Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

Selepas sekitar tiga tahun berada dalam pasaran, bulan lalu versi facelift untuk Kia Picanto generasi ketiga sudahpun diperkenalkan di Korea (dikenali dengan nama Kia Morning). Dan kini, model tersebut didedahkan pula untuk pasaran Eropah.

Di Benua berkenaan, Picanto facelift ini kekal ditawarkan dalam tiga kemasan iaitu versi standard, GT-Line yang lebih sporty serta model yang diberikan penggayaan seperti SUV digelar X-Line. Model yang disegarkan semula ini akan mula dijual di Eropah bermula suku ketiga tahun ini.

Untuk versi GT-Line, ia diberikan penampilan sama seperti Morning Urban line di Korea, tetapi ia menerima serlahan merah pada gril hadapan, skirt sisi dan juga pada diffuser bampar belakang. Jalur kemasan pada bahagian bawah gril ‘hidung harimau’ model ini juga telah direka seakan bersambung terus dengan kemasan pada bahagian dalam lampu hadapan.

Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

Menurut Kia, rekaan baharu pada muka hatchback segmen-A ini membolehkan ia kelihatan lebih lebar dan nampak lebih stabil. Jika anda perhatikan lagi, lampu hadapan model ini juga kini diberikan lampu nyalaan dengan empat LED bina dalam, diposisikan pada sekeliling projektor lampu utama.

Manakala di belakang, kluster lampu utama masih nampak sama tetapi diberikan grafik LED baharu. Bampar belakang juga telah direka semula dengan lampu kabus dan reflektor yang lebih nipis, kemudian pada diffuser ia menempatkan sepasang kemasan tip ekzos krom palsu.

Untuk versi X-Line pula, ia hadir dengan elemen tengah gril hadapan yang berbeza, serta bampar hadapan yang diberikan kemasan seakan skid plate pada bahagian bawah. Rekaan tersebut diserasikan dengan kemasan pelindung sekeliling badan pada setiap ruang roda dan skirt sisi serta satu lagi skid plate palsu pada bampar belakang.

Bagi model standard pula, walaupun gril dan lampu telah dikemaskini, rekaan pada bampar hadapan dan belakang masih tidak jauh berbeza dari model sebelumnya. Di Eropah, pelanggan boleh memilih 10 warna badan berbeza untuk Kia Picanto ini, bagi dipadankan dengan rim aloi pelbagai jejari 14-inci atau dua tona 16-inci.

Dalam kabin, Picanto kini menerima skrin sesentuh ‘terapung’ lebih besar bersaiz lapan-inci, manakala panel instrumen pula hadir dengan skrin paparan pelbagai info 4.2-inci di bahagian tengah. Bergantung pada kemasan dan pasaran, Picanto ditawarkan dengan pilihan tempat duduk fabrik atau kulit sintetik berwarna hitam, serta pelbagai tekstur upholsteri baharu yang didakwa Kia dapat memberikan “rupa dan rasa lebih kotemporari serta berkualiti tinggi.”

Seperti sebelum ini juga, Picanto turut ditawarkan dengan pek warna yang funky seperti Lime Pack yang akan memberikan serlahan kontras berwarna hijau limau nipis pada jahitan dan panel-panel tertentu. Selain warna ini, pilihan lain seperti oren, merah dan hijau juga disertakan.

Untuk sistem infotainmen dengan sistem navigasi satelit, ia kini tampil dengan hubungan-multi Bluetooth yang membolehkan ia dihubungkan kepada dua peranti mudah alih dalam masa yang sama – satu untuk fungsi telefon bebas tangan dan penggunaan media, manakala lagi satu hanya untuk fungsi media sahaja. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Kia Eropah turut menawarkan sistem UVO yang membolehkan Picanto ini mengakses info seperti keadaan trafik secara langsung, ramalan cuaca, harga pasaran bahan api, serta perincian tempat parkir seperti harga, lokasi dan status. Aplikasi UVO pada telefon pintar pula membolehkan pemilik menggunakan sistem ini pada jarak jauh. Kia turut mengumumkan bahawa Picanto akan menjadi model pertama yang akan menerima sistem UVO Fasa II yang akan didedahkan kemudian.

Kia Picanto facelift pasaran Eropah ini dijana oleh dua pilihan enjin petrol Smartstream yang lebih efisien dan mesra alam berbanding versi sebelumnya. Pilihan asas adalah enjin 1.0 liter dengan sistem suntikan bahan api dua port, menghasilkan 67 PS.

Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

Untuk mereka yang mahukan lebih kuasa, enjin 1.0 liter turbo berkuasa 100 PS juga ada ditawarkan. Enjin tersebut dikemaskini dari versi sebelumnya dengan penggunaan penyuntik bahan api 350 bar yang lebih efisien.

Kedua-dua enjin berkenaan menerima kemaskini pada sistem EGR serta injap kemasukan yang dioptimakan bagi menghasilkan pembakaran bahan api yang lebih efisien. Ia juga turut diberikan sistem pengurusan suhu bersepadu (ITMS) baharu yang memberikan sistem penyejukan kebuk yang lebih efektif, berfungsi dengan memberikan karekter penyejukan enjin berdasarkan poin operasi enjin.

Model pasaran Eropah ini menerima kotak gear Automated Manual Transmission (AMT) baharu dari Kia – ia bukan kotak gear automatik konvensional dengan fungsi tukaran manual, sebaliknya ia sememangnya kotak gear manual lima kelajuan, dengan klac kering tunggal dan tukaran gear yang dioperasikan secara automatik oleh unit-unit actuator.

Menurut Kia, pilihan kotak gear AMT ini merupakan opsyen yang paling baik untuk pelanggan yang mahukan kotak gear automatik tanpa mengorbankan penjimatan bahan api yang diberikan oleh kotak gear manual. Untuk pengetahuan anda juga, untuk pasaran Korea, Picanto hanya ditawarkan dengan enjin 1.0L NA dan kotak gear automatik empat-kelajuan sahaja.

Walaupun kecil, Picanto sebelum ini telah pun dipadatkan dengan pelbagai ciri keselamatan seperti model-model lebih premium. Versi kemaskini ini juga tidak terkecuali – ia hadir dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan terkini seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan pengesan pejalan kaki, Bantuan Pengelak Pelanggaran Titik-Buta (BCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW) dan juga Bantuan Ikut Lorong (LFA).

Sistem-sistem berkenaan adalah tambahan dari sistem sedia ada seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA), sistem kestabilan elektronik (VSM), tujuh beg-udara dan juga Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required