan amalan penjarakkan sosial, pembasmian kuman di premis serta urusan tanpa sentuhan antara individu sekiranya boleh. Untuk itu, pelanggan dinasihatkan supaya memastikan terlebih dahulu waktu dan hari operasi bagi cawangan rasmi pusat jualan dan servis yang berkaitan untuk membuat temujanji.

“Kami akan mengikut panduan serta SOP yang gariskan dengan ketat di semua cawangan-cawangan rasmi yang mula beroperasi untuk memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan dan juga pekerja. Diharapkan para pelanggan dapat memahami keperluan yang diambil ini bagi menjamin kepentingan dan keselamatan umum,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, K. Ravindran.

Berkenaan kenderaan-kenderaan yang dibeli daripada UMWT atau pengedar rasmi yang mana jaminannya tamat di dalam tempoh PKP, lanjutan 30 hari akan diberikan bermula dari tarikh akhir pelaksanaan PKP (ketika ini dijangka pada 12 Mei 2020). Untuk sebarang pertanyaan, pelanggan boleh menghubungi talian 1800-8-TOYOTA (869682).