Perodua X-Concept dah boleh tempah? Biar betul?

Lepas tular berkenaan kereta elektrik murah yang akhirnya didedahkan sebagai satu penipuan tempoh hari, kini ada satu lagi penularan yang membuatkan warganet tertanya-tanya berkenaan satu video dengan kapsyen “jom pi tempah” – ini Perodua apa pula bukan main canggih dengan pintu yang boleh dibuka macam tingkap istana di zaman silam?

Tuan-tuan, ini bukan baharu. Kereta berwarna merah yang anda lihat dalam video tersebut sebenar sebuah model konsep yang didedahkan oleh Perodua pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 yang diberi nama Perodua X-Concept.

Kereta ini muncul sekali dengan Perodua Mvvi GT dan kami pun sebenarnya telah menaikkan satu artikel berkenaan kereta tersebut pada hari yang sama ia didedahkan, serta satu lagi artikel istimewa dengan menemuramah ketua pereka Perodua, Muhamad Zamuren untuk mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan X-Concept ini.

Perodua X-Concept dah boleh tempah? Biar betul?

Model konsep ini sebenarnya dihasilkan oleh Perodua bagi menunjukkan halatuju rekaan untuk model-model hatchback mereka pada masa akan datang atau bahasa mudahnya rekaan yang mewakili “Perodua Di Masa Hadapan”, dan bukannya akan diproduksi dan dijual dengan rupa ‘bulat-bulat’ seperti ini.

Ia juga sebagai penanda bahawa selepas ini syarikat automotif berpusat di Rawang ini akan hadir dengan lebih banyak model dengan rekaan badan atas mereka sendiri seperti Bezza dan Myvi 2018. Jadi janganlah selepas ini ada yang ke bilik pameran Perodua untuk menempah kereta ini, memang tiada.

Sebagai sebuah model konsep, sudah tentu ia menampilkan bahagian-bahagian yang agak ‘fancy’ dan mustahil akan diberikan pada model produksi sebenar seperti rim bersaiz besar, tayar nipis, cermin sisi nipis dan kecil, pembuka pintu yang tersembunyi dan pintu yang terbuka secara suicide (pintu belakang terbuka dari depan). Di bahagian depan, grilnya yang lebar mempunyai logo Perodua manakala lampu LED pula terletak rendah.

Perodua X-Concept dah boleh tempah? Biar betul?

Kabin Perodua X-Concept ini dihasilkan cukup minimalis, dengan papan pemuka tidak mempunyai sebarang butang dan berkemungkinan segala fungsi seperti pengawal pendingin hawa, audio dan navigasi boleh dikawal melalui pad elektronik besar yang terkeluar di panel tengah. Operasi gear juga dikawal melalui butang di permukaan rata di antara dua tempat duduk hadapan.

Untuk tempat duduk pula, kami dapati ia mempunyai bentuk bucket yang sporty, tetapi warnanya berlainan antara di depan dan belakang – di depan menggunakan padanan warna hitam, jalur merah dan kemasan hitam berkilat, manakala di belakang menggunakan warna putih, jalur merah dan kemasan krom.

Imej bayang Perodua Axia generasi seterusnya dengan rekaan asas X-Concept

Jadi jika X-Concept ini diterjemahkan dalam model produksi sebenar, agaknya macam mana rupanya? Untuk memudahkan anda membayangkanya, kami juga telah menghasilkan satu imej bayangan Perodua Axia generasi seterusnya menggunakan asas X-Concept ini. Garis badan asal masih kami kekalkan, namun perincian lain telah diubah kepada ciri yang lebih masuk akal seperti muka dengan inspirasi dari Perodua Aruz, pintu normal, set rim seperti model-model Perodua sedia ada, dan lain-lain.

Dan tidak mustahil, rekaan asas untuk X-Concept ini akan diterapkan pada SUV segmen-B Perodua dikenali dengan nama kod D55L yang khabarnya akan dilancarkan tahun ini, yang sah menggunakan platform dan enjin yang sama seperti Daihatsu Rocky yang telah dilancarkan di Jepun tahun lalu.

GALERI: Perodua X-Concept di KLIMS 2018

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required