Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual dalam masa 4 minit di Kanada sebelum harga diumumkan

Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual dalam masa 4 minit di Kanada sebelum harga diumumkan

Selepas habis licin ditempah di UK tanpa seorang pun dari pembelinya berpeluang melihat kereta tersebut, terbaharu Honda Civic Type R Limited Edition diumumkan habis dijual dalam masa hanya empat minit di Kanada!

Hanya 100 unit model istimewa berkenaan diperuntukkan di negara tersebut, dan kesemuanya habis dijual sejurus Honda Kanada membuka tempahan berkenaan secara atas talian pada 21 Mei lalu dengan bayaran deposit C$1,000 (RM3.2k). Apa yang lebih menarik, harga sebenarnya Civic Type R Limited Edition ini juga masih belum diumumkan!

“Kami jangkakan permintaan untuk model ini adalah tinggi kerana Civic Type R merupakan kereta yang popular dengan asas peminat yang kuat dan setia,” kata pembantu naib-presiden jualan dan pemasaran Honda Kanada, Steve Hui kepada portal Automotive News Canada.

Secara keseluruhan, benua Eropah hanya menerima 100 buah (termasuk 20 buah di UK) FK8 Limited Edition ini, di Amerika Syarikat sebanyak 600 unit disediakan untuk direbut oleh pembeli, manakala Kanada pula menerima 100 unit yang telah habis dijual ini. Apa yang istimewa sangat dengan kereta ini selain dari dihasilkan dalam jumlah terhad?

Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual dalam masa 4 minit di Kanada sebelum harga diumumkan

Honda Civic Type R FK8 Limited Edition ini dihasilkan dengan ‘semangat’ yang sama seperti Civic Type R pertama iaitu EK9 dan juga model-model Type R lain yang sezaman dengannya. Oleh itu, beratnya perlu dibuang sebanyak yang mungkin menerusi pelbagai aksesori yang perlu dicabut termasuk pengelap cermin belakang, penutup tonneau, skrin infotainmen beserta sistem audio, sistem pendingin hawa bersama saluran pemanas untuk bahagian belakang dan mengurangkan penebat-penebat bunyi.

Model edisi terhad ini juga diberikan rim 20-inci aluminium forged khas dari BBS yang dibuat yang lebih ringan dari versi biasa, serta dibaluti tayar lebih serius Michelin Cup 2. Ya, memang ia tidak lagi selesa, kerana Type R Limited ini direka lebih menumpukan kepada pemanduan di litar.

Dengan semua perkara yang dibuat tersebut, model ini adalah 47 kilogram lebih ringan dari model Type R FK8 biasa. Selain itu, Honda turut menala semula suspensi dan juga sistem stereng Type R Limited Edition ini bagi membolehkan pemandu memberikan kawalan dan respon pada tahap maksimum.

Honda Civic Type R Limited Edition habis dijual dalam masa 4 minit di Kanada sebelum harga diumumkan

Honda hanya menghasilkan Type R Limited ini hanya dengan satu warna iaitu Phoenix Yellow (dikenali sebagai Sunlight Yellow di UK). Jika anda peminat tegar Type R, anda tentu tahu bahawa warna ini berasal dari EK9 Type R dan sinonim dengan penala lagenda Honda iaitu Spoon.

Model edisi terhad ini juga diberikan perincian khas lain termasuk kemasan hitam berkilat istimewa pada bumbung, penutup cermin sisi, liang udara pada penutup hud enjin, manakala di belakang ia hadir dengan lencana Civic berwarna krom gelap. Bagi menambah nilai eksklusif, kesemua FK8 istimewa ini akan diberikan plat dengan nombor serial unik.

Honda tidak memberikan sebarang penambahan kuasa pada model edisi terhad ini. Ia masih dijana enjin K20C1 2.0 liter empat-silinder VTEC Turbo berkuasa 320 PS (pasaran Malaysia sebelum ini hanya 310 PS) dan tork maksima 400 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan nisbah rapat, lengkap dengan LSD.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required