Walaupun cuti hujung minggu ini panjang sempena Hari Raya Aidiladha, UMW Toyota Motor (UMWT) tetap memilih untuk memberi petunjuk baru kepada persiapan syarikat itu yang sedang mempersiap pengenalan model terbaru untuk pasaran tempatan.

Ini sudah tentulah berkaitan Toyota Hilux facelift yang sebelum ini dipertontonkan Jun lalu di peringkat global. Visualnya menunjukkan bayangan sebuah trak, dengan ‘H’ besar di belakang. Mesejnya tentulah tentang “Hilux”, yang berlatarkan kota hinggalah pergunungan – mencadangkan trak ini sesuai untuk menggalas cabaran penggunaan yang pelbagai.

Keterangan gambar pula berbunyi; “Anda kenali namanya. Anda tahu ketahanannya, Trak pikap kegemaran ramai kini menerima peningkatan.” Ini disusuli dengan pelawaan kepada pelanggan untuk mendaftarkan minat.

Bulan lalu, Hilux diperkenalkan di peringkat global dengan pelbagai peningkatan. Model berkenaan bukan sekadar menerima sentuhan semula pada rupa, malah turut menerima tingkat taraf pada unit janakuasa dan juga talaan semula pada sistem suspensi.

Berita paling besar, untuk Hilux dengan enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel, ia kini ditala bagi menghasilkan kuasa 204 hp pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 Nm – lebih berkuasa dari sebelum ini yang hanya menjana 177 PS/450 Nm.

Enjin ini hadir dengan pilihan gandingan kotak gear manual enam-kelajuan iMT dan juga transmisi enam-kelajuan automatik. Ini membolehkan trak pikap tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa 10 saat, dan mampu mencapai penggunaan bahan api pada kadar 7.8 l/100 km.


Untuk versi 2.4 liter turbodiesel, ia masih dijana oleh enjin 2GD-FTV berkuasa 150 PS/400 Nm bersama transmisi yang sama. Model dengan sistem pacuan empat roda kini dibekalkan dengan Kawalan Menurun Bukit, manakala model 4X2 pula diberikan sistem elektronik yang membolehkan gandar belakang beroperasi seakan diberikan LSD mekanikal, dakwa Toyota.

Selain itu, perubahan mekanikal turut dibuat pada sistem suspensi di mana talaan penyerap hentaknya telah diusik semula, rekaan pada spring dedaun belakang ditingkat taraf serta menggunakan set bushing baharu. Menurut Toyota, kemaskini berkenaan dapat memberikan lebih keselesaan terutamanya ketika dipandu pada permukaan lasak dengan beban rendah. Persoalannya, adakah kita akan menerima semua peningkatan ini juga?