Ford telah memperkenalkan versi terbaharu untuk trak pikap Ranger, diberikan enjin yang sama seperti model berprestasi tinggi Ranger Raptor, digelar sebagai Ranger Thunder. Walau bagaimanapun, ini adalah versi edisi terhad yang hanya dihasilkan sebanyak 4,500 unit dan dijual hanya untuk pasaran Eropah.

Ya, Ranger Thunder ini dijana oleh unit janakuasa sama seperti Ranger Raptor iaitu enjin diesel EcoBlue 2.0 liter dengan dua pengecas turbo yang berupaya menjana 213 PS dan tork maksima 500 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan.

Walau bagaimanapun, Ranger Thunder ini hanya diasaskan dari versi Wildtrak, bermaksud ia tidak menerima sistem suspensi Fox Racing dan juga badan lebih lebar seperti Raptor. Menurut Ford, Ranger Thunder ini dihasilkan sebagai sebuah kenderaan praktikal yang menawarkan keselesaan seperti SUV, serta memberikan kebolehan membawa dan menunda beban yang lebih baik.

Ia masih menerima sistem pacuan empat roda dan akan memberikan kadar penggunaan bahan api bermula 7.8 l/100 km dan emisi CO2 bermula 205 g/km mengikut standard NEDC, atau 9.1 l/100km dan 239 g/km mengikut standard WLTP yang lebih ketat dan realistik.

Ranger Thunder ini hanya hadir dengan warna badan Sea Grey dan diberikan serlahan-serlahan merah dan kemasan-kemasan Ebony Black pada bahagian tertentu. Muka Ranger edisi terhad ini diberikan rekaan gril dan bampar hadapan yang sama seperti Ranger FX4 pasaran ASEAN, bersama emblem tiga-dimensi “Thunder” berwarna merah di bawah pintu hadapan. Emblem sama turut diletak pada pintu tailgate belakang bersama pelekat ‘RANGER’ berwarna hitam matte.

Ia masih diberikan rim 18-inci rekaan sama seperti Wildtrak tetapi hadir dengan kemasan hitam berkilat, manakala jalur merah diberikan pada sports hoop. Bed belakang Ranger Thunder ini pula hadir dengan penutup ‘roller shutter’ Black Mountain yang dilapis cat jenis powder coat dan juga pembahagi ruang secara standard. Lampu belakang LED trak pikap ini diberikan bezel yang digelapkan.

Dalam kabin, Ranger Thunder hadir dengan tempat duduk kulit Ebony bersama sulaman logo “Thunder” berwarna merah. Serlahan-serlahan jahitan benang merah turut kelihatan pada tempat duduk, panel-panel pintu, roda stereng dan juga papan pemuka. Ia hadir standard dengan karpet kaki berwarna hitam bersama plat bendul pintu dengan nyalaan berwarna merah.

Dari 4,500 unit Ranger Thunder ini di seluruh Eropah, sebanyak 1,400 unit akan diperuntukkan bagi pasaran UK. Ia sudah pun boleh ditempah, namun penghantaran kepada pelanggan terawal hanya akan dibuat pada lewat musim panas nanti.