SEMA 2020 menyerah kalah, acara Nov ini dibatalkan

SEMA 2020 menyerah kalah, acara Nov ini dibatalkan

Bulan lalu penganjur acara untuk dunia modifikasi terbesar di Amerika Syarikat, SEMA nampak begitu yakin untuk meneruskan acara tersebut untuk tahun ini yang dijadualkan pada November nanti walaupun dunia sedang diserang pandemik Covid-19. Namun dalam kemaskini terbaharu, mereka nampaknya sudahpun berputus asa dan mengumumkan bahawa SEMA 2020 sah dibatalkan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, penganjur acara berkenaan menyebut bahawa ia dibatalkan “kerana Covid-19 dan kegusaran bahawa fasiliti dan servis acara tidak dapat disediakan.”

“Ketika pihak penganjur dan rakan-rakan industri berkerja keras bagi mempersembahkan acara SEMA yang terbaik pada November, ketidakpastian yang semakin meningkat telah membuatkan acara ini tidak dapat diteruskan. SEMA menjangkakan keputusan ini akan memberikan penjelasan yang sangat diperlukan untuk kecelaruan ini dan akan membantu peserta pameran, pengunjung dan rakan kongsi membuat perancangan sewajarnya,” tambah kenyataan tersebut.

SEMA 2020 menyerah kalah, acara Nov ini dibatalkan

SEMA 2020 sepatutnya akan berlangsung di Las Vegas pada 3 hingga 6 November 2020 nanti. Menurut penganjurnya, sebanyak 1,800 syarikat yang akan menyertai SEMA 2020 bagi memenuhi ruang pameran di Las Vegas Convention Center (LVCC).

Dalam perancangan yang diumumkan sebelumnya, penganjur menyatakan bahawa mereka akan membuat pelbagai langkah keselamatan dan pencegahan untuk acara tahun ini. Mereka turut menjalinkan kerjasama dengan pihak hotel, LVCC dan juga pihak berkuasa bandar dan negeri Nevada bagi “memastikan standard keselamatan yang tinggi dan juga pematuhan arahan dari kerajaan.”

Antara langkah tersebut termasuk penggunaan topeng atau pelindung muka, kekerapan membasuh tangan dan juga penjarakan fizikal. Mereka juga akan menyediakan laluan dan masuk khas bagi mengawal dan memeriksa pengunjung menggunakan kamera suhu tak-invasif. Aliran perjalanan dalam satu hala dan juga stesen cecair pembasmi kuman setiap 60 meter turut diwujudkan.

Penganjur juga akan membuat sanitasi pada kawasan yang kerap dilalui setiap jam pada bahagian-bahagian seperti lantai, pintu, lif dan juga tangga bergerak, serta bangunan berkenaan akan disanitasi setiap malam.

Bagi yang masih belum mengetahui, acara tahunan SEMA adalah acara dengan konsep dan prestij yang hampir sama dengan Tokyo Auto Salon (gambar yang kami gunakan ini adalah dari TAS), dan menjadi tumpuan syarikat penala dan juga peminat modifikasi kenderaan dari seluruh dunia setiap tahun. Penganjur menyatakan bahawa walaupun ia dibatalkan tahun ini, SEMA tetap akan berlangsung semula untuk tahun hadapan.

“Acara SEMA komited untuk meneruskan perniagaan dalam pasara peralatan khas automotif, dan menyediakan pengeluar dan pembeli dengan peluang terbaik untuk berhubung, promosi produk baharu dan meneroka trend baharu. Kami menghargai semangat, kerja keras dan innovasi yang diberikan oleh industri dalam acara ini setiap tahun. Ketika kami kecewa dengan keadaan yang menghalang kami untuk menganjurkan acara ini pada November, kami memandang kehadapan untuk menyatukan semua orang pada 2021 dalam satu lagi acara yang hebat,” kata presiden dan CEO SEMA, Chris Kersting.

Buat masa sekarang, Amerika Syarikat merekodkan 4.9 juta kes positif Covid-19, dengan angka kematian melebihi 160,000 orang. Nevada, di mana terletaknya Las Vegas ini telah mencatatkan 52,919 kes dengan 891 kematian.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required