BMW M8 Coupe dan M8 Gran Coupe tiba di Malaysia – enjin V8 4.4 liter, 600 hp, harga dari RM1.45 juta

BMW M8 Coupe dan M8 Gran Coupe tiba di Malaysia – enjin V8 4.4 liter, 600 hp, harga dari RM1.45 juta

Diperkenalkan di Eropah hujung tahun lalu, kini model prestasi BMW M8 Coupe dan M8 Gran Coupe telah pun tiba di Malaysia dengan harga jualan masing-masing RM1,452,960.88 dan RM1,455,145.25. Beza utama antara dua model ini ialah M8 Coupe cuma mempunyai dua pintu sementara M8 Gran Coupe mempunyai empat pintu.

Pada bahagian luar, dua model M8 ini dipasang dengan kelengkapan khas model M yang menjadikannya kelihatan lebih garang, termasuk kemasan pada bawah bampar, hiasan pada gril, cermin sisi, sirip di fender, spoiler belakang, diffuser serta sistem ekzos dengan empat muncung. Lampu menggunakan jenis BMW Laserlight.

Satu lagi keistimewaan model ini adalah ia menggunakan bumbung gentian karbon yang dapat membantu mengurangkan berat keseluruhan, serta rim 20 inci style 810 M yang mempunyai lebar 9.5 inci di hadapan dan 10.5 inci di belakang. Pintu tempat meletak barangan di belakang boleh dibuka secara automatik.

BMW M8 Coupe dan M8 Gran Coupe tiba di Malaysia – enjin V8 4.4 liter, 600 hp, harga dari RM1.45 juta

BMW M8 menggunakan enjin yang sama seperti M5 F90, dan merupakan enjin paling berkuasa pernah dihasilkan oleh BMW M untuk kenderaan produksi, iaitu unit S63 V8 4.4 liter M TwinPower Turbo yang mampu menghasilkan 600 hp pada 6,000 rpm dan 750 Nm tork antara 1,800 hingga 5,600 rpm. Meskipun versi Gran Coupe adalah lebih berat, kedua-duanya masih mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa sama sama iaitu 3.3 saat. Laju maksimum dihadkan pada 250 km/j.

Kuasa disampaikan kepada semua tayar melalui transmisi M Steptronic lapan kelajuan serta sistem pacuan M xDrive, dan pemandu boleh memilih kawalan manual dengan menggunakan tombol gear atau pedal penukar di stereng. Ada tiga mod maklum balas enjin iaitu Efficient, Sport dan Sport Plus, dan setiap satunya juga akan menghasilkan bunyi ekzos yang berbeza.

Bagi sistem pacuan M xDrive itu, dalam keadaan asal ia memberikan 4WD yang nisbah pembahagian kuasanya lebih kepada roda belakang, tetapi pemandu juga boleh memilih tetapan 4WD Sport serta 2WD (roda belakang sahaja) apabila DSC ditutup. Differential Active M akan memastikan cengkaman paling optimal, dan pemandu juga boleh memilih mod dinamik lain seperti Comfort, Sport dan Sport+ yang akan melaras maklum balas enjin, penyerap hentak serta stereng M Servotronic.

Pada bahagian dalam, tempat duduk M Sport bagi M8 ini dibalut dengan kulit Merino sementara bahagian panel instrumen dan atas panel pintu dibalut dengan kulit Walknappa berwarna hitam berserta jahitan kontras. Barangan M khas lain yang dipasang padanya adalah termasuk roda stereng, tali pinggang, tombol gear dan plet tepi pintu berlampu dengan tulisan BMW M8.

Panel instrumen M8 menggunakan skrin digital penuh 12.3 inci BMW Live Cockpit Professional sementara di tengah papan pemuka terdapat skrin sesentuh 10.25 inci dengan sistem BMW Navigation Professional. Turut diberi adalah BMW Connected Package Professional, BMW Drive Recorder, BMW Gesture Control dan sistem bunyi Harman Kardon 16 pembesar suara.

BMW M8 ditawarkan dalam tujuh warna luar manakala kulit Merino bahagian dalam pula boleh didapati dalam warna Black atau Silverstone. Harga yang diberitahu adalah tidak termasuk insurans dan diberikan dengan jaminan tanpa had batuan serta program servis berkala percuma selama lima tahun.

GALERI: BMW M8 Coupe F92

GALERI: BMW M8 Gran Coupe F93

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required