Nampaknya rekaan funky seakan model klasik pada Suzuki Jimny bukan sahaja membuatkan ia diminati dalam dunia modifikasi, malah Jimny juga menjadi objek yang digemari untuk dijelmakan sebagai model kawalan jauh. Selepas pelbagai ‘rock crawler’ dihasilkan oleh pelbagai jenama, terbaharu jenama telefon pintar Xiaomi turut melancarkan Jimny kawalan jauh versi mereka.
Jimny dalam skala 1/16 yang dihasilkan oleh Xiaomi ini mungkin tidak terperinci dan tidak mempunyai kebolehan off-road seperti yang dihasilkan oleh Kyosho menerusi Jimny Sierra Mini Z, namun ia tetap mempunyai daya penariknya tersendiri iaitu alat kawalan yang digunakan hanyalah telefon pintar anda, bersama aplikasi dan pemproses kawalan yang agak canggih, serta dijual pada harga jauh lebih murah.
Dari segi mekanikal, Jimny keluaran Xiaomi ini menggunakan casis berbentuk ladder frame dari material nylon yang tahan hentakan, suspensi dengan penyerap hentak dan spring gegelung, serta motor dan kotak gear yang mengalirkan tork pada roda hadapan dan belakang diposisikan pada bahagian tengah. Ia juga diberikan tayar getah yang sesuai untuk dipandu pada permukaan off-road.
Manakala untuk sistem elektronik, motor dan juga sistem stereng Jimny Xiaomi ini dikawal oleh penerima dan juga servo digital, membolehkan ia memberikan ketepatan kawalan mengikut kemahuan pemandu. Kawalan dari telefon pintar dibuat menerusi hubungan Bluetooh (bukan seperti transmisi radio pada RC biasa), dan pengguna juga boleh menggunakan g sensor pada telefon pintar untuk mengawal stereng dengan cara memutarkan peranti tersebut ke kiri atau ke kanan seperti bermain permainan video.
Suzuki Jimny Xiaomi ini dihasilkan dari cantuman lebih dari 200 komponen, dan ada laporan menyebut pelbagai komponen ubahsuai turut akan diperkenalkan selepas ini. Untuk model asas, Jimny ini dijual pada harga pengenalan 179 yuan (RM108) pada pasaran China, dan akan meningkat kepada 199 yuan (RM120) kemudiannya.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.