Selepas diumumkan dengan pendedahan teaser bulan lalu, kini jenama bajet dari Nissan iaitu Datsun telah pun memperkenalkan secara rasmi hatchback kompak redi-Go dalam versi facelift. Model yang membuat kemunculan sulung pada tahun 2016 ini diberikan rekaan luaran dan dalaman lebih segar, bersama pelbagai ciri-ciri baharu.

Di luar, redi-Go 2020 ini nyata nampak lebih ‘mahal’ dari sebelum ini. Ia menerima lampu hadapan yang lebih nipis dan tajam, manakala bamparnya pula diberikan gril yang lebih besar bersama jalur lampu nyalaan siang dan lampu kabus dengan teknologi LED. Rupa bahagian hadapan tersebut dilengkapkan dengan bonet baharu.

Tiada perubahan besar dilihat pada bahagian panel badan sisi redi-Go baharu ini, rekaan semula pada fender hadapan bagi menempatkan lampu dan bampar baharu. Model ini juga kini hadir dengan pilihan rim 14-inci bagi menggantikan rim besi 13-inci pada model sebelumnya. Nampak macam rim aloi kan? Tak, sebenarnya ia hanyalah penutup plastik yang diberikan kemasan dua-tona.

Bampar belakang redi-Go 2020 ini juga nampak seperti tidak berubah. Tetapi lampu kombinasi belakang telah disegarkan dengan LED dan grafik baharu, dan ia kini turut menerima spoiler bumbung pada pintu tailgate.

Perubahan lebih ketara dapat dilihat pada bahagian dalaman di mana papan pemuka telah diubah sepenuhnya dan kelihatan lebih model rekaan lebih bersegi pada corong pendingin hawa dan konsol tengah. Unit pemain audio 1Din pula telah digantikan dengn skrin multimedia 8-inci yang boleh berfungsi dengan arahan suara, juga menyokong Apple Carplay dan Android Auto serta boleh memainkan video – beza macam langit dengan bumi!

Susunan panel instrumen di belakang roda stereng nampak seakan sama dengan sebelum ini. Tetapi ia telah disegarkan semula menggunakan latar belakang dengan elemen sarang lebah serta pencahayaan berwarna biru pada takometer digital dan skrin pelbagai informasi. Keseluruhan tema warna cerah pada model sebelum ini juga telah diganti dengan warna lebih gelap bersama kemasan-kemasan seperti aloi yang nampak jauh lebih premium.

Sistem keselamatan pada redi-Go ini juga kini lebih ‘patut’ di mana penumpang hadapan sudahpun menerima beg udara, berbanding hanya untuk pemandu pada versi sebelumnya. Ia turut hadir dengan kamera undur, amaran kelajuan tinggi, penderia parkir belakang, pengingat pemakaian tali pinggang keledar, serta sistem brek ABS dan EBD.

Datsun redi-Go diasaskan dari platform CMF-A Pakatan Renault-Nissan, yang turut digunakan oleh Renault Kwid. Ia dijana oleh pilihan petrol tiga-silinder 800 cc dan 1.0 liter yang kini telah pun ditingkat taraf bagi memenuhi standard emisi baharu di India iaitu BS6.

Enjin 800 cc ditala bagi menghasilkan 54 hp dan tork maksima 72 Nm, dan ia hanya ditawarkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan. Manakala versi 1.0 liter pula menghasilkan 68 hp dan tork maksima 91 Nm, hadir dengan pilihan kotak gear manual atau automatik lima-kelajuan AMT.

Harga untuk model yang menerima pelbagai kelengkapan lebih moden ini juga dilihat telah naik. Jika sebelum ini Datsun redi-Go pasaran India dijual pada harga bermula INR250,000 (RM14.3k), model facelift ini pula akan dijual pada harga bermula INR283,000 (RM16.3k). Sebanyak enam varian akan ditawarkan secara keseluruhan, di mana model tertinggi 1.0L AMT dengan cat metalik dijual pada harga INR480,000 (RM27.6k).