TOM’s umum projek restorasi jentera lumba Castrol TOM’s Supra GT500 1998, mohon dana dari peminat

Era 90’an merupakan era kegemilangan jentera-jentera sport pasaran domestik Jepun (JDM). Dan sudah tentu, dengan kebanyakkan model-model berkenaan bertanding dalam perlumbaan All-Japan GT Championship (JGTC) atau dikenali sebagai Super GT sekarang, kejohanan berkenaan turut dikenang sebagai sesuatu yang ikonik.

JGTC juga secara tidak langsung telah mempopularkan pelbagai jentera lumba Jepun, antaranya seperti Mugen Castrol NSX dan Takata Dome NSX dari pasukan Mugen X Dome Project, Calsonic Skyline dari pasukan Impul, dan juga Castrol TOM’S Supra dari pasukan TOM’S. Kenangan untuk jentera-jentera ini bukan hanya pada litar lumba, malah untuk generasi Sony PlayStation dan Playstation 2, kereta-kereta lumba ini turut boleh dipilih dalam permainan video Gran Turismo 1 dan 2.

Lebih 20 tahun sudah berlalu, apa sudah jadi dengan jentera-jentera ini? Terbaharu, pasukan TOM’S telah mengumumkan bahawa mereka telah terjumpa kembali jentera Supra mereka yang digunakan pada tahun 1998 dalam satu gudang lama di Chugoku, dan mengambil keputusan untuk merestorasi semula kereta lumba berkenaan.

TOM’s umum projek restorasi jentera lumba Castrol TOM’s Supra GT500 1998, mohon dana dari peminat

Menurut TOM’S, kereta dengan nombor perlumbaan 36 yang dipandu oleh pasangan Masanori Sekiya dan Norbert Fontana tersebut ditemui masih dalam livery asal Castrol serta kerosakan dan ‘battle scars’ perlumbaan terakhirnya masih terdapat pada badan.

Enjin 3S-GTE 2.0 liter empat silinder turbo (Supra GT500 yang menggunakan enjin asal 2JZ-GTE hanyalah dua buah Supra pasukan persendirian, salah satunya pasukan Blitz pada tahun 1994) kereta lumba ini turut ditemui bersamanya, tetapi ia telah dikeluarkan dari ruang enjin berkenaan.

TOM’S turut memberitahu mereka memerlukan bantuan dana dari peminat bagi membolehkan TOM’S Castrol Supra ini dipandu semula dalam litar, dengan sasaran kutipan sebanyak 50,000,000 yen atau sekitar RM2 juta. Untuk itu, satu laman sesawang untuk crowfunding ini diwujudkan yang boleh anda lihat pada PAUTAN INI, dan setakat artikel ini ditulis sebanyak 1% dari jumlah keseluruhan berkenaan telah dikutip dari 68 individu.

Apa yang anda akan dapat jika menyumbang untuk projek ini? Jika anda menyumbang sebanyak 5,000 yen (sekitar RM200), nama anda akan dilarik pada satu bahagian istimewa dalam kereta berkenaan. Dan sekiranya anda menyumbang sebanyak 3 juta yen (sekitar RM200,000) nama anda akan diletakkan pada satu plak istimewa yang akan ditempatkan pada kerusi pemandu.

Bukan itu sahaja, penyumbang dengan jumlah 3 juta yen berkenaan turut akan menerima pas istimewa untuk menonton keseluruhan musim perlumbaan Super GT 2021 (kini pasukan TOM’S kembali berlumba dengan GR Supra bernombor 36 dan 37) dan akses terus ke suit hospitaliti TOM’S Racing, serta berpeluang untuk memandu kereta-kereta lumba dari garaj TOM’S untuk satu hari sesi Track Day.

Boleh tahan juga ganjaran sumbangan ini kan? Macam mana? Berminat untuk memahatkan nama anda dalam salah satu sejarah dunia automotif JDM ini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required