Toyota Hilux 2020 telah pun ditunjuk kepada umum semalam. Tapi, apa sebenarnya pembaharuan yang ditampilkan kali ini? Dari segi reka bentuk, agak ketara juga kelainan yang ditonjolkan. Begitu juga dengan unit janaan kuasa serta kelengkapan yang dikemaskini.

Dari depan, wajah terkini Hilux menggunakan bahagian gril hexagonal yang lebih besar dan tebal, mirip seperti yang ada pada Tacoma, dan kini disepadukan bersama ruang masukan udara di bawah. Rekaan lampu utama pula kini lebih bersegi, dengan kini menggunakan jenis projektor bi-LED, lampu isyarat LED dan lampu posisi pada varian yang lebih tinggi. Lampu kabus kini dengan bentuk L.

Di belakang, rekaan lampu hadir dengan grafik baru mirip bentuk B, walaupun perumah di luarnya nampak sama seperti sebelum ini. Bagi roda pula, rim 18-inci dengan rekaan baru dipasang pada varian tertinggi, sementara versi lain datang dengan rim 17-inci.

Perubahan pada ruang kabin pula tidak terlalu ketara. Bagaimanapun, kelengkapan dan paparan untuk pemandu menerima rekaan baru dan menempatkan paparan milti-info 4.2-inci. Model baru Hilux juga dilengkapi dengan sistem infotainmen dengan skrin sentuh lapan-inci dengan sokongan terhadap Android Auto dan Apple CarPlay berbanding unit 6.75-inci yang lama.

Perubahan paling utama tentulah terhadap enjinnya; ia kini menggunakan unit 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel empat-silinder yang telah dipertingkat untuk menghasilkan janaan 204 PS dan 500 Nm – naik daripada 177 PS dan 450 Nm sebelum ini. Transmisi kekal menggunakan automatik enam-kelajuan atau kotak gear manual.

Bagi unit 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel pula masih dikekalkan dengan angka janaan yang sama, 150 PS and 400 Nm – di Thailand, kedua-dua kapasiti enjin ini mempunyai janaan output yang pelbagai, misalnya dengan kuasa 150 PS yang sama, tetapi tork antara 400 Nm atau 343 Nm. Unit 2.8 liter pula ada di dalam beberap variasi – 170 PS/343 Nm, 204 PS/420 Nm dan output penuh 204 PS/500 Nm.

Dari segi kemampuan, semua versi 4×4 automatik kini sepadan dengan versi manualnya dari sudut beban tanggungan satu tan dan juga 3.5 tan kapasiti menunda. Varian 4×2 kini mendapat tambahan 300 kg lagi bagi kapasiti menunda, menjadi 2.8 tan.

Dari segi kelengkapan keselamatan, versi Rocco bagi Hilux Revo ditambah dengan kit keselamatan aktif seperti kawalan melayar radar dinamik, sistem pra-perlanggaran dan amaran pertukaran lorong dengan bantuan stereng – sama seperti kelengkapan pada Hilux pra-facelift di Australia sebelum ini; di Malaysia setakat ini belum lagi.

GALERI: Toyota Hilux Revo Rocco 2020 pasaran Thailand

GALERI: Toyota Hilux Revo PreRunner 2020 pasaran Thailand

GALERI: Toyota Hilux Revo Z-Edition 2020 pasaran Thailand

GALERI: Toyota Hilux Revo B-Cab 2020 pasaran Thailand

GALERI: Toyota Hilux Invicible 2020 pasaran Eropah