Suzuki Jimny Sierra Kyosho Mini-Z 4×4 1:18 – rock crawler realistik kawalan jauh dalam saiz tapak tangan

Kita di Malaysia sememangnya mustahil untuk membeli Suzuki Jimny generasi terkini terus dari pengedar rasmi, kerana jenama berkenaan sudah tidak bertapak lagi di sini. Harga untuk SUV off-road sebenar ini juga tidak murah, di mana ia dijual pada harga lebih RM90k di Indonesia dan sekitar RM200k di Thailand. Malah ada pengimport kenderaan recond di Malaysia telah mengiklankan model ini pada harga hampir RM170k!

Tapi kalau anda ‘jiwa kacau’ sangat dengan Jimny tersebut, ini ada satu alternatif yang ditawarkan oleh pembuat kereta kawalan jauh dari Jepun iaitu Kyosho – mereka telah memperkenalkan Kyosho Mini-Z 4×4 Suzuki Jimny Sierra dalam skala 1:18, yang bukan sahaja cantik dan realistik jika diletak dalam rak kaca Detolf IKEA anda, malah turut boleh beraksi pada laluan off-road seperti Jimny sebenar!

Seperti namanya, kereta kawalan jauh jenis pemanjat batu (rock crawler) ini dihasilkan dengan bentuk Jimny dari versi Sierra, iaitu model yang dieksport keluar dari Jepun dan diberikan overfender secara standard, dijana oleh enjin K15B empat silinder 1.5 liter, berkuasa 102 PS/130 Nm (model JDM tidak ada overfender dan hanya dijana enjin 660 cc).

Suzuki Jimny Sierra Kyosho Mini-Z 4×4 1:18 – <em>rock crawler</em> realistik kawalan jauh dalam saiz tapak tangan

Juga sama seperti Jimny sebenar, replika sebesar tapak tangan ini diasaskan dari casis jenis ladder frame, serta direka dengan sudut approch 45-darjah dan sudut departure 55 darjah (Jimny sebenar menampilkan sudut approch 37-darjah dan sudut departure 49-darjah).

Dengan saiz 193 mm panjang, 84 mm lebar dan 90 mm tinggi, Jimny ini digerakkan dengan motor elektrik bersaiz kecil kelas 130 iaitu saiz yang sama seperti kereta lumba Tamiya mini 4WD, menerima kuasa dari empat biji bateri saiz AAA.

Boleh dikatakan Jimny ini tidak perlu lagi diubahsuai kerana telah diberikan pakej lengkap keseluruhan yang membolehkan ia ‘merangkak’ untuk memanjat batu dan melalui laluan lasak, terdiri dari peralatan seperti gandar solid dengan rod dan gear pinan logam, set linkage suspensi dengan ball end juga dari material logam, galas jenis ball bearing pada tempat sepatutnya, kotak gear dengan nisbah sesuai bersama set klac gelincir, sistem servo untuk stereng dan juga unit kawalan kelajuan yang memberikan respon tepat.

Namun jika anda mahukan lebih realistik dengan memadankan set lampu tambahan, ia boleh dipasang secara plug and play menerusi port yang telah disediakan pada unit penerima kawalan jauh.

Jimny dari Kyosho ini diberikan penyerap hentak dengan spring jenis coilover serta rekaan mekanikal yang membolehkan anda melaras jarak rodanya. Dan untuk lebih realistik dan memberikan prestasi pemanduan off-road yang baik, ia turut dipadankan dengan tayar replika yang dihasilkan dengan lesen dari BFGoodrich.

Anda sudah boleh menempah Suzuki Jimny Sierra Kyosho Mini-Z 4×4 ini di laman rasminya, tetapi ia hanya dilancarkan dalam pasaran bermula bulan Mac nanti. Datang dengan dua warna badan iaitu Kinetic Yellow dan Jungle Green, ia akan dijual pada harga 27,500 yen atau sekitar RM1,000, dengan cukai tidak termasuk kos penghantaran.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required