Selepas teaser yang disiarkan tempoh hari, kini Toyota telah mendedahkan sepenuhnya model kemaskini untuk trak pikap Toyota Hilux facelift 2020. Model ini bukan sekadar menerima sentuhan semula pada rupa, malah turut menerima tingkat taraf pada unit janakuasa dan juga talaan semula pada sistem suspensi.

Berita paling besar, untuk Hilux dengan enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel, ia kini ditala bagi menghasilkan kuasa 204 hp pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 Nm – lebih berkuasa dari sebelum ini yang hanya menjana 177 PS/450 Nm.

Enjin ini hadir dengan pilihan gandingan kotak gear manual enam-kelajuan iMT dan juga transmisi enam-kelajuan automatik. Ini membolehkan trak pikap tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10 saat, dan mampu mencapai penggunaan bahan api pada kadar 7.8 l/100 km.

Walau bagaimanapun, untuk versi 2.4 liter turbodiesel ia masih dijana oleh enjin 2GD-FTV berkuasa 150 PS/400 Nm bersama transmisi yang sama. Model dengan sistem pacuan empat roda kini dibekalkan dengan Kawalan Menurun Bukit, manakala model 4X2 pula diberikan sistem elektronik yang membolehkan gandar belakang beroperasi seakan diberikan LSD mekanikal, dakwa Toyota.

Selain itu, perubahan mekanikal turut dibuat pada sistem suspensi di mana talaan penyerap hentaknya telah diusik semula, rekaan pada spring dedaun belakang ditingkat taraf serta menggunakan set bushing baharu. Menurut Toyota, kemaskini berkenaan dapat memberikan lebih keselesaan terutamanya ketika dipandu pada permukaan lasak dengan beban rendah.

Seperti biasa, Hilux akan diberikan dua versi rupa luaran, standard dan satu lagi untuk gred lebih sporty. Bagi versi biasa (digelar sebagai Pre Runner untuk pasaran Thailand), ia kini menerima gril hadapan seakan Toyota Tacoma pasaran Amerika Syarikat bersama serta lampu hadapan projektor bi-LED yang lebih bersegi. Ia turut diberikan kemasan berbentuk-L untuk lampu posisi pada kedua-dua sisi bampar.

Manakala untuk versi lebih sporty (digelar sebagai Rocco di Thailand dan Invicible di Eropah), ia diberikan kemasan sekeliling gril berwarna hitam serta kemasan skid plate pada bawah bampar bagi memberikan imej lebih lasak. Manakala kemasan lampu kabus pula direka berpetak. Model lebih garang ini juga hadir dengan overfender yang berfungsi sebagai pelindung badan tambahan.

Pada bahagian belakang pula, Hilux facelift ini diberikan lampu yang direka semula dengan diberikan grafik LED dengan elemen heksagonal. Manakala untuk varian Invicible di Eropah, ia menerima pilihan penutup bed belakang jenis roller shutter aluminium dengan bantuan elektrik.

Hilux baharu ini hadir dengan dua pilihan rim iaitu 17- dan 18-inci, tiga warna baharu – Emotional Red II, Dark Blue dan Oxide Bronze metallic – serta kekal dengan tiga bentuk badan iaitu single, extra and double cab. Kesemua perincian ini ditawarkan bergantung pada spesifikasi pasaran masing-masing.

Pada bahagian dalaman, bentuk asas papan pemuka masih lagi sama seperti sebelum ini. Perubahan yang dapat dilihat adalah penggunaan kluster instrumen baharu dengan skrin paparan pelbagai info 4.2-inci, serta skrin infotainmen bersaiz lapan-inci dengan sokongan Andoid Auto dan Apple CarPlay.

Ciri lain yang turut ditawarkan termasuk sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, sistem navigasi satelit, sistem pendingin hawa automatik dan lain-lain lagi.

Bagi pasaran Thailand, Hilux sah ditawarkan dengan sistem telemetik T-Connect. Manakala untuk pasaran Eropah pula, versi Invicible menerima sistem bunyi JBL 800-watt dengan amplifier lapan saluran dan teknologi Clari-Fi serta disambungkan kepada sembilan-pembesar suara.

GALERI: Toyota Hilux Revo Rocco 2020 pasaran Thailand

GALERI: Toyota Hilux Revo PreRunner 2020 pasaran Thailand

GALERI: Toyota Hilux Revo Z-Edition 2020 pasaran Thailand

GALERI: Toyota Hilux Revo B-Cab 2020 pasaran Thailand

GALERI: Toyota Hilux Invicible 2020 pasaran Eropah